Iklan

Pegawai integriti bongkar skandal rasuah agensi kerajaan

Img 7408
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata pegawai integriti agensi itu yang ditempatkan di agensi kerajaan banyak membantu bongkar skandal rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Julai, 2019.
Iklan

PEGAWAI integriti agensi anti rasuah yang ditempatkan di agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan banyak membantu pihak berkuasa membongkar skandal rasuah yang berlarutan sejak sekian lama, kata Latheefa Koya.

Pegawai berkenaan pada mulanya tidak diterima dengan baik oleh agensi kerajaan namun kini sebaliknya agensi kerajaan yang membuat permohonan mahu pegawai integriti ditempatkan di pejabat mereka, kata ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

“Keberkesanan menempatkan pegawai integriti di agensi kerajaan tidak boleh dinafikan sama sekali. Banyak skandal rasuah di dalam syarikat berkaitan kerajaan dapat dibongkar sekarang.

“Bagaimana kes-kes ini terbongkar? Semuanya mempunyai kaitan kerana tanpa menempatkan mereka (pegawai integriti) seperti Felda dan sebagainya, kita tidak akan tahu apa yang berlaku di dalam agensi berkenaan,” katanya dalam temubual khas bersama The Malaysian Insight, minggu ini.

Jelas beliau pegawai integriti yang sudah lama ditempatkan di agensi berkenaan akan arif mengenai prosedur kerja, cara tender dijalankan dan lain-lain yang akhirnya membongkar kebenaran dan salah laku.

“Pegawai integriti cukup penting untuk SPRM. Mereka bukannya berniat untuk memerangkap atau menahan seseorang dalam agensi yang ditempatkan sebaliknya ia langkah berkesan untuk memerangi rasuah.

“Kini, bukan saja agensi kerajaan mahukan pegawai integriti SPRM tetapi syarikat swasta juga memohon perkhidmatan ini.

“Selain pegawai integriti, SPRM juga menawarkan kursus integriti untuk pegawai dari agensi masing-masing. Itu perubahan positif yang kami nampak,” katanya.

SPRM juga ada unit perunding yang berperanan jika aduan yang disiasat didapati tidak menjurus kepada salah laku rasuah sebaliknya salah fungsi sistem atau prosedur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2019.

Latheefa juga memberitahu SPRM mempunyai unit perunding yang memainkan peranan sekiranya sesuatu aduan yang disiasat didapati tidak menjurus kepada salah laku rasuah sebaliknya salah fungsi sistem atau prosedur.

“Kami menerima banyak aduan tapi ada kalanya hasil siasatan akan mendapati tiada kesalahan berkaitan rasuah tetapi sesuatu sistem atau prosedur yang perlu diperbetulkan.

“Jadi, unit perunding ini akan menyiapkan laporan sebelum membentangnya kepada pihak yang berkaitan. Dalam laporan itu akan disertakan cadangan atau pembetulan yang perlu dilakukan.

“Selepas satu tempoh masa, kami akan membuat pemeriksaan semula kerana sekiranya pembetulan tidak dibuat, ia akan menjurus kepada salah laku rasuah,” katanya.

Selain terus memperkasa unit integriti dalam usaha memerangi rasuah, Latheefa juga akan membuat permohonan kepada Jabatan Peguam Negara untuk memperkuatkan pasukan pendakwaan agensi itu.

“Saya akan membuat permohonan dengan Jabatan Peguam Negara untuk menambah bilangan pendakwa raya SPRM,” katanya.

Latheefa yang dilantik mengetuai agensi anti rasuah itu sejak 1 Jun lalu adalah bekas pengarah Lawyers for Liberty dan peguam hak asasi manusia.

Beliau juga wanita pertama mengetuai agensi itu selain yang pertama tanpa latar belakang penyiasatan dan penguatkuasaan. – 13 Julai, 2019.

Iklan
Iklan