Iklan

LANGSUNG: Perbezaan tandatangan, bekas pengarah SRC International disoal

Bede HongTimothy Achariam5 years ago2nd Jul 2019Berita
Suboh
Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meneruskan perbicaraan kes SRC International melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai saksi ke-42 hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Julai, 2019.
Iklan

PERBICARAAN SRC International Najib Razak memasuki hari ke-31 hari ini dengan saksi ke-42 bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin kembali memberi keterangan.

Beliau dijangka akan diperiksa balas semula selepas bersetuju dengan peguam pertahanan bahawa mungkin bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil memalsukan tandatangannya ke atas surat arahan kepada AmIslamic Bank.

Peguam utama bekas perdana menteri Mohd Shafee Abdullah mencadangkan kepada Suboh bahawa Nik Faisal mengambil kesempatan atas keadaannya dan memalsukan tandatangan dan tandatangan pada transaksi bank yang diimbas serta diberikan kepada bank tidak sepadan dengan salinan asal.

“Saya mengatakan bahawa Nik Faisal memalsukan tandatangan anda, mengimbas tandatangan palsu anda dan menghantarnya ke bank. Adakah anda setuju?,” kata Shafee semasa pemeriksaan balas yang mana Suboh menjawab “mungkin”.

Kira-kira sedozen surat arahan kepada AmIslamic Bank antara 2014 dan 2015 dikeluarkan di mahkamah semalam termasuk arahan untuk transaksi antara SRC International dan anak syarikatnya Gandingan Mentari atau rakan kongsi tanggungjawab sosial korporatnya Ihsan Perdana.

Shafee menggunakan projector untuk menunjukkan bahawa tandatangan surat arahan yang diimbas ke bank tidak sepadan dengan dokumen asal yang mesti dihantar ke bank dua hari selepas transaksi diluluskan.

Beliau menunjukkan contoh di mana tandatangan pada surat arahan yang diimbas dipadankan dengan sempurna, mengulas mengenai tandatangan yang berbeza-beza dalam ketebalan dan saiznya.

Fokus juga tertumpu kepada tandatangan Suboh sendiri termasuk pengakuannya bahawa terdapat variasi pada dokumen berkaitan dengan SRC International.

Ditanya mengenai sebab variasi itu, Suboh menjawab: “Ikut sedap,”. Dia menjelaskan bahawa ia bermakna tandatangannya berbeza-beza seperti dilakukan oleh semua orang.

Selepas mengetahui SPRM telah mengambil sampel tandatangan Suboh, Shafee kemudian meminta beliau memberikan 20 salinan tandatangannya di mahkamah, memetik Seksyen 73 Akta Keterangan.

Suboh memberitahu mahkamah bahawa dia diserang angina ahmar pada 2017 dan ini mungkin merosakkan kemahiran motornya.

Pertuduhan Najib pada perbicaraan ini adalah berkaitan pinjaman sebanyak RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa. Jika sabit kesalahan, beliau bakal menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Najib, 66 diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Negara Tommy Thimas mengetuai pasukan pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengetuai perbicaraa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

5:18pm: Mahkamah ditangguhkan. Suboh akan menyambung beri keterangan esok. 

5.12pm: Suasana tegang apabila Sithambaram menegur peguam bela kerana mencelah ketika saksi cuba bercakap.

“Tolong biarkan dia bercakap, kamu menghalangnya.”

Nazlan bersetuju agar saksi dibenarkan bercakap tanpa diganggu.

5.09pm: Suboh berkata Nik Faisal memberitahu lembaga pengarah beliau mengadakan mesyuarat dengan Najib, dan lembaga pengarah kemudian memutuskan untuk mengambil tindakan berdasarkan minit daripada mesyuarat berkenaan.

4.53pm: Harvinderjit bertanya Suboh sama ada lembaga pengarah pernah membuat resolusi rasmi yang menyatakan ia melantik Najib sebagai penasihat emeritus SRC International.

Suboh berkata tiada, lembaga pengarah tidak melantik perdana menteri ketika itu untuk jawatan berkenaan.

Beliau berkata lembaga pengarah tidak pernah menulis surat kepada penasihat emeritus untuk mendapatkan nasihatnya. Tambahnya lembaga pengarah tidak pernah mengadakan pertemuan dengan penasihat emeritus.

Najib tidak pernah berikan sebarang nasihat kepada lembaga pengarah, katanya.

4.27pm: Suboh berkata beliau tidak akan membiarkan wang berkenaan mengalir keluar sekiranya beliau tahu mengenainya dan ditunjukkan borang Rentas.

Harvey: Ini bermakna tandatangan kamu telah dipotong dan ditampal pada borang berkenaan?

Suboh: Itulah yang berlaku.

3.40pm: Suboh mengulangi kenyataan beliau tidak pernah ditunjukkan borang pemindahan Rentas, tetapi tahu tentang wang yang keluar dari SRC International ke Gandingan Mentari dan Putra Perdana untuk kerja-kerja CSR, bagi membantu mangsa banjir di pantai timur.

3.33pm: Katanya, beliau kenal tandatangannya, dan ia bukan tandatangannya. Beliau berkata ketika SPRM mengambil keterangannya di Abu Dhabi pada 2015, beliau tidak ada masa untuk memeriksa borang Rentas.

Dalam kenyataannya pada 2015, beliau mengatakan ia merupakan tandatangannya. Tambahnya, Nik Faisal seirng menghubunginya dalam tempoh itu pada 2015.

3.30pm: Beliau mengatakan perkara yang sama dengan tiga borang Rentas untuk pemindahan dana dari SRC International ke Putra Perdana. Menurutnya, beliau tidak tahu bagaimana tandatangannya digunakan tanpa pengetahuannya.

3.25pm: Suboh berkata, SPRM menunjukkan 13 pemindahan dana Rentas dari SRC International kepada Gandingan Mentari dan Gandingan Mentari kepada Ihsan Perdana. Dalam kenyataannya yang direkodkan tahun lalu, beliau mengatakan tandatangan dalam borang itu bukan miliknya. Pada 2015, beliau mengatakan tandatangan itu adalah miliknya, namun selepas pilihan raya umum tahun lalu, beliau mengubah pengakuan dengan mengatakan seseorang telah meniru tandatangannya. 

Katanya, beliau tidak ingat ada menandatangani borang Rentas dan tandatangan itu berbeza daripada tandatangannya.

3.13pm: Shafee bertanya apa yang menyebabkan beliau menyemak status perjalanannya ketika berada di Jakarta.

Shafee: Apa yang membuatkan kamu periksa sama ada status perjalanan kamu disekat? Ketika berada di Jakarta.

Suboh: Begini, saya bercakap dengan anak lelaki saya yang berada di Malaysia, anak saya minta saya periksa pasport kerana dia tahu saya disekat.

3.10pm: Suboh berkata ketika beliau di Jakarta, beliau menyedari sekatan perjalanan dikenakan ke atasnya.

Beliau segera hubungi SPRM dan bekerjasama dengan mereka. Menurutnya, beliau menghubungi SPRM untuk membatalkan sekatan, pegawai SPRM memintanya kembali ke Malaysia.

Shafee bertanya sekiranya beliau dibawah program perlindungan saksi SPRM, Suboh berkata beliau tidak tahu tentang sebarang perlindungan saksi sebagaimana yang dilaporkan media.

Suboh berkata beliau terus tinggal di rumahnya seperti biasa selepas kembali dan tidak tahu sama ada beliau dilindungi pegawai SPRM.

Apabila beliau kembali, Suboh berkata beliau bertemu dengan pegawai SPRM dan mendakwa beliau tidak membuat sebarang perjanjian dengan mereka.

Beliau tidak pasti sama ada sekatan perjalanan ke atasnya masih berkuatkuasa.

3.07pm: Suboh berkata beliau meninggalkan Malaysia untuk ke Jakarta bersama isterinya pada 9 Mei, 2018.

Menurutnya, beliau ke Jakarta dan hanya kembali semula pada 27 atau 28 haribulan pada bulan yang sama.

3.05pm: Suboh mengulangi kenyataan tandatangan ke atas borang Rentas yang tertera namanya untuk transaksi kewangan dari SRC International kepada Gandingan Mentari adalah bukan miliknya.

Beliau juga tidak ingat ada menandatangani dokumen seperti itu.

3pm: Perbicaraan bersambung.

1.28pm: Mohd Nazlan bersetuju petikan yang dibawa pihak pendakwaan dibacakan. Bagaimanapun beliau membenarkan saksi untuk meneliti kenyataan dan memaklumkan kepada mahkamah bahagian yang relevan selain daripada yang telah dibangkitkan.

Mahkamah berhenti rehat.

1.20pm: Pendakwaan membuat permohonan kepada Mohd Nazlan bahawa saksi hanya baca peetikan terpilih daripada kenyataannya pada 2015.

Bagaimanapun, pihak pembelaan membantah dan berhujah bahawa saksi perlu dibenarkan membawa kenyataan penuhnya sendiri, berbanding petikan.

12.34pm: Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaran memohon maaf atas penangguhan, Suboh akan meneliti kenyataan untuk mengingatkan kembali.

11.15am: Mahkamah berhenti rehat apabila pihak pendakwa raya meminta masa untuk mengambil dokumen daripada pejabat SPRM. Dokumen tersebut adalah kenyataan Suboh kepada SPRM pada 2015 dan 2018.

9.46am: Shafee bertanya sama ada Suboh ada ditunjukkan borang original, Suboh berkata tidak.

Shafee mencadangkan bahawa seseorang telah memalsukan tandatangannya. Suboh berkata dia tidak boleh mengatakan tandatangan yang baru ditunjukkan adalah miliknya.

Suboh juga mengatakan dia tidak dapat ingat apa yang ditandatanganinya di SRC International.

Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meneruskan perbicaraan kes SRC International melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai saksi ke-42 hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Julai, 2019.

9.29am: Shafee menunjukkan kepada Suboh bahawa terdapat dua pengulangan tandatangannya.

Satu yang sama dengan sampel tandatangan Suboh dan satu lagi berbeza dengan sampel tandatangan.

9.26am: Suboh mula memberi keterangan. Pasukan pertahanan menyatakan semula bahawa tandatangan Suboh telah dipalsukan oleh Nik Faisal.

9.12am: Mahkamah bermula untuk penerangan selama dua minit sebelum pasukan pertahanan berdepan masalah teknikal menerusi skrin projektor.

Mahkamah berehat lima minit. – 2 Julai, 2019

Iklan
Iklan