Bertahun terabai punca pencemaran Pasir Gudang
Iklan
KES pencemaran alam sekitar hanya terbongkar selepas ia berlaku pada tempoh yang lama dan apabila orang ramai mula jatuh sakit, biasanya sukar untuk pencemaran itu dibersihkan sepenuhnya, kata kumpulan pencinta alam sekitar.
Mereka berkata itu sebabnya kerajaan perlu bertindak keras terhadap pegawai yang cuai dalam menjalankan tugas.
Naib Presiden Persatuan Alam Semula jadi Malaysia Vincent Chow berkata insiden pencemaran di Pasir Gudang, Johor bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam masa singkat.
“Ia makin teruk apabila pegawai pihak berkuasa tidak mengambil tahu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Chow berkata pihak berkuasa yang gagal bertindak menyebabkan masyarakat tempatan hilang air dan udara yang bersih.
“Mereka (pihak berkuasa) tidak bertindak membersihkan kawasan itu. Ini bukan sekadar tuduhan kerana anda sudah tidak nampak ikan dalam sungai (Sungai Kim Kim). Ikan semua sudah mati.
“Saya sudah tidak berani masuk dalam air itu kerana ia sudah teruk,” katanya.
Chow berkata walaupun Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah membersihkan kawasan itu, pasti ada sisa tertinggal kerana bahan buangan sudah lama terkumpul di situ.
Katanya, sisa itu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan berulang apabila hari panas mencetuskan reaksi kimia.
Chow turut menggesa kerajaan memastikan pegawai berkenaan dalam JAS mempunyai kelayakan dan kepakaran yang relevan bagi menjalankan operasi yang lancar dan berkesan.
Sebagai contoh, katanya JAS Johor pernah diketuai oleh pegawai yang mempunyai ijazah kejuruteraan elektronik, menyebabkan kemampuan jabatan itu menguruskan alam sekitar dan respons terhadap insiden pencemaran, dipertikaikan.
Chow berkata kawasan industri yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan menunjukkan kegagalan sebahagian jabatan kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah dan jabatan alam sekitar.
Perunding Persatuan SME Selatan Johor Teh Kee Sin berkata JAS lambat bertindak dalam insiden pencemaran yang terkini dan tidak memberikan keyakinan, malah pihak berkuasa juga lambat menyebarkan maklumat.
Teh yang sudah lama menetap di Pasir Gudang berkata banyak penduduk tinggal berhampiran kawasan perindustrian berpindah selepas insiden pertama Sungai Kim Kim, menyebabkan mereka terpaksa jalan jauh demi keselamatan keluarga.
“Mereka lebih suka untuk balik semula ke rumah tetapi bimbang kerana tidak tahu apa kesan terhadap mereka sebenarnya.
“JAS terlalu lambat memberi respons, jadi orang ramai pun tidak tahu apa hendak buat,” katanya.
Teh berkata lebih mudah untuk kilang-kilang besar berpindah ke tempat lain, tetapi kebanyakan penduduk tidak mampu berpindah.
Katanya, jumlah orang ramai yang berpindah juga menjejaskan perniagaan tempatan, dan menggesa kerajaan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
Teh berkata jika insiden pencemaran terus berlaku, beliau percaya pemaju juga akan berhenti bina rumah di kawasan itu.
“Jika orang ramai berhenti beli rumah maka pemaju pun tidak boleh bertahan juga,” katanya. – 17 Julai, 2019.