Iklan

Saya jumpa Jho Low di rumah Najib, kata bekas pegawai AmBank

Bede HongTimothy Achariam5 years ago17th Jul 2019Berita
Najib trial 04
Jho Low berada di rumah Najib Razak ketika beliau menandatangani borang buka akaun AmBank pada 2011. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Julai, 2019.
Iklan

SEORANG pegawai kanan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho berada di rumah Najib Razak ketika beliau berkunjung ke sana untuk membantu bekas perdana menteri itu membuka akaun bank pada awal 2011.

Bekas pengarah urusan Kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang berkata bank itu terlibat dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada 2009 apabila dana kekayaan negara itu menjadi pelanggannya.

Cheah berkata beliau dihubungi Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu pada awal Januari 2011, yang memaklumkan kepadanya Najib meluahkan minat membuka akaun simpanan dan semasa dengan AmBank.

Selepas mendapat kebenaran Pengerusi AmBank Azman Hashim, Cheah berkata beliau menghubungi Setiausaha Sulit Kanan Najib, Azlin Alias untuk menetapkan tarikh dan tempat pertemuannya dengan Najib.

LANGSUNG: Perbicaraan SRC International Najib Razak hari ke-39

Cheah berkata beliau diberikan salinan borang pembukaan akaun bank dan kad kredit oleh Yu.

“Pada pertengahan bulan Januari 2011, sekitar jam 7 malam, saya dibawa dengan kereta ke kediaman peribadi Najib di No.11 Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur untuk membincangkan pembukaan akaun itu,” katanya.

“Sebaik tiba di rumah Najib, saya berjumpa dengan En Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low. Saya pernah berjumpanya sebelum itu.

“Saya dibawa masuk ke dalam rumah (Najib) oleh Jho Low yang kemudiannya memperkenalkan saya kepada Najib.

“Najib dan saya kemudiannya pergi ke bilik tetamu, sementara Jho Low menunggu di ruang lain dalam rumah itu.”

Cheah berkata beliau menjelaskan proses membuka akaun bank kepada Najib dan menekankan prosedur bank perlu dipatuhi.

“Dan (saya beritahu dia), saya bertanggungjawab memaklumkan bank pusat (Bank Negara) untuk pembukaan akaun tersebut kerana Najib adalah orang ‘terdedah’ politik,” katanya, menambah yang Najib kemudiannya menandatangani borang itu.

Cheah berkata pertemuannya dengan Najib berlaku hampir 20 minit sebelum beliau dipandu pulang ke rumahnya.

Keesokan harinya, beliau menyerahkan borang bertandatangan itu kepada Yu untuk proses lanjut membuka akaun dan permohonan kad kredit. – 17 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan