Iklan

PRU14 gelombang kebangkitan Islam, kata PAS

Radzi Razak7 years ago30th Sep 2017Berita
Fastaqim2.0 tminazirsufari 286
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan yakin Pilihan Raya Umum ke-14 yang bakal menjelang menjadi titik tolak kepada kebangkitan Islam ketika berucap di Himpunan Fataqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 September, 2017.
Iklan

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini bakal menjadi titik penting kebangkitan Islam yang akan memutlakkan kuasa politik umat Islam di Malaysia, kata Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan.

Nasrudin berkata sama seperti setiap dua kali pilihan raya di negara ini, pilihan raya yang akan datang bakal menyaksikan perubahan yang besar.

“Kalau tahun 1990 orang kata itu gelombang Tengku Razaleigh. Kalau tahun 1999 orang kata itu gelombang Reformasi. Kalau 2008 orang kata tsunami Cina.

“Maka, Insya-Allah tahun 2017 ataupun awal 2018 ini, kita akan lihat gelombang kebangkitan Islam untuk kembalikan kuasa politik kepada umat Islam,” katanya pada majlis ceramah pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Kuala Terengganu, malam tadi.

Kenyataan Nasrudin itu disambung gema laungan takbir “Allahuakbar” daripada lebih kurang 20,000 hadirin yang memenuhi tapak perhimpunan di Pantai Teluk Jembal itu.

Majlis ceramah malam tadi diadakan menjelang malam kemuncak Himpunan Fastaqim 2.0 malam ini yang disebut-sebut sebagai pentas untuk menghantar isyarat kepada seluruh rakyat Malaysia yang parti Islam itu sudah bersedia untuk menang besar dalam PRU14 nanti. Acara kemuncak malam ini akan diketuai oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Dalam ceramahnya, Nasrudin yang juga pengerusi Himpunan Fastaqim 2.0 mendakwa umat Islam di negara ini sudah lama “dibangsatkan di negara sendiri”.

PAS yakin pilihan raya yang akan datang bakal menyaksikan perubahan yang besar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 September, 2017.

Beliau merujuk isu cadangan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang dibawa Hadi di Dewan Rakyat tetapi dikritik hebat oleh bekas sekutu politik PAS serta parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) selain Umno.

“Umat Islam menjadi bangsat dalam tanah air sendiri. Tuan boleh tengok sewaktu kita memperjuangkan RUU Akta 355. Akta yang tidak ada kena mengena kepada orang bukan Islam. 139 orang daripada 222 adalah ahli Parlimen Islam. Sampai sekarang nasib pindaan Akta 355 ini masih menjadi tanda tanya.

“Oleh kerana PRU14 tak lama saja lagi dari sekarang, kita jangka ia jadi turning point (titik tolak) kepada kebangkitan Islam,” kata Nasrudin.

Pentas ceramah malam tadi yang asalnya dikhususkan sebagai tanda solidariti kepada nasib etnik Rohingya di Myanmar yang jadi pelarian bagaimanapun bertukar jadi pentas pidato politik Malaysia.

Barisan penceramah yang terdiri daripada pemimpin badan masyarakat yang menyokong PAS lebih banyak mengkritik penentang parti Islam itu daripada bercakap mengenai mengenai isu Rohingya.

Antara yang dijadual berucap pada malam tadi ialah bekas Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, namun beliau tidak muncul.

Pengumuman nama Khalid oleh pegawai perhimpunan pada sebelah petang sebelum acara bermula mencetuskan spekulasi dalam kalangan hadirin dan wartawan kemungkinan ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu antara “dua, tiga tokoh politik nasional” yang dikatakan bakal membuat pengumuman masuk PAS, malam ini.

Nasrudin yang ditanya oleh wartawan kemudian hanya mengatakan Khalid akan hadir pada acara kemuncak malam ini.

“Dia (Khalid) akan hadir (malam ini) dalam jam 8 atau 8.30 malam. (Tetapi) Dia kena balik cepat sebab ada acara di Indonesia,” katanya, dan terus enggan mengulas lanjut.

Nasrudin, Rabu lalu, pada sidang media terakhir sebelum Himpunan Fastaqim 2.0 menyebut akan ada kejutan pada perhimpunan ini iaitu “dua atau tiga tokoh politik nasional” akan menyertai parti Islam itu semasa kemuncak.

Bekas Pengerusi PKR Perak, Mustafa Kamil Ayub turut berceramah malam tadi sebagai wakil pertubuhan masyarakat, Kongres Rakyat.

Dalam pidatonya, beliau mengangkat kepimpinan Hadi dan memberikan sokongan kepada “politik matang dan sejahtera PAS” — wajah baru yang cuba ditonjolkan oleh parti Islam itu, yang juga pernah disentuh oleh Perdana Menteri Najib Razak yang juga presiden Umno dalam satu ucapannya di Kelantan, bulan lalu.

“Ini lambang kebangkitan rakyat sebenarnya dan lambang kematangan politik dalam PAS, dan kita dalam Kongres Rakyat mendokong penuh matlamat PAS bawa politik matang dan sejahtera.

“Kebejatan rakyat disebabkan oleh pemimpin yang diketengahkan tidak berkualiti.

“Pada hemat saya, Tuan Guru Haji Hadi presiden PAS yang juga naib ketua ulama dunia punya kekuatan untuk menjadi tenaga nombor satu untuk umat Islam negara ini,” katanya, dalam pidato yang mirip suara, nada dan lenggok Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

Sebahagian penyokong PAS yang hadir pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 September, 2017.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Alifbata Srikandi Masyhur, Wan Asshima Kamaruddin mengkritik keadaan di Selangor apabila “umat Islam menjadi takut kepada orang kafir” kerana membenarkan pesta arak dan tuntutan pihak LGBT untuk menganjurkan pesta tarian gay di negeri itu.

“Kita di Malaysia pun, harus jadikan iktibar dengan kejadian menimpa rakyat Rohingya tetapi saya lihat di Selangor pun sudah ada unsur umat Islam takut kepada orang kafir,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat mengkritik DAP kerana “menghina” Hadi ketika pembentangan pindaan kepada Akta 355 di Parlimen.

Katanya, DAP dan pemimpin liberal kini tidak lagi takut menyerang Islam secara terbuka.

“Sakitnya hati saya hanya Allah sahaja yang tahu. Mereka maki dan hina Tuan Guru (Hadi) sehingga masa yang diberikan Speaker Dewan Rakyat terbuang selama 40 minit.

“Kalau tahap kesabaran saya tidak kuat hari itu, mahu saya terajang Lim Kit Siang (penasihat DAP) kerana menentang RUU355 dan disokong pula oleh pemimpin liberal daripada komponennya,” kata beliau.

Lebih ramai lagi dijangka hadir ke perhimpunan sepanjang hari ini dan seterusnya acara kemuncak malam ini, yang menyasarkan 200,000 hadirin.

Pada acara kemuncak malam ini, PAS turut dijangka memperkenalkan sekutu kerjasama baru politiknya yang bernaung di bawah nama Gagasan Sejahtera yang terdiri daripada Parti Ikatan, Berjasa dan parti berbilang kaum, Parti Cinta Malaysa. – 30 September, 2017.

Iklan
Iklan