Iklan

Hasrat PAS jadi ‘kingmaker’ tak kesampaian jika bergerak sendiri

Zulkifli Sulong8 years ago14th Apr 2017Berita
Iklan

PERASAAN bekas penyokong kuat PAS terhadap parti lamanya mencerminkan cabaran hebat yang perlu dilalui parti Islam itu dalam percubaan memposisikan dirinya sebagai “kingmaker” (dalang politik) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebelum perpecahan PAS daripada sekutu pembangkang pada 2015, penyokong kuat Mohamad Ismail menghantar lima daripada tujuh anaknya belajar di Madrasah Darul Quran yang diasaskan Presiden Abdul Hadi Awang.

Tetapi selepas peristiwa 2015, yang menyaksikan gelombang beberapa pemimpin PAS berprofil tinggi meninggalkan parti, Ismail mengambil keputusan membawa semua anaknya keluar daripada madrasah yang terleta di Marang, Terengganu dan memasukkan mereka di sekolah di Kuala Lumpur.

“Selepas (peristiwa 2015) saya memberitahu diri sendiri tidak akan sesekali mengundi PAS lagi,” kata Mohamad, yang berasal dari Segambut, Kuala Lumpur.

Mohamad adalah seorang daripada penyokong PAS, yang tidak dapat menerima hala tuju parti Islam itu pada tahun lepas, termasuk mencemuh bekas sekutunya DAP dan PKR, serta memupuk hubungan baik dengan musuh tradisi Umno.

Menurut bekas pegawai parti, Dr Abdul Latif Ibrahim, golongan itu membentuk kira-kira 30% kepada 40% penyokong parti.

Bagi Latif, yang juga bekas penolong setiausaha agung PAS, kehilangan sokongan ini adalah satu daripada punca kegagalan PAS dalam percubaan menjadi “kingmaker” pada pilihan raya akan datang dengan membentuk blok pembangkang ketiga.

“Bagi saya, 30% hingga 40% ahli PAS sekarang termasuk dalam golongan yang keliru. Walaupun kekal sebagai ahli, mereka keliru tentang hala tuju PAS selepas ia berbaik dengan Umno,” kata bekas profesor madya Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pandangan beliau adalah konsisten dengan penganalisis lain yang berpendapat PAS hanya boleh menjadi “kingmaker” sebenar jika ia bekerjasama dengan parti pembangkang lain untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

Jika parti itu berterusan ingin membentuk blok pembangkang ketiga, ia akan kehilangan separuh daripada 21 kerusi yang dimenanginya pada PRU ke-13 empat tahun lalu, kata seorang lagi penganalisis Ibrahim Suffian daripada badan pemikir Merdeka Center.

“Jika PAS mahu menjadi ‘kingmaker’ sebenar, ia perlu mengelak pertandingan 3 penjuru dengan cara berunding dengan semua parti pembangkang lain.

“Ini kerana, semua parti pembangkang termasuk PKR dan Parti Pribumi Persatu Malaysia (Bersatu) memerlukan sokongan PAS untuk memastikan undi Melayu bersama mereka. Justeru, dengan sendirinya PAS menjadi penentu,” kata Ibrahim yang juga pengarah eksekutif Merdeka Center.

Memandangkan parti yang mengintai kerusi majoriti Melayu Islam memerlukan sokongan PAS, parti Islam itu boleh menetapkan syarat kerjasama dan juga mempengaruhi arah blok pembangkang terbesar, Pakatan Harapan (PH).

Hasrat PAS menjadi “kingmaker” dinyatakan pada awal Januari apabila lidah rasmi parti Harakah menyiarkan kenyataan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh bertajuk, “PAS ‘kingmaker’ PRU14” pada muka depannya.

Pada 9 April, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengulangi ia tidak akan menyertai PH atau bekerjasama dengan DAP dan Amanah. Sebaliknya, memberi tumpuan membina blok ketiga dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

Ibrahim meramalkan PAS akan kehilangan sekurang-kurangnya 10 daripada 21 kerusi Parlimen yang kini dipegangnya termasuk lima kerusi yang hilang apabila ahli Parlimen berkenaan meninggalkan parti itu untuk membentuk Amanah.

“Jika 3 penjuru, sekurang-kurangnya lima kerusi PAS yang diwakili Amanah sekarang akan kalah. Begitu juga kerusi lain di Pantai Barat yang ramai pengundi bukan Melayu seperti Hulu Langat, Bukit Gantang  dan Pokok Sena,” katanya.

Analisis Ibrahim selari dengan kajian Invoke Malaysia, unit penyelidikan dimulakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Penemuan Invoke menunjukkan PAS bakal kehilangan semua kerusi jika ia menentang BN dan PH. – 14 April, 2017.

 

 
 
.
 

Iklan
Iklan