Iklan

LANGSUNG: Najib setuju SRC International perlukan RM4 bilion

Bede HongTimothy Achariam5 years ago10th Jul 2019Berita
Najib razak corruption src trial  high court day 83 07
Bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah akan menjadi saksi ke-45 bagi perbicaraan SRC International hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Julai, 2019.
Iklan

BEKAS ketua setiausaha perbendaharaan, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah akan memberi keterangan hari ini di mahkamah dalam perbicaraan SRC International melibatkan Najib Razak selepas memaklumkan tidak sihat semalam.

Pendakwa memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali semalam, saksi berusia 68 tahun itu tidak sihat dan meminta agar perbicaraan bermula lebih awal pada jam 8.45 pagi.

Wan Abdul Aziz, yang akan menjadi saksi ke-45, adalah ketua kepada saksi semalam, Maliami Hamad, yang merupakan bekas setiausaha di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan.

Maliami memberitahu mahkamah pada Isnin yang beliau didesak oleh pegawai kerajaan berpangkat tinggi di bawah bekas perdana menteri Najib, yang menggesa beliau mengeluarkan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion kepada SRC International.

Maliami memberi keterangan bahawa beliau perlu menyediakan dua jaminan kerajaan pada 2011 dan 2012 lebih cepat daripada biasa kerana dimaklumkan ia menerima “perhatian istimewa” Najib.

Bagi jaminan 2011, Maliami memberitahu mahkamah, desakan bukan sahaja datang daripada SRC International tetapi juga daripada Wan Abdul Aziz, yang mengatakan ia adalah perkara dari pihak atas yang mesti disegerakan tanpa mengira keadaan.

Jaminan kerajaan pertama diluluskan pada 26 Ogos 2011, dan pinjaman pertama dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International pada 29 Ogos 2011.

Bagaimanapun, pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion dikeluarkan sebelum jaminan kerajaan kedua disediakan.

KWAP ketika itu hanya berpandukan kepada surat daripada Kementerian Kewangan yang jaminan itu akan diperoleh dan pinjaman boleh diluluskan.

Pinjaman kedua RM2 bilion kepada SRC International dikeluarkan pada 28 Mac 2012.

Najib dikaitkan dengan pertuduhan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International dan dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.

Najib, 66, diwakili sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah sementara Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai barisan peguam pendakwa.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

4.42pm: Prosiding bersambung esok pada jam 9 pagi.

3.20pm: Farhan: Pada dasarnya beliau (Najib) berkata lupakan RM3.95 bilion, tetapi RM2 bilion “memadai”, yang bermaksud ia mencukupi?

Wan Aziz: Ya.

Farhan: Adakah anda menafsirkan ia sebagai arahan?

Wan Aziz: Ia untuk kami mempertimbangkan memberi RM2 bilion.

3.10pm: Wan Aziz berkata beliau sering bertemu dengan Najib untuk membincangkan isu Kementerian Kewangan.

Katanya, beliau dan Najib bertemu dengan isu kementerian selepas mesyuarat KWAP dan bersetuju memberi hanya RM1 bilion kepada SRC International.

Dalam kenyataan saksi beliau, Wan Aziz berkata Najib berkata RM1 bilion tidak mencukupi dan RM2 bilion adalah jumlah yang mencukupi.

Farhan: Apabila beliau berkata RM2 bilion sudah cukup, beliau bermaksud merujuk kepada RM3.95 bilion?

Wan Aziz: Ya.

2.57pm: Farhan: Adakah anda bersetuju pertemuan pertama anda dengan Najib dan ditemani Azian bukannya rasmi? Anda fikir boleh masuk begitu sahaja?

Wan Aziz: Ya

Farhan: Apabila anda memaklumkan kepadanya mengenai hanya RM1 bilion diluluskan, bagaimana reaksi Najib?

Wan Aziz: Beliau tidak berkata apa-apa.

2.47pm: Wan Abdul Aziz berkata dalam mesyuarat panel pelaburan 5 Julai 2011, mereka memutuskan mengehadkan pinjaman SRC International kepada RM1 bilion sahaja dan ia dilakukan dengan usaha wajar.

2.40pm: Mahkamah dimulakan semula dengan Wan Abdul Aziz memberi keterangan.

12.23pm: Wan Aziz berkata sebelum SRC International menulis kepada KWAP untuk pinjaman RM3.95 bilion, beliau menerima panggilan telefon daripada Azlin yang mengatakan Najib bersetuju SRC International akan membuat permohonan.

Beliau memberitahu Azlin proses sewajarnya ialah SRC International perlu menulis dan memohon pinjaman (Azlin adalah setiausaha peribadi Najib pada masa itu).

12.12pm: Unit Perancang Ekonomi ada membuat kajian mengenai daya maju penubuhan SRC International pada 2010, sebelum pinjaman diberikan.

Wan Aziz berkata beliau tidak pasti mengenainya dan perlu melihat kajian itu.

11.43am: Hakim menegur Farhan kerana bertanya soalan berulang kali.

11.38am: Wan Aziz berkata Jabatan Pendapatan Tetap akan bertemu dengan pemohon pinjaman berkali-kali sebelum meluluskan pinjaman KWAP.

Jabatan ini memastikan panel melabur dalam pelaburan yang berdaya maju.

11.27am: Mahkamah bersambung selepas rehat 10 minit. Farhan Read memulakan soal balas.

10.50am: Menurut akta, KSU perbendaharaan juga adalah pengerusi KWAP, kata Wan Aziz.

10.41am: Wan Aziz berkata jawatannya di Menteri Kewangan Diperbadankan dan KWAP serentak. Beliau juga berkhidmat di PNB dari 2012 hingga 2018.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Beliau berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa dalam kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Julai, 2019.

10.33am: Farhan Read memulakan soal balas saksi.

10.31am: Wan Aziz berkata transaksi pinjaman kedua adalah “di luar kebiasaan” kerana wang itu dikeluarkan kepada SRC International sebelum jaminan kerajaan diberikan.

10.17am: Wan Aziz berkata enggan berbincang mengenai pinjaman itu di mesyuarat panel KWAP kerana peranannya sebagai KSU Perbendaharaan.

Menteri Kewangan Diperbadankan berada di bawah bidang kuasanya dan SRC International berada di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan. Beliau berkata ia akan menjadi konflik kepentingan.

10.09am: Pertemuan itu adalah antara Najib dan Wan Aziz.

Selepas Najib membuat permintaan itu, Wan Aziz memberitahu Azian mengenai arahan perdana menteri.

Beliau berkata permintaan itu juga dibangkitkan dalam mesyuarat panel pelaburan pertama bagi meluluskan pinjaman RM2 bilion yang pertama. Terdapat minit mesyuarat.

Sekiranya beliau tidak bertemu dengan Najib mengenai pertambahan jumlah pinjaman, panel itu akan meluluskan pinjaman awal RM1 bilion sahaja.

10.06am: Ketika panel awalnya memutuskan untuk meluluskan hanya RM1 bilion, Wan Aziz dan Azian pergi bertemu Najib untuk memberitahunya tentang keputusan panel itu.

Beliau berkata pernah bertemu Najib sendiri di Pejabat Perdana Menteri mengenai urusan rasmi Kementerian Kewangan. Beliau mendedahkan Najib meminta beliau untuk mempercepatkan pinjaman daripada KWAP.

Beliau juga memberitahu Wan Aziz yang RM1 bilion tidak mencukupi RM2 bilion baru memadai.

10.03am: Beliau berkata wang itu tidak akan digunakan untuk tujuan lain selain termaktub dalam surat permintaan dan perjanjian pinjaman antara KWAP dan SRC International.

Sebarang pelanggaran boleh dianggap sebagai “event of default”.

10.00am: Kertas pelaburan disediakan dan pada 20 Mac 2012, satu mesyuarat panel pelaburan dipanggil serta meluluskan pinjaman RM2 bilion kedua kepada SRC International berdasarkan terma pinjaman pertama - iaitu jaminan kerajaan dan pinjaman dibuat kepada kerajaan dan bukannya SRC International.

9.56am: Terdapat juga resolusi yang ditandatangani oleh Najib pada Februari 2012, memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman RM2 bilion kedua.

Beliau mengenal pasti tandatangan Najib pada resolusi itu.

SRC International berkata kedua-dua pinjaman itu akan digunakan untuk modal kerja dan pelaburan.

9.54am: Pada 13 Mac 2012, satu lagi surat diterima daripada SRC International bertajuk “Cadangan pembiayaan tambahan sebanyak RM2 bilion kepada SRC” yang ditujukan kepada Azian.

Surat itu ditandatangani oleh Nik Faisal.

9.52am: Mereka juga meluluskan pinjaman berdasarkan syarat jaminan kerajaan yang akan datang.

Azian memberitahu Wan Aziz jaminan kerajaan sudah diberikan dan RM2 bilion diberi kepada SRC International. Beliau tidak memberikan sebarang tarikh.

9.50am: Pada 19 Julai 2011, terdapat mesyuarat panel pelaburan khas untuk membincangkan pinjaman RM2 bilion kepada SRC International.

Panel pelaburan kemudian memutuskan untuk membenarkan pinjaman itu dengan syarat ia dibuat kepada kerajaan.

9.43am: Pada 5 Julai 2011, panel pelaburan mengadakan mesyuarat yang turut dihadirinya. Panel itu memutuskan RM3.95 bilion terlalu besar untuk pinjaman kerana risiko yang tinggi.

Bekas saksi Azlida Mazni mengambil minit mesyuarat itu.

9.38am: Bekas CEO Azian Mohd Noor menerima surat itu daripada Azlin Alias, pegawai khas Najib. Surat itu kemudiannya ditunjukkan kepada Wan Aziz.

Beliau mengesahkan panel pelaburan KWAP pada mulanya hanya meluluskan pinjaman RM1 bilion kepada SRC International dalam satu kertas pelaburan.

9.37am: Surat tersebut mengandungi perkataan “bersetuju dengan cadangan ini” yang ditulis di atasnya berserta tandatangan Najib.

Beliau memaklumkan, ini bermakna Najib bersetuju dengan pinjaman itu.

9.35am: Wan Aziz berkata semasa berkhidmat, terdapat dua transaksi RM2 bilion yang dipinjamkan kepada SRC International.

Beliau melihat surat bertarikh 3 Jun 2011 yang ditandatangani oleh Nik Faisal dan ditujukan kepada Najib untuk mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion.

9.31am: Sebagai ketua setiausaha, beliau juga berkhidmat sebagai pengerusi KWAP pada Mac 2007 sehingga Ogos 2012.

Peranannya dalam KWAP termasuk memastikan kelancaran KWAP dan mengawasi pelaburannya.

Beliau perlu mengetuai mesyuarat lembaga KWAP dalam kapasiti itu. Beliau kini meneliti proses kelulusan pinjaman dan pelaburan KWAP.

Pinjaman diberikan berdasarkan penarafan kredit mereka dan kemampuan membayar balik, katanya.

9.20am: Bekas ketua setiausaha perbendaharaan akan membaca kenyataan yang beliau tulis dengan bantuan pegawai SPRM.

Beliau bersara daripada perkhidmatan awam pada 23 Mei 2008 dan berkhidmat sebagai ketua setiausaha perbendaharaan secara kontrak sehingga 23 Ogos 2012.

9.18am: Wan Abdul Aziz Wan Abdullah memberi keterangan.

9.11am: Nazlan memasuki bilik mahkamah. Hanya Farhan Read yang hadir bagi pihak pembela.

Mat Noor Nawi, bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan, memberi keterangan.

Pembantu Nik Faisal, Zahid Taib, hadir di mahkamah dan Mat Noor diminta mengenal pasti beliau.

Mat Noor dibenarkan turun dari kandang saksi selepas mengenal pasti Zahid.

9.08am: Perbicaraan belum bermula walaupun pihak pendakwa meminta dimulakan lebih awal hari ini.

Najib berpakaian sut kelabu gelap, duduk di galeri awam sambil berbual dengan penyokongnya. – 10 Julai, 2019.

Iklan
Iklan