Zahid kembali untuk perkukuh kedudukan, kata sumber
Iklan
KEPUTUSAN Ahmad Zahid Hamidi kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno adalah untuk mengukuhkan kedudukannya dan meredakan politiking dalam parti, kata sumber dalaman parti.
Sumber berkata, sejak menyerahkan tugas kepada timbalannya, Mohamad Hasan pada pertengahan Disember lalu, banyak spekulasi muncul mengenai Umno dan kepimpinannya termasuk percaturan pasukan untuk pemilihan parti dua tahun lagi.
Malah kata sumber, ada juga dakwaan wujudnya gerakan untuk menyingkirkan Zahid sebagai presiden melalui pindaan perlembagaan parti yang akan dibentangkan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada November ini.
“Dalam keadaan sekarang, percaturan seperti ini tidak patut berlaku. Pemimpin sepatutnya fokus kepada usaha pemulihan dan perkukuhkan parti.
“Sebelum parti berpecah macam tahun lepas, Zahid kena balik dari bercuti. Lagipun keadaan sekarang stabil, tidak lagi macam dulu,” kata sumber dalaman di ibu pejabat Umno yang enggan dikenali.
Pada Mei lalu, tersebar senarai bayangan yang diberi nama “Team Tok Mat” yang membariskan kepimpinan Umno diketuai Mohamad sebagai calon presiden.
Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin disebut-sebut sebagai calon timbalan presiden sementara tiga calon naib presiden terdiri daripada Asyraf Wajdi Dusuki, Johari Abdul Ghani dan Abdul Rahman Dahlan.
Umno mengadakan pemilihan parti pada Jun 2018 untuk mandat selama tiga tahun sehingga pemilihan akan datang dijadual pada 2021.
Sebahagian ahli Umno menyifatkan tindakan mencatur barisan kepimpinan ini sebagai tidak bertanggungjawab kerana proses pemilihan Umno masih jauh.
Mereka mahu pimpinan atasan memberi perhatian sepenuhnya pada usaha pemulihan parti dan strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Pada hujung Mei juga, ada dakwaan Perlembagaan Umno hendak dipinda bertujuan menyingkirkan Zahid dan bekas presidennya Najib Razak yang berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.
Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub mendedahkan cadangan pindaan ke atas Fasal 9 mengenai hak kelayakan menjadi ahli Majlis Tertinggi parti yang terbatal sekiranya seseorang ahli didakwa di mahkamah.
Mustapha memberitahu The Malaysian Insight, beliau mendedahkan perkara itu untuk menyedarkan ahli Umno tentang apa yang sedang digerakkan oleh sesetengah pihak dalam parti.
Mohamad yang didakwa dalang gerakan itu menafikan tuduhan. Beliau sebaliknya menegaskan perlembagaan parti yang hendak dipinda bertujuan memudahkan proses menjadi ahli Umno.
“Tidak timbul soal saya mengadu domba, saya menjadi dalang bak kata Malaysiakini hendak singkirkan Najib ataupun Zahid. Saya lagi hendak buka ruang seluas-luasnya untuk orang masuk Umno,” ujarnya.
Khaled, naib presiden yang diberi tugas menyusun cadangan pindaan, juga menegaskan tiada usul meminda perlembagaan Umno seperti yang dihebohkan itu.
Sementara itu, sumber menarik perhatian kepada usaha pengukuhan parti yang dibuat oleh Zahid sebaik sahaja beliau kembali bertugas.
“Antara perkara pertama yang Zahid buat bila kembali adalah melantik lima Ahli Majlis Tertinggi Umno. Kemudian beliau lantik pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis dan Selangor,” katanya.
Sumber menjelaskan pelantikan itu tertangguh selama ini kerana Mohamad hanya menjalankan tugas presiden sedang pelantikan sepatutnya dibuat oleh presiden yang sah.
Minggu lalu, Zahid telah melantik lima pemimpin Umno Bahagian untuk mengisi kekosongan jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno berkuatkuasa serta merta susulan tindakan penyandang jawatan itu keluar parti.
Mereka ialah ketua bahagian Batu Pahat (Johor) Mohd Puad Zarkashi; ketua bahagian Hulu Langat (Selangor), Johan Abd Aziz; ketua bahagian Bagan (Pulau Pinang), Shaik Hussien Mydin; ketua bahagian Sepanggar (Sabah), Yaakub Khan dan naib ketua bahagian Seputeh (Kuala Lumpur) Mohd Razlan Muhammad Rafii.
Tiga hari kemudian, Zahid melantik Ketua Umno Bahagian Arau, Shahidan Kassim dan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis dan Selangor.
Menurut sumber, sepanjang enam bulan Zahid ‘berehat’ daripada menjalankan tugas presiden, ahli parlimen Bagan Datuk itu aktif melalui program “Akhirat Di Depan” dengan mengadakan ziarah antaranya ke masjid, surau, rumah anak yatim, maahad tahfiz dan rumah orang-orang tua.
“Gerakan ini untuk mendapat maklum balas yang tepat daripada rakyat mengenai isu-isu semasa dan persepsi mereka terhadap Umno untuk penambahbaikan,” ujarnya.
Umno dan PAS sedang dalam proses akhir memeterai kerjasama politik yang dijangka akan dimuktamadkan bulan ini. Kerjasama dua parti itu ditegaskan sebagai usaha memperjuangkan perpaduan Melayu dan Islam, yang didakwa terancam sejak Pakatan Harapan jadi kerajaan setahun yang lalu. – 9 Julai, 2019