Iklan

Pindaan Perlembagaan Bersatu masukkan klausa tangguh pemilihan parti

The Malaysian Insight5 years ago15th Jul 2019Berita
Bersatu sabah010 copy
Keputusan itu dibuat untuk memberi semangat baharu kepada cawangan Bersatu supaya bekerja keras. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2019.
Iklan

PENANGGUHAN pemilihan parti adalah antara peruntukan yang dicadangkan dalam pindaan perlembagaan Bersatu yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) pada 20 Julai ini.

Berdasarkan cadangan yang dilihat oleh The Malaysian Insight, peruntukan perlembagaan yang hendak dimasukkan itu akan memberi kuasa kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) menangguhkan pemilihan di semua peringkat dari pusat sampai ke cawangan.

Peruntukan dalam Buku Perlembagaan Pindaan 2019 itu berbunyi: “Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.”

Pindaan itu juga akan menetapkan pemilihan peringkat cawangan diadakan dua tahun sekali sementara pemilihan peringkat bahagian dan pusat pada setiap tiga tahun.

Ahli Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Bersatu, Mohd Radzi Sheikh Ahmad ketika membentangkan cadangan pindaan perlembagaan parti berkata keputusan itu dibuat untuk memberi semangat baharu kepada cawangan supaya bekerja keras.

Mengulas mengenai kelayakan mereka yang mahu bertanding jawatan parti, Radzi berkata sesiapa saja boleh bertanding di peringkat cawangan dengan syarat menjadi ahli sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum persidangan cawangan atau telah memegang jawatan sebagai jawatankuasa bahagian, jawatankuasa negeri atau MPT.

Untuk jawatan pengerusi, presiden dan timbalan presiden, calon mesti sudah menjadi ahli selama tiga tahun dan pernah menganggotai MPT atau menjadi ketua bahagian selama sepenggal.

Bagi jawatan tertinggi yang lain, syaratnya sama seperti kelayakan bertanding jawatan bahagian iaitu menjadi ahli tidak kurang dari 12 bulan atau memegang jawatan di bahagian atau sayap bahagian.

“Jika pernah pegang jawatan MPT atau pimpinan negeri pun layak,” kata Radzi.

Bersatu akan mengadakan EGM pada Sabtu depan di Serdang, Selangor. – 15 Julai, 2019

Iklan
Iklan