Iklan

LANGSUNG: Najib boleh hadir ke Parlimen esok, kata hakim

Bede HongTimothy Achariam5 years ago15th Jul 2019Berita
Court najib razak src 20190715 hasnoor 013
Yeoh Eng Leong, naib presiden kanan AmBank yang bertanggungjawab mengenai operasi kad kredit, menjelaskan corak perbelanjaan dua kad milik bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Julai, 2019.
Iklan

PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-37 hari ini, dengan saksi Wedani Senen, pengurus Bahagian Kiriman Unit Rentas di ibu pejabat AmBank di Kuala Lumpur, kembali memberi keterangan.

Turut disoal balas ialah penganalisis Bank Negara, Shuzairizman Shuib, yang mengetuai pasukan forensik digital untuk melakukan serbuan ke atas AmBank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Mereka dijangka disoal oleh pasukan peguambela mengenai urus niaga pada 2014 berkaitan SRC International dan Najib selepas dibenarkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Maklumat transaksi 2014 adalah sebahagian daripada kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang akan datang, dengan bekas perdana menteri berdepan tambahan 25 pertuduhan jenayah.

Transaksi tersebut berjumlah kira-kira RM50 juta, melibatkan Blackrock Commodities Global Ltd dan Visa Equity International Pte Ltd. Kedua-dua firma dikaitkan dalam laporan media sebelum ini dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Transaksi tersebut difailkan di mahkamah di bawah “Lampiran C”, merangkumi tujuan transaksi kredit yang diberikan kepada pengurus perhubungan AmBank.

Mahkamah mendengar minggu lepas bahawa serbuan 2015 memperoleh data daripada tiga pengurus perhubungan - Joanna Yu, Krystle Yap dan Daniel Lee.

Ketiga-tiga mereka ditugaskan untuk berhubung dengan pemegang akaun bank yang dikaitkan dengan Najib dan 1MDB, serta bekas anak syarikatnya, SRC International.

Pendakwa memberitahu mahkamah Yu akan memberi keterangan.

Shuzairizman akan disoal balas berhubung transkrip perbualan sebanyak 500 halaman daripada peranti yang dirampas, termasuk telefon Yu.

Peguambela sebelum ini mengatakan mereka berminat dengan komunikasi antara Yu dan Low, dan akan membuktikan yang Najib tidak menyedari sepenuhnya transaksi berlaku serta beliau dimanipulasi.

Wedani, yang kali terakhir muncul di mahkamah pada Mei, sebelum ini memberi keterangan pinjaman berjumlah RM4 bilion dipindahkan ke dua akaun semasa syarikat SRC International.

Beliau mengesahkan RM2 bilion dikreditkan ke dalam akaun semasa 211-202-200973-6 melalui empat pemindahan dengan RM500 juta setiap satu pada 29 Ogos 2011, kira-kira tujuh bulan selepas akaun itu dibuka pada 28 Januari 2011.

Penganalisis Bank Negara, Shuzairizman Shuib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk perbicaraan kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Julai, 2019.

Beliau juga berkata pemindahan tunggal sebanyak RM2 bilion dikreditkan ke dalam akaun semasa 211-202-20165-0 pada 28 Mac 2012, kira-kira empat bulan selepas akaun dibuka pada 10 November 2011.

Kerajaan terdahulu berkata SRC International dibentuk untuk mengenal pasti dan melabur dalam sumber semula jadi dan usaha galian, termasuk pengambilalihan stok atau sekuriti syarikat.

Daripada RM4 bilion yang disalurkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, RM42 juta akhirnya masuk ke akaun bank Najib pada 2014 dan 2015.

Najib berdepan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa berhubung dana itu.

Beliau diwakili sepasukan peguam yang diketuai tokoh undang-undang terkemuka Muhammad Shafee Abdullah. Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

5.28pm: Nazlan berkata oleh kerana peguam bela telah diberikan notis awal dan mempertimbangkan kepentingan undi di Parlimen, beliau membenarkan perbicaraan ditamatkan awal esok bagi membolehkan Najib menghadirinya.

Hakim menambah sekiranya perbicaraan tidak selesai pada 15 Ogos, ia akan dilanjutkan hari berikutnya.

Mahkamah ditangguhkan hari ini. 

5.17pm: Shafee memohon Nazlan berikan pelepasan kepada Najib untuk hadir ke Parlimen bagi mengundi pindaan untuk menukar had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun pada pukul 11 pagi esok.

Shafee berkata anak guamnya perlu hadir ke Parlimen kerana ia undi yang bersejarah.

Sithambaram berkata pasukannya enggan meneruskan perbicaraan sekiranya Najib tidak hadir kerana ia berisiko untuk pembatalan.

5.13pm: Mereka diminta menghantar permohonan untuk dokumen pada Khamis.

5.07pm: Shafee berkata anak guamnya perlukan dokumen untuk isytihar hartanya.

Sithambaram berkata beliau tidak pernah dengar perkara itu.

Shafee membalas dan mengatakan Peguam Negara yang minta pengisytiharan hartam dan anak guamnya memerlukan dokumen untuk berbuat demikian.

Nazlan berkata, pasukan Shafee perlu buat permohonan rasmi untuk dengar merit undang-undang di sebalik keperluan dokumen itu.

4.52pm: Shafee mendakwa anak guamnya dihalang dengan cara yang salah daripada mendapatkan dokumen.

4.50pm: Shafee membuat permohonan untuk mendapatkan dokumen berkaitan dengan akaun Najib untuk pembelaan mereka.

Sithambaram mengatakan beliau mengikuti arahan daripada peguam negara agar tidak memberi sebarang dokumen.

4.48pm: Saksi dibenarkan turun dari kandang saksi.

4.26pm: Harvinderjit memulakan soal balas mengenai pembiayaan patuh syariah dengan saksi memandangkan pinjaman KWAP kepada SRC International adalah patuh syariah.

4.02pm: Beliau mengesahkan dengan timbalan pendakwa raya bila dan di mana semua dokumen itu ditandatangani, serta penandatangan dokumen.

3.10pm: Beliau berkata firma itu menyediakan perjanjian, seperti perjanjian pinjaman, perjanjian penjualan dan pembelian aset, bagi pinjaman KWAP kepada SRC International.

2.46pm: Perbicaraan bersambung semula selepas rehat dengan memanggil saksi ke-48, Suhaimi Ismail.

Suhaimi adalah pengarah Bahagian Undang-undang di Bandar Malaysia Sdn Bhd.

Beliau berkata pada masa itu, bekerja di firma undang-undang Hisham Sobri & Kadir, yang mengendalikan dokumentasi bagi pinjaman KWAP kepada SRC International.

Beliau membacakan surat tawaran daripada KWAP yang memberi pinjaman pertama sebanyak RM2 bilion.

12.50pm: Saksi dibenarkan turun dari kandang saksi selepas kenyataannya disahkan.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan untuk makan tengah hari.

12.38pm: Sesi soal balas dimulakan.

RM127,017 juga dibayar untuk Mastercard.

Harvinderjit mencadangkan bahawa menurut kenyataan pada April 2015, Nik Faisal membuat bayaran untuk kedua-dua akaun.

Nik Faisal menggunakan kad kreditnya untuk membuat bayaran bagi kedua-dua akaun.

12.37pm: Pada 5 Februari 2015, RM466,330 dibayar kepada kad Visa daripada akaun yang berakhir dengan digit “880”.

12.35pm: Terdapat juga bayaran RM127,017 di Shangri-la Bangkok pada Januari 2015.

12.32pm: Bayaran €100,000 menggunakan kad Mastercard juga digunakan kepada pedagang yang sama.

Satu lagi caj sebanyak €100,000 dan €50,000 di outlet yang sama.

Transaksi keempat adalah sebanyak €100,000 kepada pedagang yang sama. Transaksi kelima ialah €100,000 kepada pedagang yang sama.

Transaksi keenam sebanyak €100,000 dan ketujuh pada hari yang sama berjumlah €100,000 pada pedagang yang sama. Transaksi terakhir ialah €10,000 di outlet yang sama.

Pada 13 Ogos, terdapat pembayaran sebanyak RM2.83 juta menggunakan Mastercard.

Pada 22 Disember 2014, AS$130,627 (RM535,000) dicaj kepada Chanel di Honolulu, Hawaii.

12.24pm: Terdapat dua kad kredit di bawah akaun Najib - platinum Visa dan platinum Mastercard, kata Yeoh.

Had perbelanjaan kedua-dua kad adalah RM3 juta.

Terdapat dua transaksi dalam kad Visa dan lapan dalam Mastercard.

Bagi Visa, salah satu transaksi di Itali ialah €100,000 (RM465,000) pada 8 Ogos 2014, di De Grasso Vono.

Satu lagi transaksi di kedai yang sama pada hari yang sama sebanyak €3,500.

12.17pm: Saksi seterusnya, Yeoh Eng Leong, memberi keterangan. Naib Presiden Kanan AmBank yang bertanggungjawab terhadap operasi kad kredit.

Beliau juga bertanggungjawab terhadap pengurusan penipuan dan mempunyai akses kepada penyata kad kredit.

Yeoh berkata SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) meminta beliau memberikan penyata kad kredit daripada akaun AmBank Najib.

Penyata yang diberikan kepada SPRM adalah dari 2011 hingga 2015.

11.47am: Wedani berkata pemindahan antara bank mempunyai tempoh masa lebih pendek berbanding pemindahan dari bank luar.

11.32am: Mereka meneliti transaksi lain yang dikreditkan ke dalam akaun ‘906’ milik Najib.

11.19am: Beliau mengesahkan transaksi RM5 juta daripada Putra Perdana Construction Bhd di Alliance Bank kepada akaun bank AmPrivate. Tiga digit terakhir akaun adalah ‘906’ dan di bawah nama Najib.

11.16am: Wedani Senen yang merupakan saksi ke-24 perbicaraan mengambil tempat untuk memberi keterangan sekali lagi. Beliau adalah pengurus Bahagian Kiriman Unit Rentas Ambank.

11.12am: Saksi dibenarkan turun dari kandang saksi.

10.17am: Harvinderjit menyentuh komunikasi antara Crystal Yap dan pengurus perhubungan AmBank seorang lagi, Daniel Lee.

Peguambela menumpukan kepada mesej WhatsApp antara Crystal dan Daniel pada 9 Disember 2014. Shuzairizman mengesahkan mesej dan dari mana ia datang.

10.08am: Sithambaram menegur pihak peguambela kerana tidak spesifik apa yang mereka inginkan.

10.05am: Harvinderjit Singh menyoal saksi, menimbulkan keraguan sama ada beliau mengikut prosedur operasi standard kerana ada peranti yang dianalisis tetapi tidak dimasukkan ke dalam laporannya.

Beliau juga mempersoalkan perbualan lengkap pengurus perhubungan akaun Joanna Yu dengan nombor PIN BlackBerry yang tidak diketahui.

Shuzairizman berhujah perbualan telefon adalah perkara penting dalam laporannya dan bukan teks.

V Sithambaram mencelah, dengan mengatakan saksi mempunyai perbualan telefon.

Harvinderjit berkata lebih 20 muka surat hilang dan beliau berhak bertanya mengenainya. Sithambaram berkata Yu akan memberi keterangan, justeru pihak pembela perlu bersabar dan tidak menyoal saksi ini.

Nazlan membenarkan soal balas disambung semula.

9.34am: Perbicaraan disambung semula dengan saksi pendakwaan ke-46, pegawai penyiasat BNM Shuzairizman Shuib mengambil tempat untuk disoal balas. – 15 Julai, 2019.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk perbicaraan kes SRC International yang masuk hari ke-37. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Julai, 2019.

Iklan
Iklan