Iklan

LANGSUNG: Mahkamah diberitahu Jho Low ada pada malam Najib buka akaun AmBank

Bede HongTimothy Achariam5 years ago17th Jul 2019Berita
Cheah tek kuang 02
Bekas pengarah bukan eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang dipanggil sebagai saksi ke-50 dalam perbicaraan SRC International Najib Razak hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Julai, 2019.
Iklan

BEKAS ketua pegawai eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling kembali ke kandang saksi hari ini untuk disoal balas oleh peguambela ketika perbicaraan SRC International melibatkan Najib Razak memasuki hari ke-39 hari ini.

Saksi ke-49 pihak pendakwaan memberitahu mahkamah semalam yang beliau diarahkan oleh bekas pembantu khas kanan bekas perdana menteri untuk membuat pemindahan berjumlah RM42 juta ke akaun bank peribadi Najib.

Ung memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur transaksi itu disalurkan melalui Ihsan Perdana Sdn Bhd, yang merupakan rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada YR1M serta 1Malaysia Development Bhd.

Ung berkata beliau diarahkan oleh Allahyarham Azlin Alias, yang merupakan setiausaha sulit Najib. Azlin maut dalam kemalangan helikopter pada 2015.

Transaksi tersebut adalah RM27 juta pada 26 Disember 2014 ke akaun bank AmIslamic milik Najib yang berakhir dengan digit “880”, RM10 juta pada 26 Disember 2014 ke akaun bank AmIslamic milik Najib yang berakhir dengan digit “906” dan RM5 juta pada 10 Februari 2015 ke akaun Najib yang berakhir dengan “880”.

Selepas RM42 juta dipindahkan kepada rakan kongsi CSR SRC International Ihsan Perdana, Azlin mengarahkan Ung memberitahu CEO Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman untuk meluluskan tiga transaksi kepada dua akaun peribadi AmBank.

“Saya hanya diberitahu wang itu adalah untuk keperluan CSR,” kata Ung, sambil menambah tidak pernah diberitahu siapa pemilik akaun peribadi AmBank itu.

Dalam transaksi Februari, 2015, Ung berkata beliau berinteraksi dengan pengurus hubungan AmBank, Joanna Yu.

Antara 2013 dan 2015, YR1M menyalurkan RM170 juta kepada SRC International untuk menjalankan aktiviti CSR.

Ketika ia ditubuhkan pada 2013, YR1M menerima geran sebanyak RM210 juta daripada 1MDB, kata Ung.

Ung memberitahu mahkamah beliau juga pernah bekerja di The Wynton Private Equity Group (M) Sdn Bhd dari 2004 hingga 2006, dan tahu firma itu dimiliki oleh ahli perniagaan dari Pulau Pinang, Low Taek Jho.

Beliau juga pernah bekerja di Merican & Partners Asset Management yang mengendalikan pelaburan untuk Low.

Beliau kemudiannya bekerja di CIMB Bank, dan selepas itu memohon sebagai CEO YR1M melalui Dennis See yang diketahuinya menguruskan inisiatif CSR 1MDB.

Beliau berkata See adalah sepupunya dan tidak ditemuduga bagi jawatan yang dipohon itu.

Pertuduhan Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.

Najib, 66, diwakili oleh sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan dan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengetuai perbicaraan.

Bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia Ung Su Ling semalam memberitahu mahkamah beliau diarahkan oleh bekas pembantu khas kanan bekas Najib Razak untuk membuat pemindahan berjumlah RM42 juta ke akaun bank peribadi Najib. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2019.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

5.00pm: Mahkamah ditangguhkan hari ini. Perbicaraan bersambung dengan saksi yang sama pukul 9 pagi esok.

4.47pm: Saksi berkata beliau hanya berjumpa dengan Najib pada pertemuan di rumah bekas perdana menteri itu.

Cheah berkata beliau tidak tahu Jho Low juga berada di rumah itu pada malam beliau pergi buka akaun dengan Najib.

Cheah berkata, Najib memberitahunya pada malam itu bahawa Najib membuka akaun kerana beliau menjangkakan dana politik dari Arab Saudi.

Cheah berkata, Najib meminta beliau mematuhi semua peraturan dan SOP apabila membuka akaun berkenaan.

4.13pm: Farhan Read memulakan pemeriksaan balas mengenai proses kelulusan pinjaman KWAP.

4.02pm: Cheah ditunjukkan gambar Jho Low dan diminta mengenal pastinya.

3.54pm: Beliau kini menerangkan bagaimana panel pelaburan KWAP telah meluluskan dua pinjaman RM2 bilion kepada SRC International sebagai diperakui oleh saksi lain seperti Wan Abdul Aziz.

3.50pm: Beliau berkata pada 19 Julai 2011, satu mesyuarat panel pelaburan khas diadakan.

Pada mesyuarat itu, pengerusi Wan Abdul Aziz memberitahu lembaga itu bahawa Najib telah meminta pinjaman itu dipercepat dan RM2 bilion akan mencukupi.

Lembaga telah memutuskan pada 5 Julai hanya memberi RM1 bilion sebelum arahan Najib.

3.42pm: Cheah memeriksa proses membuat keputusan panel pelaburan.

3.40pm: Beliau berkata adalah ahli panel pelaburan Kumpulan Wang Persaraan DIperbadankan (KWAP) sehingga Februari 2016 tetapi berhenti sekejap pada 2007.

3.38pm: Cheah berkata terdapat nama kod digunakan dalam borang akaun untuk mengekalkan ketanpanamaan seperti diminta oleh Low kepada Yu.

3.30pm: Beliau berkata Low berada di kediaman Najib pada malam Cheah pergi ke sana untuk membantu Najib membuka akaunnya.

Beliau berkata sebaik sahaja selesai dengan Najib, beliau pergi berjumpa dengan bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz. Cheah mengatakan Zeti mengingatkannya membuka akaun mesti mematuhi peraturan perbankan.

3.28pm: Cheah berkata diberitahu oleh Yu yang  Najib mahu membuka akaun di AmBank.

Beliau berkata bertindak menguruskan sendiri pembukaan akaun Najib pada 2011 dan berurusan dengan Azlin.

Cheah berkata pergi ke rumah Najib untuk membantu membuka akaunnya.

3.25pm: Saksi Cheah Tek Kuang seterusnya dipanggil untuk memberi keterangan.

Beliau berusia 72 tahun dan merupakan pengarah bukan eksekutif untuk AmBank.

3.11pm: Ung ditanya sama ada Najib membuat laporan polis terhadapnya kerana memindahkan wang kepada akaunnya. Beliau berkata tidak tahu.
Ung dibenarkan turun dari kandang saksi.

3.09pm: Ung juga ditanya tentang istilah yang digunakan dalam log perbualan yang merujuk kepada “kawan kita”.

Ung mengatakan itu cara merujuk kepada seseorang tanpa menyebut nama mereka.

Beliau berkata jika merujuk kepada perdana menteri dalam mesejnya kepada Yu, beliau akan merujuknya sebagai “pakcik”.

3.07pm: Ung ditanya sama ada beliau diarah oleh Low untuk mendeposit RM42 juta ke dalam akaun Najib. Ung menjawab, tidak.

Dia juga mengatakan dia tidak tahu tentang Putra Perdana pada masa itu.

3.04pm: Shafee menamatkan soal balasnya. Sithambaram mempunyai beberapa soalan untuk meminta penjelasan Ung.

3.01pm: Shafee berkata beliau memadam mesej Azlin dan mengabaikan telefonnya kerana tiada komunikasi antaranya dan Azlin. Ung tidak setuju.

2.59pm: Shafee mengatakan Ung mereka-reka perbualan dengan Azlin, mengarahkannya mengenai wang itu. Ung mengatakan beliau tidak bersetuju.

2.55pm: Shafee: Adakah menyimpan semua mesej itu ideal?

Ung: Ya. Tetapi saya hanya mahu mengatakan saya fikir tiada apa yang salah. Jika saya ragu-ragu, saya akan menyimpannya dan ia akan digunakan untuk menyokong kesaksian saya hari ini.

2.53pm: Ung memberitahu Shafee apabila Azlin meninggal dunia, ia menyedihkan untuk melihat nombor beliau dalam telefonnya. Beliau kemudian memadam semua mesej dan semua nombornya dalam telefon.

Shafee berkata tiada apa-apa secara bertulis menunjukkan beliau bertindak atas arahan Azlin. Ung berkata jika tahu, beliau tidak akan memadam mesej itu kerana ia akan melindunginya dalam kes ini.

2.45pm: Shafee bertanya jika beliau mengingati ketika kali pertama membaca mengenai kontroversi 1MDB. Beliau berkata tidak boleh mengingati tetapi ingat beritanya terbongkar pada 2014 atau 2015.

2.40pm: Najib kembali dan mengambil tempat di kandang tertuduh. Nazlan menegur Najib dan mengingatkan beliau supaya tepat pada masanya.
Shafee meneruskan soal balas.

2.30pm: Mahkamah bersambung semula. Najib tidak hadir dan peguambela memberitahu hakim beliau akan tiba sebentar lagi. Harvinderjit memohon ditangguhkan sebentar supaya dapat mencari Najib.

12.52pm: Mahkamah berhenti rehat untuk makan tengahari.

12.45pm: Ung berkata kerana Azlin terlibat dalam pemindahan RM42 juta, beliau mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan Najib, tetapi mendakwa tidak tahu pemindahan dari YR1M masuk ke akaun peribadinya.

Harvinderjit mencadangkan Ung tidak mahu mendedahkan hubungannya dengan Low kerana ia akan menyebabkannya terlibat dalam kes ini.

11.50am: Ung memberitahu Harvinderjit yang log perbualan dirujuknya itu diambil di luar konteks.

10.51am: Mereka meneliti log perbualan antara Ung dan Yu mengenai transaksi.

10.41am: Harvinderjit memberitahu Ung berhenti memandang ke arah pihak pendakwa ketika menjawab.

Beliau meminta Ung melihat hakim. Keadaan menjadi hangat apabila V. Sithambaram berdiri untuk mempertahankannya.

10.32am: Terdapat kumpulan bual yang Ung akui Yu dan Low adalah termasuk di dalamnya.

Beliau berkata diberitahu oleh Azlin untuk menyediakan kertas lembaga pengarah bagi sejumlah wang.

Terdapat satu bahagian yang melibatkan transaksi tunai. Ia dimasukkan dalam kertas lembaga pengarah yang RM2 juta akan dikeluarkan sebagai wang tunai.

Harvinderjit bertanya jika Low mengarahkannya untuk merangka kertas lembaga pengarah. Ung berkata Azlin mengarahkannya, bukan Low.

10.22am: Dalam mesej lain, Yu Joanna memberitahu beliau bertemu dengan “kawan kita” malam ini. Ung berkata ia bukan Low.

10.15am: Harvinderjit bertanya kepadanya jika istilah “kawan kita” muncul dalam perbualan antara beliau dan Yu.

Beliau bertanya kepada Ung sama ada ia Jho Low. Ung berkata tidak. Ia mungkin Jho Low dan mungkin tidak.

Harvinderjit mendesaknya lagi tetapi Ung bertegas ia mungkin atau bukan Low.

Terdapat log perbualan lain yang Yu dan Ung merujuk kepada “kawan kita”. Ung berkata ia merujuk kepada Azlin bukannya Low.

10.09am: Tidak lama selepas memasukkan duit RM42 juta, Ung mendapati ia masuk ke akaun Najib.

Beberapa bulan kemudian, Ung bertemu Najib dan beliau memberitahu ia “merosakkan” reputasi dan kariernya serta beliau tidak tahu wang dari Ihsan Perdana, yang dipindahkan melalui YR1M, dimasukkan ke akaunnya.

Ung berkata Najib tidak tahu wang itu masuk. Beliau kelihatan “bengang” apabila mengetahuinya. Ung meminta maaf kepada Najib dan menawarkan diri untuk meletakkan jawatannya di YR1M.

9.51am: Tidak lama selepas pertemuan itu, Azlin menghantar mesej WhatsApp kepada beliau yang wang ada dalam akaun YR1M dan memberikan dua nombor akaun untuk memindahkan dana itu.

9.49am: Beliau kini bercakap mengenai pertemuannya dengan Azlin Alias di pejabat perdana menteri pada 2014.

Dalam kenyataan saksinya semalam, Ung berkata ketika itulah Azlin memberitahunya mengenai wang yang akan dimasukkan ke dalam akaun YR1M.

9.45am: Ung berkata YR1M mempunyai tiga akaun di AmBank - untuk operasi, penderma dan satu lagi untuk menerima dana daripada sumber judi seperti Genting Group.

Ung berkomunikasi dengan Joanna Yu terutamanya di AmBank dan juga menjelaskan bahawa beliau tidak banyak berurusan dengan Crystal Yap dan yang lain.

Ung bertemu Yu “sekali-sekala” dan pernah makan tengah hari bersama tetapi kebanyakan pertemuan diadakan di AmBank.

9.40am: YR1M mempunyai hanya 20 orang kakitangan dan untuk melaksanakan lebih banyak projek di seluruh negara, ia perlu bergabung dengan kumpulan lain untuk menjalankan projek, kata Ung.

Ihsan Perdana adalah salah satu rakan kongsi.

9.35am: Ung bekerja dengan Lotus Asset Management yang menukar namanya kepada Merican & Partners.

Ung mengatakan tidak benar beliau bekerja untuk Jho Low kerana firma itu tidak pernah menguruskan wang untuk Low.

Beliau berkata mengenali Low pada 2000 hingga 2001, sambil menambah beliau berminat untuk kembali ke tanah air selepas belajar di AS.

Ung berkata Low mempunyai beberapa perniagaan dalam talian dan berkira-kira untuk memulakan perniagaan yang sama di Malaysia.

9.25am: Harvinderjit Singh memulakan soal balas.

Ung berkata beliau dipanggil oleh SPRM pada penghujung 2018 dan mengadakan dua pertemuan dengan mereka.

Ini untuk merakamkan kenyataan saksi yang dibacanya semalam. – 17 Julai, 2019.

Iklan
Iklan