Iklan

Bukan waktu yang sesuai ambil alih lebuh raya, kata pakar ekonomi

Bernard Saw5 years ago1st Jul 2019Berita
Karak traffic 20190204 tmiafif 01
Menurut pakar ekonomi, pengambilalihan itu tidak memberi kesan besar terhadap ekonomi dan hanya dinikmati pengguna lebuh raya terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2019.
Iklan

PENGUMUMAN kerajaan untuk mengambil alih empat lebuh raya utama menerima pujian umum, tetapi lebih baik jika wang rakyat digunakan untuk mempromosikan perkembangan ekonomi, kata penganalisis kewangan.

Mereka berkata, pengambilalihan lebuh raya itu tidak akan memberi kesan besar terhadap ekonomi dan hanya dinikmati oleh pengguna laluan tersebut.

Pembantu profesor ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman Wong Chin Yoong berkata, langkah kerajaan itu ibarat membuat pinjaman untuk membayar satu lagi pinjaman dan tiada perbezaan besar dari segi ekonomi.

Wong berkata jika lebuh raya itu dikendalikan oleh syarikat disenarai awam, maka rakyat mempunyai peluang untuk membeli pegangan dan menikmati keuntungan.

“Tetapi peluang untuk menikmati keuntungan sebagai pemegang saham tidak lagi ada,” katanya.

Wong berkata, walaupun sebuah syarikat swasta mengendalikan lebuh raya itu, mereka akan meletakkan soal keuntungan terlebih dahulu dan ini bermakna penambahbaikan akan berterusan untuk kekal berdaya saing sambil bertanggungjawab kepada pemegang saham.

“Namun sebaik sahaja kerajaan ambil alih, tiada lagi soal tanggungjawab. Isu penyelenggaraan, kesesakan, kemalangan dan lain-lain akan berbangkit,” katanya.

Wong berkata ada kebaikan dan keburukan jika lebuh raya dikendalikan oleh syarikat swasta atau kerajaan.

Namun beliau tidak boleh menyatakan perkara itu kerana semuanya bergantung kepada pelaksanaan.

Beliau berkata hutang dan bon syarikat lebuh raya tersebut masih lagi dijamin oleh kerajaan.

“Menurut Kementerian Kewangan, ia masih layak sebagai liabiliti kontingen,” kata Wong.

Pakar ekonomi  Ho Kee Peng berkata beliau tidak faham rasional kerajaan membeli lebuh raya itu sedangkan Putrajaya berulang kali berkata soal kekurangan wang.

Ho berkata walaupun ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4% ketika ekonomi dunia merosot, jumlah yang diunjurkan masih rendah berbanding biasa.

Oleh sebab itu, beliau mempersoalkan sama ada ini merupakan masa yang tepat untuk pengambilalihan lebuh raya.

“Kerajaan cuba menenangkan hati rakyat tetapi ini akan menyebabkan permulaan yang buruk dalam pasaran pelaburan.

“Ia menunjukkan seperti kerajaan akan membeli syarikat yang untung selepas ini,” katanya. – 1 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan