Iklan

Indonesia hantar pakar kimia hadir bicara kes bunuh Jong-nam

Radzi Razak7 years ago2nd Oct 2017Berita
Jong nam afp
Warga Indonesia Siti Aisyah didakwa membunuh Kim Jong-nam, abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, dan perbicaraan kes itu bermula hari ini di Shah Alam. – Gambar fail AFP, 2 Oktober, 2017.
Iklan

PIHAK kedutaan Indonesia membawa pakar kimia dan racun sebagai pemerhati bagi perbicaraan pembunuhan Kim Jong-nam.

Sumber dari Indonesia berkata pemantauan itu kerana mereka masih curiga dengan laporan kematian Jong-nam, warga Korea Utara yang maut akibat komplikasi selepas disapu VX, sejenis cecair kimia yang disifatkan oleh PBB sebagai senjata pemusnah.

“Mereka akan memantau kerana masih sangsi dengan bagaimana bahan kimia itu boleh membunuh,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong – suspek dalam kes bunuh itu tiba awal kira-kira jam 8 pagi hari ini, dengan memakai baju kalis peluru dan diiring Pasukan Khas Polis.

Mereka dilihat berjalan dengan tenang menghadapi hari pertama perbicaraan yang dijangka akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4 petang ini.

Sedikit kekecohan berlaku apabila wartawan asing dan tempatan merebut tempat terhad bagi mengikuti perbicaraan itu.

Hanya 10 tempat untuk media antarabangsa dan 10 lagi untuk media tempatan disediakan, dengan ada yang menunggu seawal jam 1 pagi lagi.

Sekumpulan wartawan antarabangsa mempertikaikan tempat diberikan kepada mereka yang tiba di kaunter terlebih dulu, terletak kira-kira 200 meter dengan jalan berbukit dari pintu pagar utama mahkamah.

“Susah kalau datang awal pun kena berlari naik bukit juga. Baik panggil orang yang kuat lari,” keluh seorang wartawan akhbar Jepun.

Sementara itu, polis bertugas dari Ibu Pejabat Kontinjen memaklumkan senarai nama media itu diberikan oleh Bukit Aman, dan senarai baharu yang lebih adil akan dikeluarkan esok.

“Jadi kami minta media selesaikan sesama sendiri soal beratur ini,” kata pegawai polis yang menjaga kaunter pendaftaran tersebut.

Hanya wartawan dibenarkan masuk dan semua peralatan elektronik akan diambil untuk disimpan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Jurukamera dan jurugambar pula langsung tidak dibenarkan naik ke kawasan mahkamah dan hanya bekerja di luar pagar utama.

Perbicaraan itu bakal berlarutan selama 23 hari, sehingga November. Dijangka pada 10 hari pertama perbicaraan akan mendengar keterangan pakar.

Saksi pihak defendan pula dijangka akan dipanggil tahun depan. – 2 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan