BN sudah hantar senarai calon kepada SPRM, kata Najib
Iklan
BARISAN Nasional (BN) sudah menghantar sebahagian daripada nama calon yang sudah disahkan untuk disaring Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata pengerusinya, Najib Razak.
Presiden Umno itu berkata, parti-parti lain tidak mengemukakan senarai calon kepada SPRM dan hanya BN yang melakukannya.
“Sebahagian daripada nama-nama sudah ada pada SPRM dan senarai tambahan boleh kita kemukakan setelah kita confirm nama-nama calon.
“Kita dah ada nama-nama calon tapi kita belum sampai peringkat kita nak mengesahkan dan sebahagiannya sudah ada pada SPRM,” kata Najib pada satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Kuala Lumpur hari ini.
SPRM sebelum ini mempelawa parti-parti politik yang bercadang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya menyerahkan senarai nama bakal calon kepada mereka untuk disaring.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata walaupun tiada undang-undang atau paksaan untuk parti-parti politik berbuat demikian tetapi saringan dibuat bagi memastikan bakal-bakal calon bersih khususnya dari aspek rasuah dan salahguna kuasa.
Bagaimanapun Presiden Pakatan Harapan (PH) Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mereka akan menjalankan saringan sendiri calon mereka untuk pilihan raya akan datang.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut menolak pelawaan SPRM itu mengatakan tapisan oleh Majlis Syura parti itu sudah memadai.
Dzulkifli sebelum ini berkata pada Mei beliau sudah membuat ketetapan tidak akan bertindak sekarang terhadap ahli-ahli politik kerana tidak mahu SPRM dijadikan alat dan modal untuk berkempen oleh mana-mana parti politik.
Katanya, tindakan hanya akan diambil kepada ahli-ahli politik akan diambil selepas PRU14.
Pada sidang media sama, Najib turut berkata kesan daripada peristiwa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur baru-baru ini, kerajaan akan bertindak secara tegas terutamanya soal keselamatan pelajar.
“Kerajaan akan umumkan sesuatu dalam belanjawan berhubung kedudukan sekolah tahfiz dalam negara,” kata perdana menteri.
Najib turut mengesahkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 akan berjalan seperti dijadualkan pada 5 Disember akan datang.
“Kita dengar laporan pengurusan yang dipengerusikan Timbalan Presiden Ahmad Zahid Hamidi tentang program sekitar PAU pada 5 Disember.
“Kita akan jadikan PAU sebagai himpunan meriah dan dapat sambutan positif dan baik,” katanya. – 29 September, 2017.