LANGKAH berani Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menolak umpan RM5 juta untuk menggadai perjuangan politiknya dengan meninggalkan Bersatu dan menyambung pelajaran di luar negara adalah perbuatan terpuji yang boleh jadi contoh baik kepada generasi muda, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah berkata tindakan Syed Saddiq itu langkah yang “berprinsip dan amat penting untuk dirinya secara peribadi”.
“Saya angkat topi kepada Syed Saddiq kerana memilih untuk meneruskan perjuangannya dalam Bersatu dan PH,” kata bekas timbalan menteri itu kepada The Malaysian Insight.
“Di samping itu, beliau menunjukkan teladan yang baik kepada generasi muda.”
Syed Saddiq mendedahkan hari ini, beliau ditawarkan RM5 juta oleh “penasihat kanan Perdana Menteri Najib Razak” untuk meninggalkan parti Bersatu dan menyambung pengajiannya di Universiti Oxford.
Ketua Pemuda Bersatu itu berkata, tawaran RM5 juta berkenaan dibuat oleh “rangkaian sistematik dedak” yang dirancang penasihat kanan terbabit.
“Semua ini dirancang oleh penasihat kanan Najib. Saya ditawarkan RM5 juta untuk tinggalkan Bersatu dan mengambil biasiswa ke Universiti Oxford.
“Saya tidak akan tinggalkan Bersatu dan akan terus di sini mendedahkan rangkaian sistematik dedak ini,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur yang terletak bersebelahan dengan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pula berkata, pendedahan Syed Saddiq itu tidak mengejutkan kerana PKR sendiri pun pernah melalui perkara yang yang sama sebelum ini.
“Tetapi yang mengejutkan ialah dakwaan hubungan percubaan merasuah ini kepada pemimpin nombor satu negara.
“Jika benar, dalam mana-mana demokrasi matang, pemimpin politik tersebut sudah pasti disiasat dan diambil tindakan,” katanya.
Fahmi turut menggesa agar Syed Saddiq membuat laporan serta menyerahkan bukti-bukti yang ada kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Syed Saddiq dalam sidang medianya hari ini mendakwa ada bukti mengenai umpan RM5 juta itu dan sedang berbincang dengan peguamnya untuk membawa bukti tersebut ke pengetahuan SPRM.
Sementara itu, Ketua Pemuda PH, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan cuba menyogok Syed Saddiq adalah tindakan biasa yang dilakukan Umno dan Barisan Nasional (BN) apabila berdepan dengan lawan mereka.
“Inilah cara terbaik mereka untuk berdepan dengan lawan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu menerusi ancaman dan sogokan.
“Namun rakyat Malaysia tidak akan termakan dengan strategi politik kolot seperti ini,” kata Nik Nazmi yang juga ketua Pemuda PKR dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir pula berkata, Najib sekarang ini akan bermain dengan 1,001 cara untuk memastikan beliau “menang” sebelum Parlimen dibubarkan.
“Dedak yang mahu ditabur untuk ‘membeli’ pemimpin politik Pakatan Harapan adalah satu langkah terdesak dan menggambarkan betapa paniknya tokoh kleptokrat itu.
“Kita mendesak untuk Najib membubarkan Parlimen segera dan bertanding di gelanggang secara anak jantan.
“Usah buang masa dan tenaga ke hulu dan ke hilir menghulur dedak kerana pemimpin Pakatan Harapan bukan ketua-ketua Umno bahagian,” katanya.
Syed Saddiq semalam menghebahkan sidang media ini semalam kononnya untuk mengumumkan keputusannya menyambung pengajian ke Universiti Oxford dalam bidang dasar awam dan bagi menjelaskan kedudukannya dalam Bersatu.
Hebahan itu disebarkan melalui WhatsApp dan dinaikkan di laman Instagramnya. Maklumat itu kemudian mencetuskan spekulasi Syed Saddiq akan lompat parti menyertai Umno kerana lokasi sidang media itu terletak bersebelahan dengan ibu pejabat Umno di PWTC. – 2 Oktober, 2017.