LANGSUNG: Yayasan diminta pindahkan RM42 juta ke akaun AmBank
Iklan
KETIKA perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-38 pagi ini, saksi baru dijangka membaca kenyataan sebelum tertuduh ke Parlimen pada jam 11 pagi.
Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan, memohon penangguhan untuk mengambil bahagian dalam pindaan undang-undang yang dicadangkan untuk menurunkan usia pengundi dari 21 kepada 18 tahun di Parlimen hari ini.
Pendakwa tidak memberitahu mahkamah semalam siapa saksi pendakwaan ke-49 hari ini tetapi peguam pendakwa V Sithambaram berkata saksi akan membaca satu kenyataan bertulis.
Semalam, mahkamah diberitahu hampir RM4 juta nilai hutang bagi dua kad kredit Najib pada 2014 dan awal 2015.
Kad itu digunakan untuk membeli barangan mewah di Itali, Hawaii dan menginap di hotel Shangri-La, di Bangkok pada 4 Januari 2015.
Di Itali sahaja, sebanyak €750,000 (RM3.3 juta) dibelanjakan dalam sehari pada 8 Ogos 2014, di sebuah cawangan barang kemas Swizertland, De Grisogono.
Di Hawaii, AS$130,627 (RM466,330) dicaj untuk pembelian di butik mewah Chanel di Honolulu pada 22 Disember 2014.
Urus niaga ini melalui kad kredit Visa Platinum dan kad kredit Mastercard Platinum, yang mempunyai had gabungan sebanyak RM3 juta.
Mahkamah mendengar semalam daripada Naib Presiden Kanan AmBank Yeoh Eng Leong, bertanggungjawab ke atas proses kebenaran kad kredit dan pengurusan penipuan, yang hutang kad kredit bernilai RM3,282,734.16 diselesaikan dengan bayaran daripada akaun AmBank yang berakhir dengan digit “880” pada 8 Ogos 2014 yang juga milik Najib.
Selain itu, RM466,330 dibelanjakan bagi barangan Chanel dan RM127,017 untuk penginapan Shangri-La, diselesaikan pada 5 Februari 2015.
Mohd Shuhaimi Ismail, rakan kongsi kanan firma undang-undang Hisham, Sobri & Kadir, yang mengendalikan dokumentasi pembiayaan antara SRC International dan KWAP, mengesahkan jumlah dan perjanjian pinjaman yang ditandatangani oleh pegawai daripada kedua-dua entiti.
Mahkamah juga mendengar bahawa pada 2014, akaun AmBank Najib dikreditkan dengan kira-kira £9.46 juta (RM50.22 juta) melalui enam transaksi daripada dua firma yang dikaitkan dengan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low.
Kedua-dua firma itu ialah Blackrock Commodities Global Ltd dan Visa Equity International Pte Ltd, pengurus jabatan pengiriman wang di ibu pejabat Kuala Lumpur, Wedani Senen mengesahkannya pada pendengaran semalam.
Dua daripada transaksi itu - daripada Visa Equity yang berpangkalan di Seychelles berjumlah RM12.17 juta - dilabelkan untuk “tujuan pinjaman” dan bukan derma seperti yang didakwa oleh Najib, kata Wedani.
Peguambela, Harvinderjit Singh, juga secara ringkas meneliti 500 log perbualan antara pengurus hubungan AmBank Joanna Yu, Krystle Yap dan Daniel Lee menerusi Blackberry dan aplikasi perbualan seperti WhatsApp dan Telegram.
Penganalisis Bank Negara Shuzairizman Shuib memberitahu mahkamah, satu kumpulan sembang termasuk Yu dan seorang lagi kenalan yang dikenal pasti sebagai “J” dibuat pada 7 Julai 2014 dan individu lain dimasukkan ke dalam kumpulan itu kemudian.
Pertuduhan Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Beliau berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.
Najib, 66, diwakili oleh sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebagai hakim perbicaraan.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
11.00am: Mahkamah ditangguhkan untuk hari ini. Soal balas Ung akan disambung esok pada pukul 9 pagi.
10.52am: Pembiayaan Petronas adalah untuk projek khas yang Ung tidak perincikan.
10.51am: 1MDB memberi RM210 juta; Genting Group (RM230 juta) dan Petronas (RM3 juta).
Lembaga YR1M tidak pernah bertemu dan ia membuat keputusan berdasarkan resolusi pekeliling, kata Ung.
10.50am: 1MDB, Genting Group dan Petronas adalah antara pihak yang membiayai YR1M, kata Ung.
10.44am: Shafee berkata semua soalan yang diajukan relevan kerana mereka perlu mengetahui latar belakang sebelum bertanya mengenai perkara yang berkaitan dengan pertuduhan.
Hakim berkata latar belakang perlu tetapi tidak perlu terlalu mendalam.
10.39am: YR1M mempunyai tiga prinsip, kata Ung, termasuk meningkatkan kualiti hidup bagi yang kurang bernasib baik terutama B40.
Ia menyediakan bekalan air bersih kepada masyarakat yang tidak mempunyai akses kepada air bersih, seperti Sabah dan Sarawak.
YR1M juga terlibat dalam projek mikro hidro untuk komuniti kecil. YR1M juga menyediakan latihan kemahiran kepada usahawan mikro bagi syarikat kecil.
Ia juga membantu petani dan menyediakan sistem pemadam kebakaran untuk rumah panjang.
10.33am: Ung berkata, YR1M ditubuhkan kerana Najib merasakan tiada aktiviti mencukupi untuk mencerminkan matlamat 1Malaysia dan mempromosikannya.
Ia terlibat dengan kerja komuniti akar umbi untuk meningkatkan rakyat Malaysia.
Kempen dan slogan 1Malaysia adalah idea Najib.
Ung berkata beliau tidak menyedari 1MDB juga mempunyai entiti yang serupa dikenali sebagai Yayasan 1MDB, yang juga terlibat dalam inisiatif CSR.
10.26am: Ung berkata beliau memohon jawatan CEO YR1M melalui Dennis See yang diketahui menangani inisiatif CSR 1MDB.
See ialah sepupu Ung dan beliau mendapat kerja tanpa perlu ditemuduga.
10.20am: Ung turut bekerja di The Wynton Private Equity Group (M) Sdn Bhd.
Shafee bertanya kepadanya jika beliau tahu ia dimiliki oleh Jho Low dan beliau memberitahu maklum mengenainya.
Beliau juga pernah bekerja di Merican & Partners Asset Management yang mengendalikan pelaburan untuk Low.
10.16am: Beliau ditanya mengenai pengalaman kerjanya. Ung berkata beliau adalah setiausaha peribadi kepada Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Nazir Razak. Nazir adalah adik Najib.
10.04am: Sesi soal balas bermula. Shafee bertanya Ung bagaimana SPRM mengambil kenyataannya bagi kes itu.
9.57am: Ung ditanya sama ada beliau tahu Yu adalah pengurus perhubungan untuk akaun Najib.
Beliau berkata maklum mengenai Yu sebagai pengurus perhubungan untuk akaun berkenaan tetapi tidak tahu ia milik Najib.
9.46am: Ung kini meneliti komunikasi pada BlackBerry antara beliau dengan Yu mengenai pemindahan itu.
9.40am: Ung berkata mengenali Joanna Yu kerana akaun YR1M bersama AmBank dan Yu juga merupakan pengurus perhubungan untuk akaun itu. Hubungan ini bermula pada 2013.
9.30am: Ung diberitahu oleh setiausaha peribadi Najib, Azlin Alias bahawa wang yang dipindahkan daripada akaun YR1M ke akaun AmBank yang tidak diketahui adalah untuk inisiatif CSR.
Ung diberikan nombor akaun AmBank dan meminta memasukkan RM42 juta ke dalam akaun ini oleh Azlin.
Beliau berkata tidak mengetahui pemilik akaun kerana ia adalah sulit.
9.23am: Perbicaraan bermula dengan saksi pendakwaan No. 49, Ung Su Ling mengambil tempat untuk memberi keterangan.
9.25am: Ung ialah bekas ketua pegawai eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) dari Januari 2013 hingga Mei 2018.
Beliau diminta memindahkan RM10 juta daripada akaun YR1M ke akaun AmBank yang tidak diketahui dengan nombor berakhir “880” pada 2015.
Wang itu dimasukkan ke dalam YR1M daripada Ihsan Perdana, syarikat yang menguruskan aktiviti sosial korporat SRC International. – 16 Julai, 2019.
MENYUSUL