Bersatu cadang ubah sistem undi untuk kekang pengaruh Sabah, kata penganalisis
Iklan
ANTARA sebab Bersatu mencadangkan perubahan sistem pengundian adalah untuk menghalang ahli dari Sabah menjadi “king maker” dalam parti, kata penganalisis.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata ahli parti dari Sabah- dijangka mencecah 200,000 orang tidak lama lagi- akan berupaya menentukan kepimpinan parti dengan sistem “satu ahli, satu undi” yang diamalkan sekarang.
Ketika ini, Bersatu Sabah mempunyai 127,000 ahli berdaftar dan dijangka mencecah 200,000 ahli sebaik sahaja parti itu menyiapkan proses pendaftaran ahlinya, menjadikan Sabah negeri paling ramai ahli Bersatu di negara ini.
Parti itu mahu meminda perlembagaannya pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dijadualkan berlaku pada 20 Julai ini, antara cadangan pindaan adalah mengubah sistem pengundian.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata parti itu bercadang menggunakan sistem pengundian diamalkan Umno.
“Ini bermakna ketua cawangan boleh undi ketua bahagian dan ketua bahagian boleh undi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi,” kata Lee.
Bagaimanapun, Lee memberi amaran sistem baharu itu juga akan bermasalah.
“Sistem satu ahli satu undi diamalkan PKR memberi ruang untuk bahagian, tetapi mengamalkan sistem pengundian Umno akan menggalakkan politik wang dalam parti walaupun ia diuruskan dengan baik,” jelasnya.
Lee juga percaya sistem Umno “sedikit tidak demokratik” dibandingkan dengan sistem pengundian PKR.
EGM perlu diadakan bagi membolehkan Bersatu melaksanakan sistem pengundian baharu pada pemilihan parti dijadualkan berlaku September depan.
Sumber parti juga percaya sistem satu ahli satu undi juga punca Mukhriz mencadangkan tiga jawatan tertinggi Bersatu tidak dipertandingkan tahun ini.
Mukhriz mendakwa ahli parti tidak berminat merebut tiga jawatan tertinggi yang kini dipegang Dr Mahathir Mohamad (pengerusi), Muhyiddin Yassin (presiden) dan dirinya selaku timbalan presiden.
Bersatu Sabah sudah menyiapkan penubuhan 25 bahagian di Sabah pada pertengahan Mei lalu dan kini adalah parti pemerintah kedua terbesar di negeri itu, dengan sembilan orang Adun.
Menjelang pendaftaran Bersatu di Sabah pada April lalu, pemimpin Parti Harapan Rakyat Sabah Lajim Ukin membubarkan partinya dan mencadangkan gabungan besar-besaran dengan Bersatu, membawa masuk lebih 60,000 orang ahli parti bersamanya.
Sebahagian besar keahlian Bersatu Sabah terdiri daripada bekas ahli Umno yang beramai-ramai meninggalkan parti itu Disember tahun lepas. – 6 Julai, 2019.