Permohonan pinjaman RM2 bilion bukan 'arahan' Najib, kata bekas pengerusi KWAP
Iklan
NAJIB Razak tidak pernah memberikan arahan terus kepada bekas pengerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk pengeluaran pinjaman RM2 bilion kepada SRC International, mahkamah diberitahu hari ini.
Wan Aziz memberitahu mahkamah, beliau mengadakan pertemuan dengan Najib pada 2011, yang mana bekas perdana menteri itu meminta beliau mempercepatkan kelulusan pinjaman pertama SRC International dari KWAP.
Wan Aziz yang juga ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu berkata, panel pelabur KWAP membuat keputusan pada mesyuarat pada 5 Julai, 2011 bahawa ia tidak dapat meluluskan permohonan pinjaman oleh SRC International sebanyak RM3.95 bilion, kerana ia “lebih berisiko”.
Beliau kemudian mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri untuk menyampaikan keputusan panel itu. Turut hadir pada pertemuan itu adalah CEO SRC International Azian Mohd Noor.
Ketika diperiksa balas oleh peguam bela Farhan hari ini, Wan Aziz bersetuju ia boleh dilihat pada jumlah pinjaman yang merupakan pengurangan daripada RM3.95 bilion yang dimohon SRC International sebelum itu.
Wan Aziz berjumpa Najib sekali lagi, kali ini secara sulit di pejabat perdana menteri di Putrajaya pada tarikh yang tidak dapat diingati saksi.
Farhan: Apabila beliau berkata RM2 bilion akan mencukupi, maksudnya merujuk kepada RM3.95 bilion?
Wan Aziz: Ya.
Farhan: Pada dasarnya beliau (Najib) berkata lupakan RM3.95 bilion, tetapi RM2 bilion “memadai”, yang bermaksud ia akan mencukupi?
Wan Aziz: Ya.
Farhan: Adakah kamu tafsirkannya sebagai arahan?
Wan Aziz: Pada kami ia dianggap memberi RM2 bilion.
Farhan: Saya pasti kamu perlu jelaskan kepada Datuk Seri Najib bahawa jumlah yang diminta SRC, RM3.95 bilion, terlalu banyak untuk dipertimbangkan?
Wan Aziz: Ya.
Farhan: Di dalam fikiran kamu, adakah ia adil, bahawa kamu tidak melihat perbualan ini sebagai arahan tetapi lebih sebagai tarik-menarik, terutamanya apabila isu-isu pinjaman berkenaan. Kerana ia merupakan isu kepentingan negara berbanding keperluan KWAP.
Wan Aziz: Ya.
Farhan: Jadi kamu akan mengatakan bahawa ini adalah konsesi pada bahagian Najib?
Wan Aziz: Ya.
KWAP akhirnya mengeluarkan pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada SRC International pada 29 Ogos, 2011.
Tidak lama selepas pertemuan sulit itu, kata Wan Aziz, dia berkongsi dengan Azian apa yang Najib beritahu kepadanya.
Panel pelaburan KWAP, yang dipengerusikan oleh Wan Aziz, juga dimaklumkan tentang permintaan Najib.
Perkara itu dicatatkan pada minit mesyuarat panel luar biasa pada 19 Julai, 2011, yang mana ahli-ahli diberitahu oleh Azian bahawa Wan Aziz telah berkomunikasi dengan Najib mengenai permohonan pinjaman SRC International, dan telah diarahkan, sebagai wakil KWAP, untuk mempercepatkan kelulusan proses untuk pinjaman RM2 bilion.
Najib berdepan pertuduhan berkaitan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa. – 10 Julai, 2019