Kenapa Latheefa Koya umum tarik diri siasatan kes Azmin?
Iklan
LATHEEFA Koya mahu mengelak persepsi negatif orang ramai terhadap proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila membuat pengumuman menarik diri daripada siasatan agensi itu ke atas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Latheefa berkata beliau terpaksa cepat membuat kenyataan menarik diri daripada siasatan kes, tidak lama selepas dilantik menerajui agensi itu, kerana orang ramai menyangka beliau ada hubungan yang baik dengan Azmin.
Katanya, orang ramai akan menganggap siasatan itu tercemar walaupun hakikatnya sebagai ketua pesuruhjaya beliau tidak terlibat dengan sebarang siasatan SPRM.
“Terdapat dua jenis konflik kepentingan iaitu konflik kepentingan sebenar dan satu lagi persepsi. Ini adalah persepsi.
“Saya fikir saya tidak ada pilihan (untuk membuat kenyataan) jika tidak orang akan menyangka siasatan itu akan tercemar kerana saya memimpinnya (SPRM),” katanya dalam wawancara di pejabatnya semalam.
SPRM menyiasat Azmin berhubung dakwaan beliau menerima sejumlah wang daripada Kumpulan UEM Berhad. Agensi anti rasuah itu kemudian membersihkan nama menteri itu yang juga timbalan presiden PKR daripada sebarang salah laku rasuah.
Dalam kenyataannya yang dibuat seminggu selepas dilantik menerajui SPRM, Latheefa yang juga bekas ahli PKR mengumumkan siasatan tersebut dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki dan pasukannya.
Dalam peranannya sebagai ketua agensi anti rasuah itu, Latheefa berkata beliau menyerahkannya kepada penyiasat pegawai untuk melakukan semua proses siasatan dan tidak campur tangan.
“Sebagai ketua SPRM saya tidak terlibat dalam siasatan sebenar. Tetapi orang perlu memahami perkara ini.
“Ini (pengumuman) hanya untuk memastikan ia (penyiasatan) tidak tercemar.
“Saya hanya boleh memastikan semua siasatan dijalankan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.
Ditanya mengenai kritikan keras terhadapnya kerana penglibatannya dalam PKR, Latheefa berkata ia tidak akan menjejaskan kewibawaannya untuk mengetuai SPRM.
Katanya, beliau sudah menjangkakan reaksi positif dan negatif umum terhadap pelantikannya termasuk dakwaan dikaitkan dengan politik.
Latheefa berkata beliau tidak menyalahkan pihak yang membangkitkan perkara itu namun berharap orang ramai turut memahami sejauh mana penglibatannya dalam aktivisme dan politik.
“Bukan persepsi bahawa saya ahli politik. Itu fakta. Saya bekas ahli politik.
“Tetapi ia perlu difahami mengikut konteks. Lebih setahun saya aktif sebagai pengarah Lawyers for Liberty (LFL) dan peguam hak asasi manusia berbanding sebagai ahli politik.
“Saya tidak ambil bahagian dalam pemilihan (parti) atau pilihan raya umum. Walaupun jadi anggota parti lebih 15 tahun, saya tak pernah ambil bahagian secara aktif sebagai ahli politik,” katanya.
Menurut Latheefa, pelantikannya mencetuskan kebimbangan dan mengejutkan banyak pihak tetapi pada masa sama turut mendapat banyak sokongan daripada orang ramai.
Katanya, selain sudah tidak lagi aktif dalam parti, beliau mengambil keputusan terus keluar secara rasmi daripada PKR sebaik mengetahui akan dilantik ke jawatan itu.
“Isu ini tidak akan menggugat kredibiliti saya kerana pada akhirnya rakyat yang menentukan sama ada saya dapat melakukan tugas ini,” katanya.
Pada 4 Jun lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Latheefa untuk menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memendekkan kontraknya.
Pelantikan berkuatkuasa 1 Jun untuk tempoh dua tahun.
Latheefa adalah wanita pertama mengetuai agensi anti rasuah itu serta yang pertama tanpa latar belakang penyiasatan dan penguatkuasaan. – 9 Julai, 2019.