Iklan

Shafie gesa nelayan guna bom ikan dikenakan hukuman berat

Jason Santos5 years ago7th Jul 2019Berita
Mohd shafie apdal-irwan
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata beliau sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan isu berpanjangan di negeri itu di Parlimen dan mahu ia dipandang serius. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 7 Julai, 2019.
Iklan

NELAYAN tempatan yang melakukan aktiviti pengeboman ikan sehingga menyebabkan tiga penyelam maut pada Jumaat lalu mesti dikenakan hukuman berat, kata Mohd Shafie Apdal.

Ketua menteri Sabah itu berkata beliau sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan isu berpanjangan itu di Parlimen dan mahu ia dipandang serius.

“Masalah ini sudah terlalu lama wujud.

“Saya minta penduduk tempatan yang tahu siapa yang bertanggungjawab dalam kejadian itu tampil ke depan supaya pihak berkuasa boleh tangkap si pelaku,” katanya kepada pemberita selepas Program Penajaan Pendidikan Petronas di Kota Kinabalu, hari ini.

Ditanya apakah beliau akan mengharamkan penggunaan bot pam selepas kejadian itu, Shafie berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan tersebut sambil menambah bot pam bukanlah penyumbang kepada pengeboman ikan, sebaliknya salah satu jenis pengangkutan.

“Kita boleh kaji kemungkinan itu (haramkan bot pam), tetapi apa yang lebih penting ialah mengkaji bagaimana bom-bom ini dibuat.

“Adakah bom dibuat daripada bahan yang sedia ada di pasaran atau adakah bahannya dibawa masuk melalui negara jiran seperti Filipina,” kata Shafie. 

Kejadian yang meyebabkan tiga penyelam termasuk dua rakyat China maut pada Jumaat lalu dikecam pengguna media sosial dan parti poliitk di Sabah, yang turut menggesa supaya bot pam diharamkan.

Polis Sabah mengklasifikasikan sebagai kes bunuh dan siasatan masih dijalankan.

Industri menyelam menyumbang lebih RM200 juta setahun kepada ekonomi Sabah. – 7 Julai, 2019.

Iklan
Iklan