RM42 juta masuk akaun Najib melalui yayasan amal
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sebuah yayasan amal yang ditubuhkan oleh Najib Razak digunakan sebagai titik transit untuk pindahan RM42 juta dari SRC International ke akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu.
Bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling dalam keterangannya berkata tiga transaksi ke dua akaun AmBank Najib adalah dari anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd.
Transaksi itu ialah RM27 juta pada 26 Disember, 2014 ke akaun bank AmIslamic Najib yang berakhir dengan “880”, RM10 juta pada 26 Disember, 2014 ke akaun bank AmIslamic Najib berakhir dengan “906” dan RM5 juta pada 10 Februari, 2015 ke akaun Najib yang berakhir dengan “880”.
Transaksi itu disalurkan menerusi Ihsan Perdana Sdh Bhd, iaitu rakan kerjasama korporat dan tanggungjawab sosial (CSR) kepada YR1M dan 1MDB.
Nombor akaun peribadi yang dibacakan di mahkamah hari ini sebelum ini dikenal pasti milik Najib oleh pengurus AmBank R. Uma Devi.
Ung yang mula bekerja di YR1M pada 2013, berkata beliau dipanggil ke pejabat setiausaha sulit kanan Najib, Azlin Alias pada September 2014.
“Pada masa itu Datuk Azlin Alias beritahu saya sejumlah wang akan dimasukkan ke Ihsan Perdana tetapi jumlahnya tidak diberitahu.
“Saya diarahkan memberitahu CEO Ihsan Perdana untuk memindahkan RM27 juta dan RM5 juta ke dua akaun AmBank.
“Saya hanya diberitahu wang itu untuk tujuan CSR. Datuk Azlin Alias kemudian minta saya beritahu CEO Ihsan Perdana Dr Shamsul Anwar Sulaiman ke mana wang itu perlu dipindahkan.” – 16 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.