LANGSUNG: Suboh disoal mengenai akaun AmBank SRC International
Iklan
PERBICARAAN kes SRC International membabitkan Najib Razak masuk hari ke-32 hari ini dengan saksi ke-42, bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin menyambung keterangannya.
Beliau akan disoal balas untuk kali ketiga selepas mencadangkan semalam bahawa CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil mungkin menipu tandatangan untuk membawa keluar jutaan ringgit dalam transaksi bank kerana ada “gunung di belakangnya”.
Suboh sejak Isnin diasak dengan cadangan oleh peguam adakah Nik Faisal yang menipu tandatangan di surat arahan bank.
Suboh ketika disoal balas semalam berkata Nik Faisal boleh berbuat demikian kerana ada pihak berkuasa atasan menyokongnya.
Suboh tidak mendedahkan identiti “gunung” itu.
Saksi berusia 66 tahun itu turut memberitahu mahkamah semalam beliau memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang saling bercanggah.
Ketika disoal siasat di Abu Dhabi pada 27 November, 2015, beliau berkata tandatangannya untuk kira-kira sedozen surat arahan Rentas kepada Bank AmIslamic adalah tulen.
Ketika disoal di Hotel Pullman, Putrajaya oleh SRPM pada 28 dan 30 Mei tahun lalu, Suboh berkata tandatangan itu tidak tulen.
Sekali lagi, Suboh mengubah keterangannya dan berkata tandatangan itu tulen ketika disoal siasat di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 13 dan 15 Ogos tahun lalu.
Ketua peguam bela Shafee Abdullah berkata penarikan balik yang terakhir itu berlaku selepas Najib didakwa atas kesalahan jenayah berkaitan SRC International.
Pada Selasa, Suboh memberitahu mahkamah bahawa ada kemungkinan tandatangannya ditipu untuk dokumen Rentas.
Suboh berkata beliau membuat kenyataan bercanggah kerana tidak ingat sama ada ia salinan cetak atau dokumen imbasan untuk borang arahan Rentas yang mengandungi tandatangannya yang ditunjukkan padanya oleh SPRM.
Bagaimanapun, katanya tandatangannya ditipu selepas pembela menunjukkan persamaan tandatangan itu di dokumen imbasan. Katanya, ada juga kemungkinan tandatangannya di salinan cetak ditipu, termasuklah ia mungkin dilakukan oleh Nik Faisal.
Nik Faisal masih hilang hingga kini dan dipercayai menetap di Indonesia, menurut laporan.
Pertuduhan Najib pada perbicaraan ini adalah berkaitan pinjaman sebanyak RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Beliau berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa. Jika sabit kesalahan, beliau bakal menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Najib, 66, diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Shafee.
Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengetuai perbicaraa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
The Malaysian Insight membawakan kepada anda prosiding hari ini secara langsung:
5.30pm: Prosiding bersambung Isnin.
5.04pm: Suboh beritahu mahkamah beliau tidak tahu pinjaman RM4 bilion dari KWAP.
4.55pm: Suboh berkata beliau tidak ingat turunkan tandatangan mana-mana dokumen untuk membenarkan pinjaman RM2 bilion KWAP dimasukkan ke dalam akaun SRC International.
4.36pm: Selepas rehat, Harvinderjit bertanya kepada Suboh mengenai penubuhan SRC International.
3.14pm: Suboh berkata setiap kali perlu menandatangani Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR), beliau akan ke pejabat tanpa kehadiran orang lain.
2.26pm: Suboh beritahu mahkamah tidak seorang pun ahli lembaga pengarah merupakan penandatangan bagi akaun Ambank berakhir dengan nombor “736”.
2.53pm: Prosiding diteruskan dengan Suboh disoal balas oleh Harvinderjit mengenai akaun SRC International.
2.47pm: Najib kembali ke mahkamah.
12.35pm: Nazlan berkata mahkamah ditangguhkan sehingga 2.45 petang hari ini tetapi prosiding hanya akan tamat pada 5.30 petang.
12.34pm: Shafee berkata pasukan pembela memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan untuk berhujah yang seorang ahli Parlimen perlu dibenarkan menjalankan tugas berkanunnya.
12.30pm: Shafee bertanyag Mohd Nazlan, sama ada Najib boleh menghadiri taklimat Parlimen dan kembali ke mahkamah pada jam 2.45 petang.
Shafee membuat permohonan, dan Sithambaram tidak membantahnya, tetapi memberi amaran mereka mesti menepati waktu.
12.28pm: Suboh mengatakan tidak tahu mengenai akaun yang berakhir dengan “736”, dan ia adalah akaun rahsia.
Beliau berkata tidak mungkin beliau dapat menandatangani wang yang keluar daripada akaun ini kerana tidak tahu mengenainya.
12.24pm: Suboh bersetuju dengan Harvinderjit ia adalah pemalsuan.
Harvinderjit: Ini adalah penipuan dan pemalsuan, ini adalah seseorang yang tidak mempunyai pengaruh yang melanggar kuasa. Setuju? (merujuk kepada Nik Faisal)
Suboh: Ya, Tetapi saya tidak tahu apa yang mendorongnya berbuat demikian.
Harvinderjit: Kita akan tahu apabila beliau mengaku.
12.20pm: Suboh bersetuju dengan kenyataan pada 29 Ogos 2011, enam hari selepas mesyuarat pertama lembaga pengarah SRC, RM2 bilion masuk dengan 4 transaksi sebanyak RM500 juta setiap satu. Dan pada hari yang sama, wang itu keluar dalam tiga transaksi.
Beliau berkata tidak tahu ke mana pinjaman RM2 bilion daripada KWAP itu pergi.
12.14pm: Harvinderjit kini melebiti bersama Suboh akaun AmBank milik SRC International yang berakhir dengan “736”.
Suboh berkata dari Januari 2011 hingga Ogos 2015, semua wang yang masuk dan keluar dari akaun itu tidak diketahuinya walaupun menjadi ahli lembaga pengarah.
11.45am: Suboh berkata apabila membangkitkan bantahan terhadap tindakan yang dilakukan oleh Nik Faisal, beliau selalu berkata perkara itu akan diuruskan oleh “orang atas”.
Harvinderjit: Adakah beliau mengatakan “orang atas” dimaksudkan sebagai Najib?
Suboh: Tidak, beliau tidak berkata demikian.
11.30am: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba di kompleks mahkamah Kuala Lumpur untuk menyokong Najib dan bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang terlibat dalam perbicaraan rasuah yang lain.
Beliau masuk ke bilik mahkamah dan duduk di galeri awam, di belakang Najib, yang duduk di kandang tertuduh.
Zahid berpakaian sut kelabu dan masuk berseorangan.
11.20am: Suboh berkata “Datuk Azhar Osman Khairuddin” mengambil alih jawatan daripada Nik Faisal sebagai CEO syarikat pada 2014.
Suboh berkata anak lelakinya adalah pihak pasukan pengurusan projek yang diketuai oleh Azhar untuk SRC International bagi melaksanakan projek pembangunan.
Ia adalah projek saluran paip gas Sabah dan inisiatif strategik arang batu negara. Kedua-duanya adalah projek kepentingan nasional.
Beliau berkata setakat 1 September 2014, pengurusan SRC dikendalikan oleh Azhar dan bukannya Nik Faisal.
Suboh berkata beliau tidak dapat memberitahu sama ada sebarang notis lantikan atau pemecatan dibuat terhadap Nik Faisal oleh Najib, yang merupakan perdana menteri pada masa itu.
11.15am: Harvinderjit bertanya Suboh jika beliau tahu lembaga pengarah memutuskan untuk tidak menyambung jawatan Nik Faisal sebagai ketua pegawai eksekutif SRC ketika Suboh masih menjadi pengarah? Suboh kata ya.
Harvinderjit bertanya jika beliau tahu sebabnya?
Suboh mengatakan pihak lembaga pengarah mungkin tidak berpuas hati dengannya, tetapi kedengaran tidak pasti.
Harvinderjit mengeluarkan minit semasa mesyuarat lembaga SRC. Petikan daripada minit mengatakan pihak lembaga pengarah kecewa dengan ketiadaan penyata kewangan yang telah diaudit.
Pihak lembaga pengarah diputarbelitkan dan hanya mengetahui tentang ini daripada laporan oleh The Edge. Ia juga mengatakan pengerusi menekankan kepentingan tadbir urus korporat.
10.30am: Suboh mengatakan jika beliau mempunyai pandangan sebaliknya, beliau akan menyatakannya semasa mesyuarat lembaga.
10.10am: Suboh berkata tidak tahu bagaimana Ismee Ismail menjadi pengerusi SRC International.
Suboh juga berkata tidak menyedari saham SRC International didaftarkan dengan nama 1MDB.
Suboh berkata tidak pernah tahu siapa pengurusan SRC International.
Beliau mengimbas kembali pertemuan dengan Terence Geh tetapi tidak tahu sama ada Terence adalah sebahagian daripada SRC International.
Suboh berkata pejabat SRC International berada di Menara Brdb Bangsar, yang biasanya beliau pergi untuk menghadiri mesyuarat lembaga.
Suboh: Terdapat kakitangan di pejabat, tetapi saya tidak tahu apa yang mereka lakukan di sana.
Harvinderjit: Sama seperti Nik Faisal, bukan? Anda tidak tahu apa yang Nik Faisal lakukan.
Suboh: Ya, ia sama.
Harvinderjit: Adakah ada ketikanya di dalam mesyuarat anda tidak bebas untuk menyuarakan pendapat anda.
Suboh: Saya tidak akan berkata demikian, kami bebas untuk mengatakan apa-apa.
Harvinderjit: Pada mesyuarat itu, anda mesti menyumbang dan mengatakan sesuatu.
Suboh: Ya.
10.00am: Suboh berkata walaupun menandatangani mana-mana dokumen, ia dilakukan dengan kebenaran Nik Faisal.
Harvinderjit memberitahu Nazlan demi menjimatkan masa, beliau akan menggunakan soalan yang sama digunakannya untuk Pengerusi SRC Ismee Ismail dan tidak akan bergantung kepada keterangan Suboh semalam. Nazlan bersetuju.
9.50am: Harvinderjit bertanya Suboh mengenai Aabar-SRC Strategic Resources Ltd.
Suboh berkata tidak biasa dengan kerjasama itu atau dengan pengarahnya dan hanya mengetahuinya secara umum.
9.42am: Harvinderjit mencadangkan lembaga pengarah tidak pernah melihat penyata akaun sebenar, sama ada SRC International atau Gandingan Mentari.
Peguam mencadangkan mengalihkan wang daripada akaun, ia memerlukan kelulusan penandatangannya.
Beliau kemudian mengingatkan Suboh yang beliau sudah memberi keterangan tidak mengetahui transaksi yang melibatkan dana SRC International.
Harvinderjit berpendapat wang dipindahkan tanpa pengetahuan Suboh.
9.40am: Peguam pasukan pembela Harvinderjit Singh meneruskan soal balas Suboh mengenai hal berkaitan salinan surat arahan kepada AmIslamic Bank.
Peguam Negara Tommy Thomas membantah Harvinderjit yang merujuk tanda tangan sebagai pemalsuan, mengatakan ia belum terbukti dan mungkin ada penjelasan lain.
Suboh ditunjukkan enam salinan oleh pasukan pembela dan diminta membandingkannya dengan sampel lain tandatangannya.
Suboh menggambarkan salah satu daripada enam tanda tangan nampak seperti “diringkaskan”. – 3 Julai, 2019.