Kenapa hanya Kim Jong-nam kena racun VX, tanya peguam
Iklan
PEGUAMBELA kes pembunuhan Kim Jong-nam mempersoalkan mengapa tiada saksi yang bersama dengan si mati mempunyai sebarang simptom terdedah dengan ejen saraf VX.
Gooi Soon Seng yang mewakili warga Indonesia Siti Aisyah berkata mereka hairan mengapa ada saksi yang telah memegang muka Kim secara langsung tetapi tidak mendapat sebarang kesan walaupun ejen VX itu didakwa baru sahaja digunakan ke atas mangsa.
“Kata nurse (pembantu perubatan) yang merawatnya (dia) telah memegang muka mangsa yang sepatutnya mengandungi VX di mukanya. Dia sentuh dengan tangan kosong tanpa glove (sarung tangan),” katanya kepada wartawan selepas tamat hari pertama perbicaraan kes pembunuhan ini.
Gooi mengulas keterangan saksi ketiga pendakwa, Rabiatul Adawiyah Mohd Sofi, 23, pembantu perubatan di Klinik Menara di aras dua Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) yang merupakan orang pertama merawat Kim.
Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong dituduh membunuh Kim di klia2 bersama empat individu lain yang masih bebas 13 Februari lalu. Empat individu itu tidak dinamakan dalam kertas pertuduhan.
Mahkamah sebelum itu hari ini menolak permohonan peguambela untuk empat tertuduh itu dinamakan dalam kertas pertuduhan.
Kim juga masih sedarkan diri ketika dibawa ke klinik itu namun tidak bertindak balas kepada soalan dan ternampak dalam kesakitan, kata saksi.
Menurut Rabiatul Adawiyah lagi, mendiang juga menghentak-hentakkan tangan kirinya pada kaunter klinik ketika duduk sambil menunggu rawatan lanjut.
Saksi keempat yang merupakan doktor Klinik Menara, Dr Nik Mohd Adzrul Ariff Raja Azlan turut berkata Kim menunjukkan simptom klasik sawan.
Nik Mohd Adzrul akan meneruskan kenyataan beliau esok untuk disoal balas peguambela tertuduh.
Gooi berkata pasukannya akan bertanya mengenai cara pemerhatian Nik Mohd Adzrul serta diagnosis beliau terhadap Kim.
Bagaimanapun beliau tidak mahu membuat kenyataan berlebihan dan akan menyerahkan kepada pakar kimia yang memantau perjalanan kes itu.
“Mereka (pendakwaan) harus membuka kes mereka. Mereka masih belum lagi sampai ke tahap itu jadi kami tak mahu komen berlebihan kerana pendakwaan bimbang kami mungkin membuat kenyataan subjudis,” kata beliau.
Sebelum itu, saksi pertama kes pembunuhan Kim, Lans Korporal Zulkarnain Sanudin memberi jawapan agak tidak konsisten ketika disoal balas peguambela kedua-dua tertuduh berkenaan kejadian. – 2 Oktober, 2017.