Iklan

Reformasi undang-undang tak harus ketepi seorang pun, kata menteri

Jason Santos5 years ago30th Jun 2019Berita
Properties
Liew turut berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu kerajaan menganalisa mengapa undang-undang perlu dibuat atau dipinda. – Gambar fail The Malaysian Insigt, 30 Jun, 2019.
Iklan

PANDANGAN masyarakat, kumpulan masyarakat sivil dan golongan minoriti akan diambil kira dalam melaksanakan pembaharuan undang-undang demi memastikan dasar-dasar negara lebih inklusif, holistik dan berkesan, kata Menteri Undang-undang Liew Vui Keong.

Beliau berkata tidak harus ada seorang pun yang diketepikan dalam menyatakan pandangan mereka dalam proses tersebut.

“Kerajaan mesti mempunyai akauntabiliti untuk memastikan undang-undang yang mereka mahu pinda atau rumuskan adalah undang-undang yang adil. Kita mesti jadi kerajaan terbuka dan pada masa yang sama turut menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Terdapat banyak undang-undang yang ketinggalan zaman, dan merupakan satu penindasan dan ia tidak lagi relevan dalam senario Malaysia baharu. Oleh itu, undang-undang sedemikian mesti disemak dan sentiasa dikemas kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liew berkata demikian selepas Seminar Agenda Pembaharuan Undang-Undang Malaysia 2.0 yang dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, menutup tirainya.

Liew berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu kerajaan menganalisa mengapa undang-undang perlu dibuat atau dipinda.

“Dr Mahathir berkata justifikasi untuk (pembaharuan) undang-undang  mesti berdasarkan masalah sebenar dan disokong oleh data komprehensif,” katanya.

Antara lain, Dr Mahathir juga berkata sudah tiba masanya untuk badan kehakiman Malaysia meminda undang-undang yang bersifat menghukum kepada yang bersifat memulihkan keharmonian sosial.

“Dr Mahathir juga mengatakan bahawa hukuman mati untuk jenayah kecil mungkin diterima pada masa lalu, tetapi tidak lagi (relevan) dalam masyarakat moden. Sebaliknya, ia dianggap kejam,” kata Liew di samping turut menambah bahawa tanggapan “kerajaan tahu yang terbaik,” telah lama berlalu dan rakyat kini mahu keperluan mereka menjadi keutamaan.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya bertajuk “Pembaharuan Undang-undang di Malaysia: Proses Ideal”, yang didengar oleh kira-kira 90 senator dan ahli parlimen yang menghadiri seminar yang mengambil masa sehari itu.

Terdahulu di seminar tersebut, penggubal undang-undang membincangkan isu-isu seperti pengisytiharan aset penggubal undang-undang, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis, dan pindaan Akta Perikanan, Akta Perhimpunan Aman, Akta Perkhidmatan Parlimen dan Jawatankuasa Khas Parlimen . – 30 Jun, 2019.

Iklan
Iklan