Iklan

Umat Islam perlu satu jemaah, bayangkan sokong PAS, kata Azhar Idrus

Radzi Razak7 years ago29th Sep 2017Berita
Fastaqim2.0 10
Pada program Dakwah Santai Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus petang tadi, Azhar Idrus berkata PAS dan Presidennya, Abdul Hadi Awang sehingga kini konsisten dalam usaha menegakkan undang-undang Islam di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2017.
Iklan

UMAT Islam perlu menyokong hanya satu jemaah yang menegakkan Islam kerana perbuatan menyokong jemaah lain adalah berdosa, kata penceramah agama popular, Azhar Idrus.

Walaupun tidak menyebut PAS, Azhar yang terkenal dan berpengaruh di Terengganu menyatakan PAS dan Presidennya, Abdul Hadi Awang sehingga kini konsisten dalam usaha menegakkan undang-undang Islam di Malaysia.

“Apabila ada jemaah (Islam) pertama, akan lemahkan jemaah Islam kedua maka hukumnya haram. Kalau ada seribu jemaah tapi semua kuat tak ada masalah.

“Kalau banyak sangat jemaah, rugi tak Islam? Maka hukumnya berdosa.

“Allah tak tanya kamu menang ke tak, tapi tanya kamu buat ke tak,” kata beliau pada program Dakwah Santai Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada petang Jumaat.

PAS menganjurkan Himpunan Fastaqim 2.0 ini sebagai sebuah perhimpunan untuk menggembleng kekuatan yang mengumpulkan ahli dan penyokongnya dengan satu mesej, parti Islam itu sudah bersedia untuk menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Azhar berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin mengenai parti manakah yang patut diikuti orang Islam dalam keadaan politik semasa.

PAS mendapat kecaman daripada bekas sekutunya PKR dan DAP serta serpihannya Amanah selepas keluar dari Pakatan Rakyat dua tahun lalu.

PAS menganjurkan Himpunan Fastaqim 2.0 ini sebagai sebuah perhimpunan untuk menggembleng kekuatan yang mengumpulkan ahli dan penyokongnya dengan satu mesej, parti Islam itu sudah bersedia untuk menang besar dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2017.

Azhar yang mempunyai puluhan ribu pengikut di media sosial berkata kepada lebih 10,000 hadirin di program itu, umat Islam wajib mengikut sesiapa sahaja yang mahu menegakkan Islam.

Pada masa sama, beliau turut menyelar sesetengah pihak yang mahu menegakkan kebajikan tetapi tidak menerima hukum Islam.

“Bukan setakat negara Islam, orang nak buat sukan Islamik pun kita wajib sokong.

“Tidak akan ada kebaikan, kemakmuran dan kebajikan tanpa hukum yang Allah turunkan dari langit.

“Itu parti (yang menegakkan hukum Allah) yang wajib kita sokong. Islam itu di atas, tidak ada hukum lain lebih tinggi,” kata beliau disambut dengan positif oleh hadirin yang memenuhi kawasan Pantai Tok Jembal.

“Bukan kebajikan suku Islam suku,” tambahnya. 

Azhar turut bercerita mengenai Hadi yang menurutnya istiqamah membawa syiar Islam sejak beliau muda sehingga sekarang.

“Dia mengajar tafsir Al-Quran di Rusila selama 40 tahun, dari muda sampai sekarang,” kata Azhar. – 29 September, 2017.

Iklan
Iklan