Iklan

Pegawai AmBank bantu Najib buka akaun juga ahli panel pelaburan KWAP

Bede HongTimothy Achariam5 years ago17th Jul 2019Berita
Najib trial 08
Pertuduhan jenayah ke atas Najib Razak adalah berkaitan dengan pinjaman berjumlah RM4 bilion dikeluarkan SRC International pada 2011 dan 2012. Beliau didakwa menerima suapan mencecah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Julai, 2019.
Iklan

PEGAWAI kanan AmBank yang membantu Najib Razak membuka akaun di bank itu juga adalah ahli panel pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) yang meluluskan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International, mahkamah diberitahu hari ini.

Bekas pengarah urusan Kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang, 72, memberi keterangan yang beliau adalah ahli panel pelaburan yang meluluskan pinjaman pertama berjumlah RM2 bilion kepada SRC International yang diberikan pada 29 Ogos 2011.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang beliau hadir mesyuarat khas tergempar pada 19 Julai 2011 untuk meneliti cadangan pinjaman itu yang dibentangkan oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP.

Pada mesyuarat itu, CEO KWAP Azian Mohd Noh berkata Najib mendesak Pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah mempercepatkan proses kelulusan pinjaman itu.

Katanya lagi, jumlah pinjaman yang besar itu memerlukan jaminan kerajaan sebelum ia diluluskan, disebabkan modal permulaan SRC International hanyalah RM2 sahaja.

Cheah mengesahkan keterangan saksi sebelum ini yang pinjaman pertama adalah untuk pelaburan dalam industri sumber semulajadi dan berkaitan dengannya, bukannya untuk perkara lain.

Beliau juga menyerahkan borang balasan, meluluskan pengecualian pinjaman itu daripada garis panduan KWAP pada 22 Ogos 2011.

Cheah juga menghadiri mesyuarat panel untuk meluluskan pemindahan pemilikan SRC International daripada 1Malaysia Development Bhd kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MKD.

“Dalam pengalaman saya sebagai ahli panel pelaburan KWAP, dua pinjaman berasingan yang diberikan kepada SRC International berjumlah RM4 bilion, adalah salah satu pinjaman terbesar dipersetujui dan diluluskan KWAP.”

Bagaimanapun, Cheah tidak hadir dalam mesyuarat panel yang meluluskan pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion dan diberikan kepada SRC International pada 28 Mac 2012.

Pertuduhan jenayah ke atas Najib adalah berkaitan dengan pinjaman berjumlah RM4 bilion dikeluarkan SRC International pada 2011 dan 2012. Beliau didakwa menerima suapan mencecah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Pemimpin berusia 66 tahun itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun sekiranya sabit kesalahan.

Najib diwakili pasukan peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Manakala, pihak pendakwaan diterajui Peguam Negara Tommy Thomas, manakala hakim bersidang ialah Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Perbicaraan bersambung pagi esok. – 17 Julai, 2019.

Iklan
Iklan