Iklan

Pertimbang semula projek empangan, kata Bersatu Sabah

Jason Santos5 years ago7th Jul 2019Berita
Bersatu sabah010 copy  full
Ketua Bersatu Penampang, John Ambrose berkata, empangan Papar bukan sahaja akan mengganggu kawasan penduduk Orang Asli bahkan menurut beliau boleh merosakkan tanah yang subur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2019.
Iklan

WUJUD pelbagai alternatif lain untuk menyelesaikan masalah kekurangan air di pantai barat Sabah daripada membelanjakan berbilion ringgit bagi projek empangan mega di Papar, kata pemimpin Bersatu Sabah hari ini.

Ketua Bersatu Penampang, John Ambrose berkata, empangan Papar bukan sahaja akan mengganggu kawasan penduduk Orang Asli bahkan menurut beliau boleh merosakkan tanah yang subur.

“Saya ingin mendesak Kerajaan Negeri untuk mempertimbangkan semula projek pembinaan empangan, walaupun lokasi pembinaannya dikatakan telah dipindah sepenuhnya ke daerah Papar.

“Walau apa pun, masih ada orang asli yang akan terjejas akibat projek itu, menghilangkan warisan mereka, mata pencarian dan itu belum lagi isu bagaimana projek itu akan menjejaskan alam semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan di Penampang.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony melawat apa yang beliau sifatkan sebagai tapak akhir Empangan Papar di Kampung Mondoringin di daerah Papar.

Empangan Papar dicadangkan sebagai pengganti kepada projek empangan yang diumumkan Barisan Nasional, iaitu projek Empangan Kaiduan yang keseluruhannya terletak di Papar.

Penampang dan Papar adalah daerah yang mempunyai kedudukan bersebelahan antara satu sama lain.

Aktivis anti-empangan tempatan bagaimanapun menegaskan Kampung Mondoringin adalah tapak asal Empangan Kaiduan. Mereka mengatakan lokasi projek itu tetap sama cuma hanya nama projeknya yang berubah.

Menurut Ambrose, Kerajaan Negeri tidak membuat kajian kebolehlaksanaan yang sesuai bagi pembinaan empangan itu. Beliau turut mengatakan butiran terperinci mengenai berapa ramai penduduk dan tanah yang akan terjejas masih belum diketahui sehingga hari ini.

“Orang Penampang tak boleh tidur selagi isu ini tidak diselesaikan.

“Setiap hari saya bertemu dan terima panggilan dari orang yang bimbang di Penampang menyatakan bahawa mereka membantah pembinaan empangan itu,” katanya.

Menurut Ambrose, kerajaan juga harus menerima saranan pakar geologi Sabah Dr Felix Tongkul yang mencadangkan supaya kawasan itu diwartakan sebagai kawasan tadahan air semula jadi.

“Sistem penyimpanan (air) yang terbaik adalah apa yang disarankan Tongkul. Jangan potong pokok-pokok dan simpan rizab hutan yang besar, iaitu tempat simpanan air percuma yang dikurniakan tuhan,” katanya.

Ambrose juga mengatakan bahawa Bersatu sedang mengajukan kertas kerja mengenai sistem tadahan air berdasarkan cadangan Tongkul dan ia akan dibentang kepada pihak kerajaan.

Sementara itu Ketua Armada Penampang, Ceasar Mandela Malakun turut menggesa kerajaan negeri untuk mengendalikan perkara itu dengan sikap peka kepada pihak berkepentingan Orang Asli tempatan.

Beliau berkata bahawa isu berkenaan empangan itu membimbangkan, apabila mengetahui pengumuman projek empangan yang tetap dilaksanakan tanpa menerbitkan kajian kebolehlaksanaan apa-apa usaha rundingan yang wajar dengan pihak berkepentingan.

“Kerajaan Negeri harus lebih telus kepada orang ramai jika tidak akan tentangan dari orang ramai (berkenaan hal ini).

“Tidak ada yang tahu di mana empangan itu akan dilaksanakan dan nampaknya walaupun Menteri-menteri dan Pembantu Menteri tidak tahu apa-apa misteri pelaksanaan projek empangan ini,” katanya dalam satu lagi kenyataan berasingan.

Menurut Malakun, tidak ramai yang menyedari bahawa Menteri Pembangunan Infrastruktur sebelumnya, Joseph Pairin Kitingan telah mengumumkan pakej pampasan untuk membantu penduduk kampung memulakan kehidupan baru dalam persekitaran baru mereka.

“Pakej ini termasuk tanah seluas 0.3 ekar bagi setiap rumahtangga dengan rumah berasingan, elaun penempatan semula sebanyak RM10,000 bagi setiap isi rumah, pembayaran sogit” (denda) untuk tanah perkuburan, pampasan kewangan untuk kehilangan tanah, tanaman dan bangunan, lima ekar tanah pertanian dengan hak milik tanah untuk setiap isi rumah dan elaun bulanan RM500 selama 3 tahun untuk setiap isi rumah. “

“Penempatan baharu ini juga akan memiliki sekolah, klinik kesihatan, balai polis, jalan raya, elektrik, air, perkhidmatan telekomunikasi dan sistem kumbahan moden, saliran, pengurusan sisa, gereja, surau, balai masyarakat, lapangan sukan, kedai runcit, pusat kebudayaan dan tanah perkuburan - apakah pakej yang diberikan (oleh kerajaan) sekarang?” katanya. – 7 Julai, 2019.

Iklan
Iklan