Iklan

Liew gesa kawalan lebih ketat aktiviti bom ikan selepas 3 penyelam maut

Jason Santos5 years ago6th Jul 2019Berita
Christina liew sabah pakatan harapan jan 31
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew menggesa hukuman lebih berat dikenakan kepada mereka yang melakukan aktiviti bom ikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2019.
Iklan

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Christina Liew mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berhubung kegiatan bom ikan di Sabah selepas tiga orang, termasuk dua pelancong China, terbunuh dalam satu kejadian letupan di perairan Semporna semalam.

Liew, yang juga menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar, berkata beliau sedih dengan tragedi itu.

“Saya dimaklumkan malam ini mengenai kematian dua pelancong China dan pengajar penyelam tempatan, dipercayai kerana bom ikan, di kawasan Semporna.

“Kejadian itu mungkin dapat dielakkan. Hakikat bahawa bom ikan masih berlaku dan ia perlu ditangani secara serius.

“Ia amat menyedihkan saya kerana ada nyawa yang melayang akibat aktiviti bom ikan yang tidak bertanggungjawab dan secara haram. Saya menggesa pihak berkuasa, serta pegawai di jabatan saya agar lebih berhati-hati dan memastikan penguatkuasaan dilakukan supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya di Kota Kinabalu malam tadi.

Dalam insiden pukul 5.50 petang itu, dua warga China dan juru latih menyelam maut selepas bom ikan meletup berhampiran Pulau Kalapuan.

Polis Sabah berkata mereka sedang menyiasat perkara itu, tetapi menambah tiada saksi yang ke depan.

Pelancong yang maut dikenal pasti sebagai Zhao Zhaeng Xu dan Ying Jie. Butiran mengenai jurulatih selam masih belum diperolehi.

Liew berkata kejadian itu bukan setakat memastikan keselamatan pelancong dalam perjalanan menyelam di perairan Sabah.

“Saya menggesa hukuman keras bagi aktiviti bom ikan, seperti denda lebih berat dan tempoh hukuman penjara.” – 6 Julai, 2019.

Iklan
Iklan