Iklan

SPRM hentikan pemakaian baju oren lokap

Img 7406
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya ketika ditemui di ibu pejabat agensi anti rasuah itu di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Julai, 2019
Iklan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghentikan pemakaian baju lokap berwarna oren kerana ia bertentangan dengan prinsip undang-undang, kata Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Latheefa, yang dilantik mengetuai agensi anti rasuah itu sebulan yang lalu, berkata suspek yang dibawa ke mahkamah kini dibenarkan memakai pakaian mereka sendiri.

“Keputusan ini selari dengan prinsip undang-undang, seseorang itu tidak bersalah selagi dia tidak dibuktikan bersalah.

“Pembaharuan berhubung pemakaian gari juga akan dilakukan dan saya akan umumkannya melalui kenyataan media dalam masa terdekat,” katanya dalam temubual khas bersama The Malaysian Insight di Putrajaya, hari ini.

Latheefa mengetuai SPRM berkuat kuasa 1 Jun lepas menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan tempoh kontrak. Mandat jawatan Shukri sepatutnya berakhir Mei tahun depan.

Pemansuhan pemakaian baju oren untuk tahanan lokap SPRM ini adalah antara keputusan awal Latheefa sejak menggantikan Shukri.

Pemakaian baju oren oleh tahanan lokap SPRM dimansuhkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2019.

Beberapa pemimpin politik antara bekas pengerusi Felda Isa Abdul Samad; Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh dan Ketua Menteri Sabah sekarang Shafie Apdal pernah dikenakan baju oren semasa dibawa ke mahkamah untuk perintah reman semasa ditahan oleh SPRM.

Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor bagaimanapun diberikan kelonggaran memakai pakaian sendiri semasa mereka ditahan sehari sebelum dihadapkan ke mahkamah awal tahun ini.

Dalam wawancara yang sama, Latheefa yang terkenal sebagai aktivis hak asasi manusia yang lantang mengkritik kerajaan sebelum ini turut ditanya tanggapannya tentang SPRM.

Katanya, tiada sebarang isu berbangkit antara tugasnya selaku aktivis dan peguam dan sekarang sebagai teraju SPRM.

“Saya pernah bangkitkan mengenai tahanan salah dan salah guna kuasa tetapi tidak pernah memberi komen mengenai sesuatu kes secara langsung.

“Selepas mengambil alih jawatan KP SPRM saya juga mendapati agensi ini sudah melakukan banyak pembaharuan dan belajar dari kes Teoh Beng Hock. Lokap SPRM juga lebih canggih berbanding lokap polis.

“Saya juga akan meningkatkan lagi tahap perkhidmatan kami dalam aspek siasatan,” katanya.

Latheefa juga berharap akan dapat merapatkan jurang antara masyarakat yang selama ini ada tanggapan salah tentang siasatan SPRM.

“Kami mahu memperbaiki hak tahanan untuk mendapatkan akses kepada peguam serta memberikan tempoh rehat (dalam siasatan) yang mencukupi,” katanya.

Latheefa adalah wanita pertama mengetuai agensi anti rasuah itu serta yang pertama tanpa latar belakang penyiasatan dan penguatkuasaan. – 8 Julai, 2019

Iklan
Iklan