LANGSUNG: Najib luluskan pertukaran pemilikan SRC International dari 1MDB, kata saksi
Iklan
PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-34 hari ini, dengan saksi ke-43, bekas pegawai Kementerian Kewangan Maliami Hamad kembali memberi keterangan.
Berusia 65 tahun, Maliami adalah bekas setiausaha di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan.
Beliau memberitahu mahkamah semalam bahawa beliau didesak oleh pegawai tinggi, yang berada di bawah bekas perdana menteri Najib, untuk memberi jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion kepada SRC International.
Maliami memberitahu mahkamah beliau terpaksa menyediakan dua jaminan kerajaan pada 2011 dan 2012 lebih cepat daripada biasa kerana diberitahu ia menerima perhatian istimewa Najib.
Mengenai jaminan 2011, Maliami berkata tekanan itu bukan sahaja datang daripada SRC International tetapi juga daripada setiausaha agung perbendaharaan ketika itu, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.
Tekanan juga datang daripada setiausaha sulit Najib, Allahyarham Azlin Alias. Maliami berkata lelaki itu menerima arahan daripada Najib untuk mempercepatkan jaminan itu.
Jaminan kerajaan pertama diluluskan pada 26 Ogos 2011, dan pinjaman pertama dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International pada 29 Ogos 2011.
Saksi itu berkata beliau dihubungi pada 27 Januari 2012, oleh beberapa pegawai SRC International, yang diketuai oleh CEO Nik Faisal Ariff Kamil.
Mereka sekali lagi memintanya untuk mempercepatkan jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion.
Bagaimanapun, pinjaman kedua diberikan sebelum jaminan kerajaan kedua disediakan dan KWAP kemudian berpandukan kepada surat daripada kementerian yang jaminan itu akan datang dan pinjaman itu boleh diluluskan.
Pinjaman kedua RM2 bilion kepada SRC International dikeluarkan pada 28 Mac 2012.
Pertuduhan Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012. Beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Najib berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.
Najib, 66, diwakili oleh sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan dan dihakimi Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
5.12pm: Mahkamah ditangguhkan, pemeriksaan balas ke atas Matnoor disambung esok.
4.51pm: Harvinderjit menyoal Matnoor mengenai bagaimana memo itu ditulis dan proses yang dijalankan untuk membuatnya.
4.15pm: Harvinderjit berkata tidak kira di mana menteri tandatangan dokumen berkenaan, selagi beliau menandatanganinya, bagi menunjukkan ianya diluluskan.
Saksi bersetuju.
3.50pm: Matnoor berkata MoF Inc merupakan entiti berasingan.
Tambahnya pada 2011 dan 2012, menteri kewangan dan menteri kewangan kedua menerajui MoF Inc. Ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah merupakan menteri kewangan kedua.
3.39pm: Harvinderjit teruskan pemeriksaan balas terhadap Matnoor.
Matnoor berkata beliau tidak pernah sediakan kenyataan saksi selepas kenyataannya diambil oleh SPRM.
Matnoor merupakan seorang daripada beberapa saksi yang tidak mempunyai keterangan saksi.
Beliau berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan pasukan pendakwaan minggu lalu, yang mana mereka meminta beliau sahkan beberapa dokumen dan mencari sebab mengapa memorandum itu dibuat.
3.14pm: Mahkamah berhenti rehat.
2.57pm: Matnoor berkata beliau berjumpa Najib untuk menunjukkan draf surat ketika beliau berada di lapangan terbang di Subang. Beliau berkata Najib meneliti draf itu dan menandatanganinya di situ ketika itu.
1.05pm: Matnoor berkata draf surat tidak ada kepala surat juga.
Katanya, beliau terpaksa kembali ke pejabat untuk buat satu lagi versi dengan cap rasmi dan kepala surat.
1.00pm: Matnoor memberitahu mahkamah bagaimana beliau ke lapangan terbang untuk menghantar surat permintaan oleh SRC International untuk jaminan kerajaan kepada Najib.
Beliau berkata, mengejutkan Najib menandatanganinya dan menulis bersetuju dengan cadangan itu. Beliau mengatakan dokumen tersebut tidak mempunyai cap rasmi atau apa-apa.
12.35pm: Matnoor berkata terdapat permintaan oleh Ketua EPU Nor Yakcop untuk meletakkan SRC International di bawah payung Menteri Kewangan Diperbadankan dan bukannya 1MDB.
Beliau berkata tidak ada permintaan rasmi secara bertulis oleh EPU.
12.30pm: Saksi seterusnya yang memberi keterangan Matnoor Nawi, 64, seorang pesara penjawat awam.
Beliau memberitahu mahkamah bekerja dengan Kementerian Kewangan sebagai timbalan ketua setiausaha (Polisi) sebelum bersara.
Beliau menyelia tiga jabatan, salah satunya adalah Menteri Kewangan Diperbadankan. Tugas utama ialah mengawasi 100 syarikat di bawahnya.
Ia memantau penyata kewangan semua syarikat ini setiap suku tahun.
Ia juga memantau aktiviti syarikat termasuk pelaburan, yang perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Menteri Kewangan Diperbadankan.
12.22pm: Saksi dibenarkan meninggalkan kandang saksi.
11.51am: Arahan datang daripada Najib kerana komunikasi datang dari orang lebih tinggi, kata Maliami.
Geran tidak digunakan untuk modal kerja yang diminta oleh SRC International.
Geran biasanya diberikan kepada syarikat baru untuk membolehkan mereka memulakan operasi. Beliau berkata SRC International menerima geran daripada Unit Perancang Ekonomi sebanyak RM20 juta.
11.49am: Maliami berkata beliau ditekan dan menjelaskan istilah “tertekan” bermakna tekanan kerana pegawai perlu membuat memorandum lebih cepat daripada biasa.
Tiada niat jahat ketika beliau menggunakan perkataan “tekanan” dalam kenyataan itu, katanya.
11.33am: Maliami berkata beliau ada isu dengan surat jaminan kerana SRC International memberi alasan yang salah bagi pinjaman itu. Ia perlu diperbetulkan.
10.39am: Maliami berkata Kementerian Kewangan bukan di bawah skop tugasnya dan oleh itu, beliau tidak dapat mengulas mengenainya.
9.55am: Beliau juga bertemu Nik Faisal di Kementerian Kewangan.
Pada mesyuarat 27 Januari 2012, Nik Faisal membawa beberapa pegawai tetapi tidak dapat mengingati siapa mereka.
9.50am: Maliami berkata tidak tahu sama ada pinjaman itu digunakan untuk tujuan lain selain daripada yang dinyatakan dalam memorandum itu.
Memorandum itu dibentangkan dan begitu juga minit mesyuarat Kabinet seminggu kemudian.
9.49am: Merujuk kepada memorandum itu, Maliami membacakan tujuan pinjaman untuk melabur dalam sumber semula jadi. Saksi itu berkata pinjaman bukan untuk membayar kos operasi dan pembiayaan itu boleh diperolehi daripada geran atau bantuan kerajaan yang lain.
9.36am: Maliami berkata satu memorandum mesyuarat Kabinet yang akan dibentangkan untuk mendapatkan kelulusan Kabinet bagi pinjaman RM2 bilion yang pertama SRC International, diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nor Mohamed Yakcop bagi pertimbangan dan tandatangannya.
9.34am: Semasa disoal balas oleh peguam Farhan Read, Maliami mengesahkan beliau pertama kali bertemu pegawai SRC International pada 12 Ogos 2011 berhubung pinjaman RM2 bilion.
9.21am: Mahkamah bersidang. Saksi ke-43, bekas pegawai Kementerian Kewangan Maliami Hamad, mengambil tempat untuk memberi keterangan.– 9 Julai, 2019.