Himpunan Fastaqim 2.0 bermula dengan kehadiran memberangsangkan
Iklan
HIMPUNAN Fastaqim 2.0 di Terengganu hari ini yang menyasarkan 200,000 hadirin terdiri daripada ahli dan penyokong parti Islam PAS bermula secara rasminya 3 petang tadi dengan kehadiran memberangsangkan.
Tinjauan The Malaysian Insight di lokasi perhimpunan di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus yang terletak kira-kira 10 km dari pusat bandar Kuala Terengganu mendapati gerai-gerai jualan dan makanan sibuk melayan pelanggan dari segenap pelosok Malaysia.
Kira-kira 10,000 pengunjung, peniaga, petugas dan ahli parti hadir selepas solat Jumaat hari ini dan kehadiran semakin bertambah setiap jam.
“Ada lebih kurang 400 peniaga yang sudah membuka gerai di sini, ada yang dari semalam (sudah buka),” kata Muhammad Nizal Baharum, seorang peniaga kepada The Malaysian Insight.
Beliau yang bekerja untuk Restoran Abu Khalid dari Kulim, Kedah berkata perniagaan berjalan baik kerana semakin lama, semakin ramai hadirin yang tiba.
Sepanjang perjalanan ke Kuala Nerus dari Kuala Lumpur, ternampak juga kelibat beberapa hadirin menuju ke arah yang sama, termasuk yang berkonvoi.
Penyokong PAS yang hanya mahu dikenali sebagai Arif ditemani isteri dan dua anak kecilnya sejak awal pagi telah bersedia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki penerbangan pertama ke Kuala Terengganu.
Sedondon memakai baju berwarna hijau muda, Arif berkata beliau menghadiri perhimpunan itu sebagai tanda solidariti dan kesediaan perjuangan PAS di samping menghabiskan hujung minggu dengan saudara-maranya di Kuala Terengganu.
“Ada banyak aktiviti di situ (Himpunan Fastaqim 2.0) dan boleh dengar ceramah dari ustaz-ustaz dan tok guru,” kata beliau kepada The Malaysian Insight ringkas selepas penerbangannya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.
Sementara itu, sekumpulan pelajar universiti turut ditemui dalam perjalanan ke Pantai Tok Jembal di warung berhampiran Batu Buruk kira-kira 12 km ke selatan Kuala Terengganu.
Beliau yang hanya memberi namanya sebagai Aizat berkata beliau dan tiga lagi sahabatnya dilihat memakai kopiah dan baju-T Himpunan Fastaqim.
“Kami bergerak dari Perak semalam dan baru tiba untuk sarapan pagi di sini,” kata seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Aizat. Dia dan tiga lagi sahabatnya dilihat memakai kopiah dan baju-T rasmi Himpunan Fastaqim 2.0.
Hampir semua hotel dan rumah tumpangan di sekitar Kuala Terengganu turut penuh, bukan saja kerana Himpunan Fastaqim 2.0 tetapi juga Konsert Jom Heboh anjuran Kumpulan Media Prima Bhd yang berlangsung pada tarikh sama di Kompleks Sukan Sultan Mizan berhampiran.
Seorang pekerja hotel berkata hampir semua hotel di kawasan Batu Buruk, yang terletak kira-kira dua kilometer daripada pusat bandar Kuala Terengganu turut hampir penuh ditempah untuk hujung minggu ini.
“Nampaknya kedua-dua hadirin (untuk Himpunan Fastaqim 2.0 dan Jom Heboh) ramai,” kata beliau.
Sementara itu pemandu Grab, Asri Kasim berkata kedua acara itu menjadikan Kuala Terengganu “meriah” pada hujung minggu ini.
Bagaimanapun beliau turut tidak dapat memisahkan kekuatan antara PAS dan Umno yang sebelum ini bersaing hebat di Terengganu.
“Di sini ada tempat yang Umno-BN kuat, tapi ada juga tempat yang PAS kuat,” katanya.
Pengarah Himpunan Fastaqim 2.0, Nasrudin Hasan berkata PAS bakal mengumumkan kemasukan beberapa tokoh politik nasional sebagai ahli baru parti Islam itu pada acara kemuncak perhimpunan malam esok.
Selain itu, PAS bakal melancarkan jentera pilihan raya parti mereka bagi persediaan Pilihan Raya Umum ke-14.
Menurut Nasrudin, Himpunan Fastaqim 2.0 diadakan bagi menggembleng kekuatan dan memimpin kebangkitan pejuang-pejuang Islam untuk terus istiqamah bagi mendepani cabaran dan seterusnya memuktamadkan kemenangan untuk pilihan raya umum akan datang.
Himpunan itu bakal disertai oleh gabungan Gagasan Sejahtera yang disertai PAS bersama Parti Ikatan Malaysia, Parti Berjasa dan Parti Cinta Malaysia.
Himpunan Fastaqim pertama berlangsung di Kota Bharu Kelantan pada Oktober 2015 dan mencatat kehadiran lebih 60,000, tidak lama selepas perpecahan parti itu yang membawa kepada kelahiran parti serpihan, Amanah. – 29 September, 2017.