Iklan

Kali pertama SPRM soal siasat saya di Abu Dhabi, kata Suboh

Bede HongTimothy Achariam5 years ago1st Jul 2019Berita
Najib razak corruption src trial  high court day 80 05
Suboh Md Yassin menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 1 Julai, 2019.
Iklan

SUBOH Md Yassin hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau ditemu bual kali pertama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika melarikan diri ke Abu Dhabi di mana perbelanjaannya di sana ditanggung sepenuhnya, pada 2015.

Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International itu melarikan diri ke luar negara selepas berita tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terdedah pada pertengahan 2015.

Beliau pada mulanya ke Bangkok bersama isterinya.

Suboh dalam keterangannya dua minggu lalu berkata beliau digesa meninggalkan negara ini menerusi panggilan telefon daripada seorang pegawai yang tidak dikenali dari SPRM dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Ketika disoal oleh pendakwa raya hari ini, Suboh berkata beliau didatangi oleh seorang warga Thailand di Bangkok, yang memintanya menandatangani resolusi pekeliling pengarah bertarikh 24 November, 2015.

Resolusi itu bagi meratifikasikan pelantikan Ihsan Perdana sebagai rakan korporat dan tanggungjawab sosial kepada SRC International.

Individu warga Thai dikenali sebagai Kun itu katanya mewakili Nik Faisal dan dokumen berkenaan dihantar menggunakan DHL.

Kun kemudian memberikan tiket pesawat ke Abu Dhabi selepas sebulan berada di Bangkok. Suboh dan isterinya tinggal lebih seminggu di Hotel Rosewood, Abu Dhabi.

Suboh memberitahu mahkamah hari ini ketika tiba di Abu Dhabi, beliau dibawa ke sebuah hotel di mana beliau diberitahu akan ditemu bual oleh “orang SPRM”.

Katanya, beliau tidak tahu kenapa SPRM menemu bualnya di Abu Dhabi, bukan di Kuala Lumpur.

Suboh kembali ke Kuala Lumpur dan menerima panggilan daripada Nik Faisal selepas PRU14 tahun lalu, mengarahkannya keluar dari negara.

Beliau tidak tahu kenapa Nik Faisal mengarahkannya demikian, tetapi beliau memberitahu Nik Faisal beliau akan terus berada dalam negara untuk membantu penyiasat.

Suboh berkata Nik Faisal menghubunginya menggunakan nombor dari luar negara, dan menjawab besar kemungkinan dari China, ketika ditanya lebih lanjut oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Suboh, 68, memberitahu mahkamah dua minggu lalu beliau takut selepas berita tentang skandal itu terbongkar, menyebabkan beliau lari ke Bangkok bersama isterinya.

“Saya takut dengan apa yang berlaku dan Najib Razak yang dulu berkuasa sebagai perdana menteri. Saya tidak tahu apa akan berlaku pada saya dan keluarga saya,” katanya.

Ketika disoal balas oleh peguam Mohd Shafee Abdullah hari ini, Suboh berkata beliau ditemu bual oleh SPRM sebanyak lima kali – sekali pada 2015 dan empat kali selepas PRU14 pada 9 Mei tahun lalu.

Pertuduhan Najib pada perbicaraan ini berkaitan pinjaman sebanyak RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa. Jika sabit kesalahan, beliau bakal menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Najib, 66, diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Shafee.

Peguam Negara Tommy Thimas mengetuai pasukan pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengetuai perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – 1 Julai, 2019.

Iklan
Iklan