Putrajaya perlu bayar hutang SRC International cecah RM9.2 bilion
Iklan
SEORANG peguam hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa SRC International berhutang pinjaman dan faedah sebanyak RM9.2 bilion kerana pinjaman 10 tahun daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 dan 2012.
Mohd Shuhaimi Ismail, peguam kanan firma Hisham, Sobri & Kadir yang mengendalikan dokumentasi pembiayaan antara SRC International dan KWAP mengesahkan dua perjanjian Bai’al-Inah Islamic berjumlah RM2 bilion setiap satu dikeluarkan pada Ogos 2011 dan Mac 2012.
Shuhaimi turut menjelaskan yang SRC International sudah gagal membayar hutang itu dan Putrajaya sudah mengambil alih bayaran pinjaman. Ini termasuklah RM4.6 bilion untuk tempoh 10 tahun bagi pinjaman RM2 bilion bertarikh 26 Ogos 2011.
Perjanjian itu ditandatangani oleh bekas CEO KWAP Azian Mohd Noor dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.
Bulan lepas, Timbalan Pengarah Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Afidah Azwa Abdul Aziz memberitahu mahkamah yang SRC International berhutang RM4.15 bilion dengan KWAP.
Jumlah itu meliputi pinjaman asas dan faedah tambahan untuk pinjaman dijamin kerajaan pada 2011 dan 2012 yang gagal dibayar.
Katanya, hutang itu sepatutnya selesai dibayar pada 2022, atau 10 tahun selepas kemudahan kredit kedua berjumlah RM2 bilion diberikan.
“Sehingga sekarang, kerajaan masih membayar pinjaman daripada KWAP kepada SRC International dan ini akan berterusan sehingga hutang asas serta faedah dibayar sepenuhnya,” katanya kepada mahkamah.
Jaminan kerajaan adalah liabiliti kontingen, apabila kerajaan perlu menampung kos hutang asas dan faedah sekiranya syarikat dijamin gagal menyelesaikan sepenuhnya pinjaman, jelas Afidah.
RM50 juta dari syarikat terkait Jho Low masuk akaun Najib
Sementara itu, mahkamah juga dimaklumkan yang akaun AmBank milik Najib Razak menerima kemasukan wang berjumlah £9.46 juta (RM50.22 juta) menerusi enam transaksi daripada dua syarikat dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho pada 2014.
Dua daripada transaksi itu berasal dari Visa Equity International Pte Ltd yang didaftarkan di Kepulauan Seychelles- berjumlah RM12.17 juta- dan dinyatakan sebagai pinjaman dan bukannya derma seperti pernah didakwa Najib.
Transaksi yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah transaksi tunggal sebanyak RM4,093,500 daripada Blackrock Commodities Global Ltd pada 23 Jun 2014, selain lima transaksi daripada Visa Equity International Pte Ltd- RM30,320,250 diterima pada 23 Oktober 2014; RM3,624,273.70 (24 November 24 2014); RM11,567.57 (26 November 26 2014); RM5,360,065.00 (10 Disember 2014); dan RM6,809,129.43 (9 Disember 2014).
Wedani Senen, pengurus Jabatan Kiriman Wang Ibu Pejabat AmBank di Kuala Lumpur mengesahkan transaksi itu berlaku pada perbicaraan hari ini.
Kecuali dua transaksi terakhir, transaksi sebelum ini tidak menyatakan tujuan ia dibuat kepada bank, kata Pendakwa Raya V Sithambaram hari ini.
Wedani mengesahkan tiada satupun transaksi itu disenaraikan sebagai “hadiah atau derma”.
Pagi tadi, pasukan pembelaan Najib juga meminta pengesahkan komunikasi antara Pengurusan Perhubungan AmBank Joanna Yu, Krystle Yap dan Daniel Lee dalam telefon Blackberry dan aplikasi borak seperti WhatsApp dan Telegram.
Penganalisis Bank Negara Shuzairizman Shuib yang mengetuai pasukan forensik digital yang menyerbu AmBank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai 2015 mengesahkan sebuah kumpulan borak dibentuk melibatkan Yu dan seorang lagi dikenali sebagai “J” oada 7 Julai 2014 dan beberapa bulan kemudian seorang lagi individu dimasukkan ke dalam kumpulan itu.
Najib berdepan tujuh pertuduhan jenayah melibatkan penerimaan dana SRC International mencecah RM42 juta.
Perbicaraan diteruskan esok. – 15 Julai, 2019.