Awas, kalau SPRM sudah tahan untuk siasatan, kata Latheefa
Iklan
SEKIRANYA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seseorang untuk siasatan, ada kebarangkalian yang besar orang itu akan didakwa di mahkamah, kata Latheefa Koya.
Ini kerana agensi anti rasuah itu mempunyai menetapkan piawai yang tinggi dalam proses siasatannya, kata ketua pesuruhjaya SPRM yang baharu itu.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight minggu ini, Latheefa berkongsi pengalaman bagaimana beliau menyaksikan sendiri usaha dan disiplin pegawainya dalam memastikan sesuatu siasatan dijalankan secara telus dan adil hingga si pelakunya didakwa di mahkamah.
“Cukup menarik untuk melihat bagaimana dan kesungguhan mereka menyiasat untuk memastikan sesuatu aduan itu benar sahih sebelum tindakan diambil.
“Jadi jika SPRM menahan anda untuk menyiasat atau rakam keterangan, peratusan adalah tinggi untuk pendakwaan dilakukan di mahkamah. Itu adalah standard SPRM,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Latheefa yang sudah lebih sebulan menjawat jawatan itu berkata persepsi umum yang menganggap setiap aduan yang diterima SPRM secara automatik akan dibawa sehingga pendakwaan adalah kurang tepat.
Katanya, ada beberapa kekangan yang dihadapi agensi itu, antaranya ketiadaan keterangan dan bukti yang mencukupi.
Kes yang mempunyai kepentingan orang ramai akan disiasat dengan cara tersendiri oleh pegawai penyiasat SPRM dan ia tidak boleh didedahkan kepada umum, tambahnya.
“Kita akan proses maklumat untuk risikan, maknanya kita dapat sedikit maklumat atau aduan yang perlukan risikan. Perkara ini kita tidak boleh beritahu orang luar, selain memastikan pemberi maklumat dilindungi sebelum bertindak.
“Tetapi selepas selesai siasatan, semestinya individu terbabit akan didakwa jika mempunyai bukti yang mencukupi,” jelasnya.
Tegasnya, beliau tekad untuk mengubah persepsi umum bahawa setiap hasil siasatan didedahkan kepada umum dan aduan yang diterima agensi anti rasuah itu mesti berakhir dengan pendakwaan.
“Selama ini, mungkin SPRM disebut sebagai agensi untuk orang ramai membuat aduan tapi pada masa sama, ia dijadikan punching bag untuk membuat apa sahaja aduan. Sikit-sikit, ada orang buat aduan di SPRM dan berharap hasil siasatannya didedahkan kepada umum.
“Mereka perlu tahu sekiranya kita menyiasat kaitan sindiket dalam elemen rasuah semestinya siasatan dan tindakan diambil secara sulit, jika tidak si pelakunya akan menghilangkan diri,” katanya.
Latheefa melihat ini masa terbaik untuk mendidik semula masyarakat tentang tugas sebenar SPRM, bukan hanya sekadar tangkap dan tuduh tetapi tugas berat membuat program pencegahan dan pendidikan yang dimandatkan mengikut akta.
Terima kasih
Dalam pada itu, Latheefa menyambut baik sokongan padu pegawai SPRM yang membantunya untuk menyesuaikan diri dengan cepat dengan agensi anti rasuah itu meskipun mereka hanya tahu mengenai kehadirannya dalam tempoh masa singkat.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada bekas ketua agensi anti rasuah itu Mohd Shukri Abdull yang sudah melakukan sesuatu untuk SPRM.
“Saya tidak mahu berbunyi seperti seorang pelancong yang memuji setiap kecantikan di sini tetapi itu adalah hakikatnya. Terdapat pelbagai kerja yang dilakukan di belakang tabir secara kemas,” katanya.
Ketika ditanya tahap KPI untuk dirinya, Latheefa berazam untuk menjadikan SPRM sebagai agensi utama yang dilihat bukan sahaja membanteras rasuah tetapi ia dihormati di persada antarabangsa.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, SPRM berjaya menyelesaikan beberapa kes antarabangsa dan sekurang-kurangnya kami dikenali sebagai agensi yang dapat mengendalikan kes-kes antarabangsa ini dan bukannya menghantarnya kepada negara lain.
“SPRM telah memimpin, dan kami berjaya menuduh orang yang mempunyai kuasa. Bukan hanya VIP tetapi VVIP, jika anda melihat siapa yang sudah didakwa setakat ini, ia adalah satu kejayaan hebat dan saya harap mereka terus melakukannya,” katanya.
Latheefa turut sedang membuat senarai semak untuk dirinya dan menetapkan tanda aras yang tinggi untuk mencapai semua yang ditetapkan itu.
“Saya berharap dapat menanda kesemuanya pada akhir kontrak saya. Ia adalah senarai semak yang mempunyai standard tinggi. Saya perlu buatnya. Setelah saya bersedia, saya akan memberitahu anda,” katanya. – 13 Julai, 2019.