Iklan

Pemilihan Bersatu ikut sistem Umno, kata Mukhriz

The Malaysian Insight5 years ago14th Jul 2019Berita
Bersatu sabah009 copy
Kekangan logistik sistem pemilihan seorang ahli satu undi (Sasu) seperti yang diusulkan sebelum ini tidak praktikal buat masa ini.– Gambar fail The Mlaaysian Insight, 14 Julai, 2019
Iklan

BERSATU bercadang menggunakan sistem pemilihan parti yang sama seperti yang diguna pakai oleh Umno iaitu pemilihan oleh perwakilan bahagian, kata Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Bersatu, Mukhriz Mahathir.

Dalam taklimat pindaan perlembagaan Bersatu di Shah Alam kelmarin, Mukhriz berkata sistem pemilihan seorang ahli satu undi (Sasu) seperti yang diusulkan sebelum ini tidak praktikal buat masa ini kerana kekangan logistik.

“Mengenai pemilihan di peringkat MPT, kita masih menggunakan sistem perwakilan yang berlangsung dalam mesyuarat agung tahunan bahagian, seperti yang diamal oleh parti-parti lain termasuklah parti lama (Umno) kita dahulu tetapi ada penambahbaikan,” katanya kepada wakil Bersatu Selangor dan Wilayah Persekutuan dalam taklimat di Shah Alam, kelmarin.

Taklimat berkenaan adalah sebahagian daripada sesi penerangan mengenai pindaan Perlembagaan Bersatu yang diadakan secara berperingkat mengikut zon, menjelang mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Sabtu, 20 Julai ini.

Melalui sistem perwakilan, ahli parti dari cawangan yang hadir ke mesyuarat bahagian sebagai perwakilan layak mengundi dalam pemilihan jawatan peringkat tertinggi di pusat.

Mukhriz bagaimanapun menjelaskan sistem pemilihan seorang ahli satu undi, yang pertama kali beliau lontarkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Disember lalu, tetap akan dilaksanakan pada masa akan datang.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir bagaimanapun menjelaskan sistem pemilihan seorang ahli satu undi tetap akan dilaksanakan di masa akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2019

“Kita kena tunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia Bersatu merupakan parti yang betul-betul mengamalkan demokrasi,” katanya.

Dalam ucapan penggulungannya semasa perhimpunan parti Disember lalu, Mukhriz berkata sistem seorang ahli satu undi bertujuan menyerahkan kuasa memilih sepenuhnya kepada semua ahli parti.

Menjelaskan kenapa Bersatu tidak menggunakan sistem seorang ahli satu undi, Ahli Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Bersatu, Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata parti belum lagi mampu untuk melaksanakan pemilihan serentak pada satu hari untuk semua peringkat cawangan, bahagian dan pusat.

“Buat sementara waktu, kita kekalkan cawangan pilih cawangan, kemudian hantar perwakilan ke bahagian. Bahagian pilih (pemimpin) bahagian dan pilih MPT. 

“Apabila (parti) kita hebat, kita boleh perkenalkan sistem sendiri nanti,” kata Radzi, yang juga bekas setiausaha agung Umno antara 2004 dan 2008.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan Bersatu akan mengguna pakai sistem seorang ahli satu undi dalam pemilihan di cawangan dan bahagian yang berikutnya.

Bersatu yang ditubuhkan pada 2016 setakat ini belum mengadakan pemilihan parti dan kepimpinannya sekarang dibuat berdasarkan lantikan.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata Bersatu tidak akan menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini.

Selepas taklimat untuk ahli parti di Selangor dan Wilayah Persekutuan kelmarin, empat lagi sesi sama akan diadakan untuk empat zon iaitu utara, selatan dan timur, termasuk satu sesi di Sabah, dijadual berakhir pada 18 Julai ini. – 14 Julai, 2019

Iklan
Iklan