Iklan

PAS ada ‘kitab’ baru ganti Negara Berkebajikan

Radzi Razak7 years ago1st Oct 2017Berita
Fastaqim2.0 tminazirsufari 317
Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 ditawarkan PAS kepada pengundi Malaysia dilancarkan pada Fastaqim 2.0 malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Oktober, 2017.
Iklan

PAS mengorak langkah lebih lebar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang dengan memperkenalkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 sebagai tawaran kepada pengundi Malaysia.

Inisiatif terbaru itu meliputi dan mengandungi idea, pelan, tawaran dan kerangka strategi pembangunan negara oleh parti Islam itu dan menggantikan dokumen Negara Berkebajikan yang dipegang mereka sebelum pilihan raya lalu.

WINS dilancarkan oleh Presidennya Abdul Hadi Awang serta pimpinan PAS dan Gagasan Sejahtera di hadapan kira-kira 100,000 hadirin Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus malam tadi.

Teruja dengan kehadiran ramai ahli dan penyokong, PAS juga selepas himpunan itu mengatakan akan bertanding di seberapa banyak kerusi pada PRU14 nanti.

Hadi dalam ucapannya bagaimanapun tidak banyak menyentuh mengenai WINS, sebaliknya mengingatkan semua ahlinya untuk terus setia dan bekerja untuk menjadikan PAS pilihan di mata pengundi walaupun acapkali berdepan persepsi negatif di arus perdana.

“PAS terus menjadi parti yang segar. Banyak parti (politik) di dunia yang mati bila kalah pilihan raya sebab dia hanya hidup untuk pilihan raya. (Sebaliknya) PAS tidak,” kata beliau

Hadi berkata parti itu sentiasa istiqamah dalam setiap tindakan dan perancangan mereka sejak memasuki kancah politik tanah air sejak PRU pertama pada 1959 sebagai parti berteraskan Islam.

“Kita terus memilih demokrasi, ini istiqamah kita. Kita tahu dalam pilihan raya ini demokrasi. Kerana kalau pilih lain merosakkan negara,” kata beliau.

WINS yang merupakan idea Lajnah Pemerkasaan Parti yang diterajui oleh Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan berkata parti Islam akan turut melakukan siri kempen sebagai sesi penerangan idea ini bersama-sama dengan Gagasan Sejahtera.

“Dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera ini juga akan diletakkan di laman Facebook PAS untuk dikongsi bersama penyokong parti dan masyarakat sekeliling,”kata beliau selepas pelancaran tersebut.

PAS memperkenalkan agenda Negara Kebajikan pada PRU2008 sebagai tawaran kepada pengundi mereka sebelum Dokumen Buku Jingga digunakan sebagai agenda kempen PRU selepas itu. – 1 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan