Iklan

Anyaman sumber pendapatan wanita Mah Meri

Sharon Tan7 years ago1st Oct 2017Berita
Mah meri 20170924 tmihasnoor 037
Bertemankan cahaya lampu minyak tanah, Rita anak Uju meneruskan kerja menganyam yang menjadi sumber pendapatan keluarganya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Oktober, 2017.
Iklan

IA adalah hari gaji bagi Kukot Karom. Seorang penganyam dari suku Orang Asli Mah Meri yang baru menerima bayaran RM187.20 hasil jualan sarung bujum (sirih), penanda buku dan hasil kraftangan anyaman lain. 

Dengan pendapatannya, sudah tiba masanya untuk membeli makanan untuk keluarga. Ketika dia keluar dari sebuah rumah kayu di Kampung Sungai Bumbon di Pulau Carey, Selangor, di mana para penenun orang Asli sepertinya menghabiskan hari dengan menjual barangan mereka, sebuah van runcit sampai. Kukot membelanjakan RM6 untuk membeli beberapa sayur-sayuran.

Dengan basikal tuanya, dia mengayuh sejauh dua kilometer untuk ke kedai runcit. Di sana dia membeli satu beg beras 10 kg, sepasang selipar, serbuk kopi, sabun dan beberapa barangan lain. 

“Sabun sangat mahal,” kata wanita berusia 55 tahun itu selepas melihat beberapa jenama lain di rak jualan. Sebuku sabun Dettol berharga RM3.80 dan ia dikongsi dengan enam ahli keluarga yang lain. Ia hanya tahan seminggu. 
 
Projek Anyaman Wanita, dilancarkan pada 2005 bagi tujuan memelihara anyaman tradisional. 

“Tompoq” dalam bahasa Mah Meri bermaksud “permulaan anyaman, manakala “topoh” bermaksud corak tikar yang saling berkait. Apabila disatukan, nama Tompoq Topoh diterjemah menjadi “permulaan usaha bersama”.

Sebahagian daripada hasil anyaman masyarakat Orang Asli yang dijual sebagai pendapatan keluarga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Oktober, 2017.

Kolektif itu dimulakan oleh bantuan kumpulan Centre for Orang Asli Concerns dan Gerai OA. Ia bermula hanya dengan 17 ahli dan kini ia berkembang menjadi 50 ahli.

Antara minggu ketiga dan minggu terakhir setiap bulan, penganyam daripada suku Mah Meri dari lima buah perkampungan Orang Asli di Pulau Carey - Kampung Sungai Bumbon, Kampung Sungai Judah, Kampung Sungai Kurau, Kampung Kepau Laut dan Kampung Rambai – akan berkumpul di sebuah rumah kayu di Kampung Sungai Bumbon untuk menjual hasil mereka kepada Gerai OA. 

Gerai OA merupakan syarikat perniagaan sosial pertama yang bekerja dengan masyarakat Mah Meri dan Orang Asli lain dan komuniti Orang Asal dari seluruh Malaysia. Mereka membeli hasil kraftangan daripada masyarakat etnik asal dan menjualnya di gerai mereka. 

Diasaskan oleh penyelidik Reita Rahim pada 2004, Gerai OA membayar kepada mereka 100% wang hasil jualan.

Antara 50% hingga 60% dibayar sebagai pendahuluan kepada mereka dan bakinya dibayar selepas jualan dibuat.

Kebanyakan wanita Mah Meri melakukan kerja menganyam untuk menambah pendapatan isi rumah. Golongan lelaki akan melakukan kerja-kerja lain seperti bekerja di ladang kelapa sawit di Pulau Carey atau bekerja di kilang berhampiran dengan pendapatan rendah. 

Sedikit wang yang diperoleh Kukot adalah sangat penting kepada keluarga mereka. Suaminya tidak bekerja kerana menghadapi masalah mental. 

Anaknya Kamarul Ramat 23, bekerja sebagai tukang cuci di Istana Melawati di Putrajaya dan mendapat bayaran RM900 sebulan. Anak perempuannya, Pija juga menghasilkan anyaman dan membuat penyapu daripada daun kelapa sawit. Suami Pija pula hanya melakukan kerja kampung di kawasan itu. Seorang lagi anaknya yang juga mempunyai masalah pendengaran, turut membantu membuat kerja menganyam.

Pija hanya mampu meraih pendapatan RM10 hingga RM20 sebulan dengan membuat penyapu, kerana dia menjualnya kepada orang tengah dengan harga 50 sen setiap satu. Kemahiran Kukot membuat anyaman sangat penting kepada keluarga ini. 

Ia hanya sekadar kais pagi, makan pagi. Kamarul yang berulang setiap hari ke Putrajaya dengan kenderaan syarikatnnya berkata pendapatan itu mampu bertahan selama sebulan dan kebanyakannya dibelanjakan kepada barangan dapur. 

Keluarga itu turut memiliki sebuah kebun sayur kecil dan turut mencari sayuran hutan di sekitar kampung mereka. 

Menganyam dengan lampu minyak tanah 

Menganyam menjadi satu-satunya sumber pendapatan kepada wanita Mah Meri lain, yang juga ibu tunggal Rita anak Uju. 

Ibu kepada empat anak berusia 44 tahun itu baru saja membuat pinjaman sebanyak RM1,300 untuk membayar kos tiang elektrik dan meter ke rumahnya, yang disumbangkan pada tahun lalu dan dijana oleh kuasa solar yang hanya bertahan selama satu jam setiap malam. 

Untuk sepanjang malam, dia mengharapkan cahaya lampu minyak tanah untuk membuat kerja-kerja menganyam. Kerja menganyam hanya dilakukan pada waktu pagi atau malam ketika suhu udara lembab untuk memastikan daun pandan yang digunakan sentiasa lembut. Suhu panas tengah hari akan membuatkan daun pandan menjadi rapuh. 

“Saya perlu meminjam wang untuk tiang itu. (Menurut Tenaga Nasional) sekiranya terdapat lebih daripada dua batang tiang untuk sampai ke rumah saya, saya perlu bayar untuk setiap yang berikutnya,” kata Rita yang mendapat bayaran RM176.50 hasil kraftangannya bulan ini.

“Saya hanya diminta untuk dapatkan surat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk permohonan bekalan elektrik,” kata Rita, yang masih menunggu bekalan elektrik disalurkan ke rumahnya. 

Rita anak Uju hanya membelanjakan duitnya untuk membeli barangan dapur dan keperluan asas yang lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Oktober, 2017.

Sama seperti Kukot, Rita akan membeli barangan dapur dan keperluan lain pada hari gaji. Dia akan membawa bersama botol plastik untuk diisi minyak tanah. Seliter minyak tanah berharga RM3.80 dan ia hanya bertahan selama seminggu. 

Rita bagaimanapun teragak-agak untuk membeli sardin dalam tin yang besar kerana ia lebih mahal. Namun dia mengalah apabila pemilik kedai memberitahu dia kehabisan stok tin yang kecil. 

Ditanya bagaimana dia menguruskan wang yang sedikit itu, dia berkata: “Saya dapat sayur daripada kawasan sekitar dan abang saya akan berikan sedikit ikan atau kerang apabila dia keluar memancing. Kadang kala, ibu saya berikan sedikit makanan.”

Pulau Carey terletak di Selangor yang merupakan sebuah negeri paling kaya di Malaysia, walaupun kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih disalurkan kepada kebanyakan Orang Asli di sana, namun masih ada lagi yang tidak menerima kemudahan ini. 

Seperti Rita, Suhaini Asol, 44, meminjam sebanyak RM1,700 untuk membayar tiang elektrik dan meter tiga tahun lalu. Sehingga ini dia masih lagi membayar hutang yang dipinjam daripada rakannya. 

“Saya akan bayar bila ada duit lebih dan sudah tiga tahun. Masih ada banyak yang perlu dibayar,” kata ibu kepada tiga orang anak itu. 

Kemahiran menghasilkan anyaman dipergunakan sepenuhnya oleh wanita masyarakat Orang Asli untuk menjana pendapatan keluarga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Oktober, 2017.

Suaminya menerima bayaran sebanyak RM600 hingga RM700 seulan dengan bekerja di ladang kelapa sawit, manakala dia menerima RM150 hasil jualan kraftangan. Dia turut menternak ayam, yang memberikan pulangan beberapa ratus ringgit dalam tempoh enam bulan. 

Dalam pada itu The Malaysian Insight turut mempersoalkan Tenaga Nasional berhubung polisi tanggungjawab sosialnya mengenai bayaran tiang elektrik dan masih menunggu maklum balas. 

Kakak Suhaini, Juliana turut menghadapi situasi yang sama. Rumahnya dibina hanya menggunakan lebihan bahan binaan, Juliana meminjam RM3,000 daripada abang iparnya untuk membayar kemudahan bekalan air dan elektrik.

RM2,000 hanya untuk membayar tiang elektrik, meter dan empat mentol lampu. Kami bayar RM800 untuk sambungan bekalan air tetapi tiada meter,” kata Juliana yang mendapat RM70 hingga RM80 hasil jualan kraftangan. Suaminya pula mendapat RM600 hingga RM700 sebulan membuat kerja kampung.

Oleh kerana ketiadaan meter, rumahnya tiada sambungan bekalan air daripada paip bekalan utama. Juliana mengambil bekalan air hanya pada waktu malam.

“Kami menggesa kontraktor untuk memasang meter air namun dia asyik cakap akan datang. Kami tak mahu dituduh mencuri air,” katanya. – 1 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan