Bersatu pinda hampir seluruh perlembagaan parti, kata Mukhriz
Iklan
BERSATU akan melakukan pindaan besar-besaran ke atas perlembagaan parti selepas mendapati terdapat banyak kepincangan dalam dokumen itu, yang diambil daripada perlembagaan Umno, kata timbalan presidennya, Mukhriz Mahathir.
Katanya, semasa awal penubuhan Bersatu tiga tahun lalu, pihaknya mengambil perlembagaan Umno untuk diubah suai sebagai perlembagaan parti bagi tujuan pendaftaran.
“Masa awal-awal penubuhan parti, kita jiplak (tiru), kita ambil daripada perlembagaan satu parti itu. Kita tukar muka depan, tukar nama tetapi menggunakan perlembagaan yang lebih kurang sama.
“Tetapi setelah tiga tahun sebagai sebuah parti, kita dapati ada beberapa perkara yang kita anggap pincang, lemah di dalam perlembagaan kita yang sangat perlu dipinda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan pindaan Perlembagaan Bersatu di kepada ahli parti di Selangor dan Wilayah Persekutuan di Shah Alam, kelmarin.
Taklimat berkenaan adalah sebahagian daripada siri jelajah secara berperingkat mengikut zon, menjelang mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Sabtu, 20 Julai ini.
Menurut Mukhriz, selain soal pemilihan, antara pindaan penting yang akan dibuat ialah mengenai kedudukan Lembaga Disiplin yang sebelum ini tidak ada kuasa untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan.
“Lembaga Disiplin parti dahulu (Umno) boleh menyiasat dan mengesyorkan kepada MKT (Majlis Kerja Tertinggi). Kemudian MKT yang buat keputusan untuk diambil ke atas orang yang disiasat, kalau didapati bersalah.
“Kita merasakan perlembagaan ini perlu dipinda supaya Lembaga Disiplin diberi kuasa yang lebih daripada sekadar mengesyorkan tindakan yang perlu diambil, tetapi dia sendiri yang putus dan hukum.
“Tidak perlu lagi dipertimbangkan oleh MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) Bersatu,” katanya.
Bagaimanapun kata Mukhriz, mereka yang dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin masih boleh membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan dan keputusan Lembaga Rayuan adalah muktamad.
Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya dalam program yang sama berkata cadangan untuk meminda Perlembagaan Bersatu bukan sahaja melibatkan beberapa fasal, sebaliknya hampir keseluruhan daripada perlembagaan parti itu.
“Pindaan kita bukan dipinda cuma dua tiga fasal, tetapi boleh dikatakan hampir keseluruhan kita buat pindaan,” katanya.
Cadangan pindaan perlembagaan itu mahu merombak misalnya peruntukan mengenai penubuhan sayap Wanita, Pemuda dan Srikandi (Fasal 21) serta penggantungan dan pembubaran badan pimpinan negeri, bahagian dan cawangan (Fasal 22).
Cadangan pindaan juga mengusulkan peruntukan baharu mengenai tanggungjawab dan kuasa MPT (Fasal 14) dan kuasa pengelola sementara parti (Fasal 31).
EGM Bersatu pada Sabtu depan akan diadakan di Serdang, Selangor bermula pukul 2 petang.
Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya ketika menyampaikan notis jemputan kepada pimpinan Bersatu Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan menggaris syarat perwakilan yang layak untuk menghadiri EGM.
Katanya, perwakilan yang layak ialah mereka yang hadir dalam perhimpunan agung tahunan pada Disember lepas kecuali jawatankuasa bahagian yang telah dibubarkan dan mereka yang tidak lagi memegang jawatan terkini.
“Bagi mereka yang memegang jawatan terkini tetapi bukan perwakilan sebelum ini, boleh hadir sebagai pemerhati sahaja,” katanya. – 14 Julai, 2019