Iklan

Umno ambil alih semula urusan Putrade

The Malaysian Insight5 years ago7th Jul 2019Berita
Umno general assembly 2018 tmi 02
Umno sedang bergelut masalah aliran tunai sejak akaunnya dibekukan pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2019.
Iklan

UMNO kembali menguruskan sendiri asetnya Putrade Property Management Sdn Bhd (Putrade) selepas Yahya Abd Jalil meletak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat sekitar Mac lalu, kata sumber parti.

Kepimpinan Umno sedang meneliti beberapa calon dari kalangan pimpinan parti untuk menerajui Putrade, syarikat yang menguruskan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) termasuk Menara Dato Onn yang menempatkan ibu pejabat Umno.

“Kita jangka pelantikan pengerusi Putrade akan dibuat dalam sedikit masa lagi,” kata sumber parti kepada The Malaysian Insight.

Kerusi pengerusi Putrade kosong semenjak bekas setiausaha politik Najib Razak, Alies Anor Abdul melepaskan jawatannya pada September tahun lalu. Ketika ini, bekas ahli parlimen Kuala Selangor, Irmohizam Ibrahim merupakan satu-satunya ahli Lembaga Pengarah Putrade. 

Umno sebelum ini meminta bantuan Yahya untuk menstruktur semula operasi Putrade yang ketika itu mengalami masalah aliran tunai yang kritikal selepas parti Melayu itu tidak lagi menjadi kerajaan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Antara tugas beliau ialah membantu menyusun kembali aliran tunai PWTC dengan mendekati syarikat pengurusan acara termasuk kementerian dan agensi kerajaan persekutuan untuk menganjurkan program di bangunan tersebut.

Putrade adalah syarikat yang menguruskan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) termasuk Menara Dato Onn yang menempatkan ibu pejabat Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2019.

Pelantikan Yahya mencetuskan desas-desus Umno menjual asetnya kepada ahli perniagaan itu yang juga pengarah urusan Gerbang Perdana. Yahya dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Putrade pada 23 Oktober tahun lalu.

Yahya bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menegaskan beliau dilantik menguruskan aset Umno atas dasar pengalamannya sebagai pengarah Urusan Advanced Maintenance Precision Management Sdn. Bhd. (AMPM), yang mempunyai kepakaran dalam menguruskan kemudahan bangunan.

“Fakta ini perlu diperbetulkan. Saya bukan mewakili Gerbang Perdana, saya dilantik sebagai individu dalam PWTC,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight sebelum ini.

Selain PWTC, Putrade juga turut menguruskan Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu) di Janda Baik di Bentong, Pahang yang sebelum ini dijadikan pusat pengkaderan dan perang saraf Umno.

Berdasarkan wawasan Yahya, Putrade mengubah pusat latihan itu menjadi sebuah pusat peranginan bagi menjana pendapatan tambahan secara komersial.

Adun Ketari dari DAP, Young Syefura Othman pernah dijemput hadir acara di Ilmu, pusat latihan milik Umno, mencetuskan bantahan banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2019.

Bagaimanapun hujung Februari lalu, Yahya dikritik hebat oleh pimpinan dan ahli Umno selepas beliau menjemput Adun Ketari dari DAP, Young Syefura Othman datang ke Ilmu. Kerusi DUN Ketari juga terletak dalam kawasan Parlimen Bentong.

“Demi menjaga persahabatan dengan pimpinan Umno, Yahya letak jawatan. Yahya cuba bantu jana pendapatan sahaja tetapi tindakan bawa masuk orang DAP dalam Ilmu sukar untuk diterima orang Umno,” kata sumber.

Ilmu ditubuhkan khas untuk memperkasakan ahli Umno melalui latihan selain digunakan untuk program tertutup parti.

Program yang dijalankan di Ilmu selama ini ditanggung sepenuhnya oleh Umno. 

Namun selepas tewas dalam PRU14 setahun yang lalu, Ilmu semakin lengang disebabkan kekangan kewangan apabila akaun parti dibekukan pihak berkuasa. – 7 Julai, 2019.

Iklan
Iklan