Iklan

Biar rakyat nilai, Umno hanya tahu buat propaganda, kata Nurul Izzah

Amin Iskandar7 years ago29th Sep 2017Berita
Keadilan mooncake reformasi launching 05
Naib Presiden PKR Nurul Izzah enggan mengulas dakwaan kononnya beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Lembah Pantai dan bertanding di Johor pada PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 September, 2017.
Iklan

NURUL Izzah Anwar menyerahkan nasib politiknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada “rakyat yang lebih tahu menilai, berbanding pemimpin Umno yang hanya tahu buat propaganda”.

Naib presiden PKR itu bagaimanapun enggan mengulas dakwaan kononnya beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Lembah Pantai dan bertanding di Johor pada PRU14.

“Saya bersyukur kerana selama dua penggal, saya diberi amanah dan kepercayaan untuk menjaga Parlimen Lembah Pantai walau dinafikan akses kepada media arus perdana dan wang peruntukan Unit Pelaksanaan Koordinisasi (ICU) bernilai RM5 juta.

“Maka biarlah rakyat yang menilai, kerana merekalah yang tahu wang elaun dan gaji saya dibelanjakan buat maksud kegunaan kawasan, dan suara berani merekalah yang memaksa kerajaan pusat membelanjakan peruntukan pembangunan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya bagi cubaan memenangi hati warga kawasan,” kata ahli Parlimen itu kepada The Malaysian Insight.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Ab Aziz Kaprawi hari ini mengatakan Nurul Izzah hendak lari bertanding di Johor pada PRU14 kerana didakwa gagal memberikan khidmat kepada penduduk di kawasan Lembah Pantai.

Aziz mendakwa inilah sikap sebenar pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gemar berpindah-pindah kawasan yang mereka wakili demi kelangsungan politik peribadi. 

Timbalan menteri pengangkutan itu mengulas laporan Sinar Harian yang memetik analisis akhbar berbahasa Cina Oriental Daily mengatakan empat pemimpin utama PH dikatakan sudah bersedia bertanding di Johor pada PRU14.

Pemimpin yang dimaksudkan ialah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Nurul Izzah.

Nurul Izzah merupakan ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal sejak memenanginya buat pertama kali pada PRU12 pada 2008.

Nurul Izzah berkata, keputusan untuk beliau bertanding di mana-mana kerusi bergantung kepada keputusan PKR.

“Sebelum ini mereka kata saya akan bertanding di Pulau Pinang, sekarang Johor pula.

“Ini merupakan serangan politik murahan, yang hanya lahir daripada ketakutan semata-mata berhadapan dengan angin perubahan tidak perlu saya endahkan,” katanya.

Menurut laporan Sinar Harian, analisis yang dibuat Oriental Daily menunjukkan penubuhan Bersatu oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin tidak mencetuskan gelombang ahli Umno keluar secara beramai-ramai daripada parti itu, tetapi ia bukan bermakna parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu mampu meneruskan pencapaiannya seperti PRU13 lalu.

Pada PRU13 lalu, Pakatan Rakyat (PR) Johor memperoleh rekod terbaik apabila memenangi lima daripada 26 kerusi Parlimen yang ia bertanding.

PR yang dianggotai PKR, PAS dan DAP berpecah selepas PRU13 kerana perselisihan faham berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan. Pakatan pembangkang itu kini digantikan oleh Pakatan Harapan (PH) yang disertai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah.

PAS pula menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama beberapa parti kecil lain yang akan memeterai kerjasama itu pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Kuala Terengganu hujung minggu ini. – 29 September, 2017.

Iklan
Iklan