Sabah tingkat pengawasan bendung aktiviti bom ikan
Iklan
POLIS Sabah meningkatkan rondaan di luar pesisir bagi memantau kegiatan memancing menggunakan bom ikan susulan kematian tiga penyelam di Semporna semalam, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah hari ini.
Beliau berkata, polis masih menjejaki dalang di sebalik insiden pengeboman ikan sehingga membunuh dua warga China dan penyelam kelahiran Semporna di Pulau Kapaluan di Semporna semalam.
“Tidak ada saksi kejadian, tiada seorang pun ditahan atas kejadian itu,” katanya sambil menambah hanya bot kecil yang dikesan berhampiran tempat menyelam.
Kes itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Omar mengakui tidak mudah untuk mengesan nelayan yang menggunakan bom ikan.
“Agak sukar juga untuk menjamin keselamatan perairan di pesisir Pantai Timur Sabah kerana kawasannya yang luas,” katanya.
Omar merayu kepada orang ramai yang tahu apa-apa maklumat mengenai insiden itu untuk tampil membantu polis.
Tiga penyelam termasuk dua warga China dan seorang warga Malaysia terbunuh ketika menyelam selepas bom ikan meletup kira-kira jam 4 petang semalam.
Polis mengesahkan ledakan bom itu mengakibatkan kematian mangsa berikutan terdapat banyak ikan turut mati di tempat kejadian selain menghancurkan karang di kawasan itu.
Peralatan menyelam di badan ketiga-tiga mangsa juga rosak.
Mangsa dikenal pasti sebagai Ab Zainal Abdul, 30, Zhao Zhong, 26 dan Xu Yingjie, 26.
Ketiga-tiga mayat mangsa ditemui pada kedalaman 5.8 meter. – 6 Julai, 2019.