Kemuncak perhimpunan kebangkitan PAS bermula
Iklan
ACARA kemuncak Himpunan Fastaqim 2.0 yang disebut-sebut bakal menonjolkan dan memeterai hala tuju PAS dalam politik Malaysia sekurang-kurangnya untuk pilihan raya umum akan datang bermula malam ini.
Ia berlangsung beberapa jam selepas Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan jentera pilihan raya parti Islam itu tidak akan membantu parti-parti lain pada PRU14, sebaliknya hanya memberi fokus penuh kepada kempen PAS.
“Jentera (pilihan raya) kita tidak sama sekali akan membantu parti lain kerana kita pun tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan parti lain,” katanya petang tadi selepas pelancaran jentera PRU14 PAS sempena Himpunan Fastaqim 2.0.
Acara malam ini dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah yang diikuti solat hajat memohon kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Ia kemudian akan ditutup dengan pidato politik oleh pimpinan PAS dan jemputan, dengan kemuncaknya amanat presiden oleh Hadi dan amanat khas oleh Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.
Selain amanat pilihan raya, Abdul Hadi dijangka mengumumkan pakatan baru politik Malaysia, Gagasan Sejahtera yang mahu menawarkan diri sebagai satu lagi pilihan kepada rakyat dalam PRU14, selain Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Hadi dalam ucapan pada majlis makan malam dengan badan dan pertubuhan masyarakat yang menyokong PAS semalam berkata parti Islam itu mahu “membina landskap politik negara dengan melihat peranan Islam, peranan umat Islam yang tak boleh dipinggir sekali-kali.”
Itulah juga tema yang dijangka diangkat dan diperjelaskan dalam amanatnya malam ini.
Pentas ceramah malam ini akan membariskan pimpinan utama PAS serta ketua parti-parti yang akan membentuk Gagasan Sejahtera termasuk Presiden Parti Ikatan Malaysia (Ikatan), Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Selain parti-parti politik, Gagasan Sejahtera juga akan disertai oleh beberapa buah badan dan pertubuhan masyarakat.
Namun tumpuan pemerhati politik sejak beberapa hari lalu ialah siapakah tokoh politik nasional yang disebut-sebut akan menyertai parti Islam itu. Nasruddin dalam sidang media pada Rabu lepas mendedahkan ada “dua, tiga tokoh politik nasional” yang akan masuk parti Islam itu.
Setakat pukul 8.30 malam, puluhan ribu ahli dan penyokong parti Islam itu terus membanjiri kawasan Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu sejak semalam, termasuk sesetengahnya yang bermalam di tepi pantai Laut China Selatan ini.
Anggaran kasar sekurang-kurangnya 35,000 hadirin berada di kawasan pentas acara kemuncak, dengan ribuan lagi dijangka hadir untuk mendengar amanat pilihan raya umum ke-14 oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Pengarah Fastaqim 2.0, Nasrudin Hassan menetapkan sasaran 200,000 hadirin.
Jalan raya dari Kuala Terengganu menuju ke kawasan Pantai Tok Jembal sesak sehingga beberapa kilometer dengan kenderaan pelbagai jenis yang bersusun hendak menghampiri kawasan acara di Pantai Teluk Jembal. – 30 September, 2017.