LANGSUNG: Bekas pengarah SRC International disoal balas sebab larikan diri
Iklan
PERBICARAAN SRC International Najib Razak masuk hari ke 30 hari ini, dengan saksi ke-42, bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin kembali mengambil tempat.
Beliau dijangka akan diperiksa balas oleh peguam bela berhubung dakwaan beliau meninggalkan negara kerana bimbang dengan nasib dirinya selepas skandal 1Malaysia Development Berhad terbongkar pada 2015.
Dua minggu lalu, Suboh, 68 memberitahu mahkamah beliau melarikan diri ke Bangkok, Thailand.
“Saya bimbang dengan apa yang berlaku dan Najib, yang berkuasa sebagai perdana menteri ketika itu. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada saya dan keluarga saya.”
Najib yang juga menteri kewangan ketika itu menjadi tumpuan berhubung skandal 1MDB.
SRC International merupakan entiti kerajaan, bekas anak syarikat 1MDB, sebelum ditukar hak milik kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada Februari 2012. Najib juga merupakan penasihat emeritus kepada SRC International.
Pemeriksaan balas hari ini juga dijangka akan memfokuskan kepada motif beliau melarikan diri, dan juga dakwaannya bahawa bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan Najib mengawal sepenuhnya SRC International.
Suboh berkata beliau dinasihatkan untuk melarikan diri oleh Nik Faisal, yang sehingga kini masih tidak dapat dikesan. Beliau turut mendakwa menerima panggilan telefon daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak dikenali.
Di Bangkok, Suboh bertemu seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkan tiket penerbangan ke Abu Dhabi.
Beliau tinggal di Hotel Rosewood di Abu Dhabi lebih seminggu, dengan semua perbelanjaan dibayar. Beliau kemudian kembali ke Bangkok dan kemudian ke Kuala Lumpur.
Di Malaysia, Suboh berkata, beliau dihubungi Nik Faisal, yang sekali lagi memintanya lari untuk mengelakkan pihak berkuasa. Ini berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke 14 Mei tahun lalu.
Suboh memberi keterangan bahawa beliau hanya mempunyai peranan kecil di SRC International. Katanya, tiada apa yang boleh diteruskan tanpa kelulusan daripada Nik Faisal yang disifatkannya sebagai “ada kaitan” dengan Najib.
Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa Nik Faisal merujuk kepada Najib setiap kali rujukan dibuat terhadap “orang berpangkat yang lebih tinggi” yang mahukan cadangan atau transaksi melibatkan jumlah yang besar dipercepatkan.
Sebagai contoh katanya, lembaga pengarah yang membuat keputusan untuk mempercepatkan pemberian RM250 juta kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd, yang dilantik pada 3 September, 2014 untuk menjalankan program tanggungjawab sosial korporat SRC International.
“Saya bangkitkan persoalan mengenai peratusan syarikat dan isu berkaitan pematuhan kerana RM250 juta itu melibatkan penggunaan dana SRC International.
“Tetapi Nik Faisal mendakwa, ‘Ia akan diuruskan’, dan menambah perkara itu telah diluluskan oleh ‘pihak atasan’.
“Pada pandangan saya, ‘pihak atas’, yang disebutkan oleh Nik Faisal, merujuk kepada Najib, yang merupakan penasihat emeritus SRC International,” katanya kepada mahkamah.
Suboh menyerah diri kepada SPRM pada Jun tahun lalu, dan kini berada di bawah program perlindungan saksi.
Pertuduhan Najib pada perbicaraan ini adalah berkaitan pinjaman sebanyak RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Beliau berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa. Jika sabit kesalahan, beliau bakal menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Najib, 66 diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Negara Tommy Thimas mengetuai pasukan pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengetuai perbicaraa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
4.57pm: Prosiding bersambung esok pada jam 9 pagi.
4.49pm: Suboh berkata pada masa itu beliau ada masalah kesihatan.
Shafee mencadangkan kepada Suboh bahawa Nik Faisal mengambil kesempatan atas keadaannya dan memalsukan tandatangan.
Shafee berkata Nik Faisal “jual nama” Suboh.
Shafee berkata Nik Faisal membuat keputusan menggunakan nama Najib. Suboh berkata mereka percaya dengan kata-kata Nik Faisal bahawa semua arahan datang dari Najib.
4.44pm: Shafee mencadangkan kepada Suboh bahawa Nik Faisal memalsukan tandatangannya, dan Suboh menjawab ada kemungkinan.
4.41pm: Shafee berkata tandatangan Suboh pada dokumen salinan dan asal tidak sama, dan berkata pasukan peguam bela boleh tunjukkan kepada Suboh bahawa semua tandatangan itu tidak sama.
Beliau membayangkan seseorang telah memalsukan tandatangan Suboh ketika dokumen asal diberi kepada bank.
Setiap tandatangan pada salinan cetak (hard copy) adalah palsu, kata Shafee.
Kata Suboh, pegawai SPRM tidak pernah bertanya padanya kenapa tandatangan pada salinan cetak dan yang diimbas tidak sama. Beliau juga berkata bank juga meluluskan tanpa bertanya apa-apa.
4.33pm: Shafee beritahu mahkamah semua dokumen Rentas yang ditandatangani dan diberi kepada bank adalah dokumen yang diimbas kerana dokumen asal dipulangkan semula kepada bank dalam tempoh 48 jam selepas dokumen yang diimbas dihantar.
3.10pm: Suboh mengesahkan tandatangannya pada dokumen SRC International. Transaksi Rentas dari SRC International ke Gandingan Mentari juga ditandatangani oleh beliau dan Nik Faisal.
2.57pm: Prosiding bersambung. Suboh duduk di kandang saksi semula, menyemak tarikh dan masa beliau disoal siasat pegawai SPRM.
1pm: Mahkamah berhenti rehat makan tengah hari.
12.30pm: Shafee menyoal Subuh tentang terma digunakan untuk menandatangani RM5 juta keluar dari SRC International. Suboh berkata beliau menandatangani dokumen itu “ikut sedap”.
Shafee bertanya apa “ikut sedap”, di mana Suboh kemudian membalas tandatangannya pelbagai. Shafee minta beliau mengulangi bahawa tandatangan boleh berubah, dan tidak semua tandatangan serupa.
Suboh berkata pegawai penyiasat SPRM memintanya memberikan sampel tandatangannya. Katanya, beliau beri sampel tandatangannya 10 kali.
Suboh berkata agensi anti rasuah itu tidak memberitahunya kepada mereka perlukan sampel itu dan tidak minta beliau menjelaskan perbezaan dalam tandatangannya itu.
12.20pm: Suboh memberitahu mahkamah beliau disoal siasat oleh SPRM sekurang-kurangnya lima kali.
Katanya, kenyataannya diambil selepas PRU14.
12.15pm: Shafee memulakan soal balas.
12.10pm: Timbalan pendakwa raya masih menyoal Subuh untuk mengesahkan minit mesyuarat SRC International.
10.30am: Suboh mengambil tempat.
10.20am: Nazlan berkata beliau sudah mempertimbangkan hujah berkenaan. Katanya, masih belum pasti bila undian di Parlimen akan diadakan. Beliau berkata mahkamah tidak menghalang tertuduh daripada hadir ke Parlimen apabila beliau tidak berada di mahkamah. Nazlan berkata permohonan utnuk penangguhan itu ditolak.
Perbicaraan diteruskan.
10.05am: Shafee berkata mana-mana peguam berpengalaman tahu bahawa kesaksamaan tidak mutlak. Beliau berkata setiap kes ada perbezaannya.
Shafee berkata terdapat perbezaan dalam kes ini – kerana Najib adalah seorang ahli Parlimen dan beliau ada tanggungjawab Parlimen.
9.55am: Thomas menasihatkan hakim dan mengatakan prosiding ini terlalu perlahan dan perlu dipercepat. Beliau berkata ini kerana kes ini adalah kepentingan negara.
9.40am: Perbicaraan bermula.
Shafee menasihatkan hakim Nazlan, meminta pendengaran hari ini ditangguhkan kerana tertuduh perlu had ke Parlimen untuk undian berhubung undang-undang pengisytiharan aset untuk ahli Parlimen. Shafee berkata Najib perlu ambil bahagian dalam perbahasan.
Shafee berkata, adalah tanggungjawab Najib untuk hadir ke Parlimen sebagai ahli Parlimen. Beliau berkata, ini merupakan kai pertama Najib meminta perbicaraan ditangguhkan untuk sidang Parlimen. Shafee merujuk kepada perbicaraan Karpal Singh dan Anwar Ibrahim yang mana mereka dibenarkan untuk hadir ke Parlimen.
Beliau berkata, anak guamnya meminta penangguhan selama dua hari – hari ini, dan sehari lagi pada minggu hadapan ketika pengundian parlimen berhubung had umur pengundi.
9.30am: Suboh tiba memakai sut hitam dan bertongkat. Beliau mengambil tempat saksi.
Hakim Nazlan masih belum tiba.
9am: Najib menunggu di lobi mahkamah sebelum sesi perbicaraan bermula.
Ketua pendakwaan Tommy Thomas dan peguam bela turut berada di lobi.
Perbicaraan dijadualkan bermula pada pukul 9.30 pagi. – 1 Julai, 2019