Mahkamah tolak permohonan Najib untuk hadir ke Parlimen
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan bagi menghadiri sidang Parlimen.
Peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan untuk penangguhan kerana “penting” untuk Najib hadir pada sidang dewan hari ini untuk undian bagi isu pengisytiharan aset ahli Parlimen.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, tidak dapat dipastikan undian bagi isu itu akan dijalankan hari ini.
“Apa yang penting ialah walaupun beliau adalah ahli Parlimen, beliau berdepan tujuh pertuduhan jenayah,” katanya.
Bekas perdana menteri itu merupakan ahli Parlimen Pekan.
Tambah Nazlan, mahkamah tidak menghalang Najib daripada menghadiri sidang Parlimen apabila tiada pendengaran pada perbicaraannya.
Najib yang hadir memakai sut berwarna biru, tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Terdahulu, ketua pasukan peguam bela, Shafee Abdullah memohon kepada mahkamah untuk penangguhan hari ini kerana “rang undang-undang penting” untuk memaksa semua ahli Parlimen membuat pengisytiharan harta. Najib turut meminta penangguhan kira-kira dua minggu akan datang untuk hadir pada perbahasan bagi mengurangkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
“Anak guam saya adalah ahli Parlimen. Beliau mempunyai tanggungjawab berkanun untuk berada di Parlimen,” katanya ketika membuat permohonan itu pagi ini.
Shafee merujuk contoh sebelum ini yang mana mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan jenayah ahli Parlimen DAP Karpal Singh dan Presiden PKR Anwar Ibrahim agar mereka dapat hadir ke Parlimen.
Tambahnya, pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara tidak membantah dalam kes berkenaan. Tambah Shafee, mahkamah turut membenarkan permohonan untuk menangguhkan pendengaran kesnya ketika beliau menjadi pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), bagi membolehkan beliau hadir mesyuarat.
Beliau turut menyebut Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa), yang mana ia adalah penghinaan kepada mahkamah untuk menghalang ahli Parlimen daripada menghadiri sesi dewan.
Berita penuh di sini.