Tragedi 3 penyelam maut, Umno Sabah desak bot pam kembali diharamkan
Iklan
KEMATIAN tiga penyelam, termasuk dua warga China yang didakwa kerana bom ikan mewujudkan kembali desakan supaya kerajaan Sabah kembali mengharamkan bot pam.
Pentadbiran negeri sebelum ini pada 2017 mengharamkan penggunaan bot pam, tetapi arahan itu dipercayai dibatalkan Warisan Sabah selepas menang pilihan raya tahun lepas.
Bot pam sering dikaitkan dengan aktiviti bom ikan di pantai timur negeri itu. Ia juga dianggap “kapal pilihan” untuk kumpulan penculik yang bergiat aktif di selatan Filipina.
Pemangku Ketua Umno Tawau Ghazalie Ansing mengecam kerajaan persekutuan dan negeri kerana tidak bertindak wajar mengekang ancaman bom ikan.
“Ini kejadian serius. (Bom ikan) boleh mengancam bukan sahaja nyawa, tetapi keselamatan negara.
“Bom ikan selalunya dibuat orang menggunakan bot pam, di perairan cetek dan kawasan batu karang. Jika aktiviti ini diteruskan, ia akan menjejaskan industri pelancongan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Umno Sabah juga mendesak pihak berkuasa mengheret dalang tragedi semalam ke muka pengadilan. Tragedi semalam menyebabkan dua warga China dan jurulatih penyelam warga tempatan di Pulau Kalapuan maut.
Pada 23 Mei tahun lepas, kerajaan negeri diterajui Warisan dilaporkan berkata ia akan mempertimbangkan membatalkan arahan pengharaman penggunaan bot pam terutama di kawasan pantai timur Sabah.
Kawasan pantai timur Sabah adalah Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) dan dikawal oleh Pusat Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Perintah berkurung malam hari masih berkuatkuasa di ESSZone, walaupun kegiatan perikanan dan aktiviti lain masih boleh dijalankan pada malam hari dengan kelulusan ESSCom. – 6 Julai, 2019.