'Gunung' belakang Nik Faisal hanya imaginasi lembaga pengarah, kata Shafee
Iklan
“GUNUNG” di belakang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) SRC International Nik Faisal Ariff Kamil yang didakwa memberinya kuasa menjalankan aktiviti haram adalah imaginasi lembaga pengarah, kata peguam bela Najib Razak.
Ketua peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah yang ditemui pemberita selepas prosiding hari ini berkata disebabkan pengurusan SRC International dipilih dari kalangan individu berkelayakan, mustahil bekas perdana menteri itu terlibat dalam pemalsuan tandatangan dan menipu lembaga pengarah mengenai akaun yang diaudit.
“Jadi cerita tentang Nik Faisal ada ‘gunung’ di belakang dia tidak lebih daripada imaginasi mereka.
“Mungkin itu kepercayaan kerana dalam budaya Malaysia, lebih-lebih lagi orang Melayu, untuk guna nama. Untuk kata,‘Eh, bos awak minta saya buat ini’, sedangkan bos tak tau apa-apa.
“Jadi, orang takut. Kalau kamu tangkap gambar dengan perdana menteri dan kata kamu kata saya rapat dengan perdana menteri, saya boleh buat ini.. Semua ini adalah contoh guna nama.
“Kalau dia (Nik Faisal) boleh kelirukan lembaga pengarah, kita akan katakan yang dia kelirukan perdana menteri juga, dengan mengatakan lembaga pengarah setuju (dengan rancangannya untuk menipu SRC International),” katanya.
Semalam, bekas pengerusi SRC International Suboh Md Yassin memberitahu mahkamah yang Nik Faisal “berkuasa” kerana “ada gunung di belakangnya”.
“Tahukah anda, dia diperkasa oleh kedudukannya, kenapa? Pertamanya, dia adalah CEO syarikat, dia seorang yang amat berkuasa kerana ada seseorang di belakangnya.
“Seperti kata peribahasa Cina ‘gunung di belakangnya’. Jadi dia tolak kita (lembaga pengarah) ke tepi.”
Suboh tidak mendedahkan siapakah “gunung” yang dimaksudkan. – 3 Julai, 2019.