Iklan

LANGSUNG: Najib tulis di Facebook sebab laporan media tidak adil, kata Shafee

Bede HongTimothy Achariam5 years ago18th Jul 2019Berita
Court duta 201900718 afif 42
Fauziah Yaacob merupakan saksi seterusnya. Beliau merupakan pesara penjawat awam, dan merupakan bekas timbalan setiausaha pelaburan di Kementerian Kewangan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Julai, 2019.
Iklan

SAKSI ke-50 pendakwaan, bekas pengarah urusan Kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang akan kembali ke kandang saksi untuk disoal balas peguam bela Najib Razak.

Perbicaraan kes SRC International masuk hari ke-40 hari ini.

Cheah, 72, dijangka disoal balas berkaitan peranannya sebagai ahli panel pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 dan 2012 ketika SRC International menerima dua pinjaman bernilai RM2 bilion setiap satu.

Semalam, Cheah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang beliau menghadiri mesyuarat tergempar khas pada 19 Julai 2011 untuk meneliti cadangan Jabatan Pinjaman Tetap KWAP untuk mengeluarkan pinjaman pertama berjumlah RM2 bilion.

Beliau juga hadir mesyuarat panel meluluskan pemindahan pemilikan SRC International daripada 1Malaysia Development Bhd kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada 15 Februari 2012.

Keterangan mengejutkan Cheah semalam berkisar kepada pertemuannya dengan Low Taek Jho atau Jho Low di kediaman Najib di Kuala Lumpur pada Januari 2011.

Katanya, beliau dibawa masuk ke rumah Najib oleh Low yang memperkenalkan mereka berdua. Cheah sebelum itu pernah bertemu Low yang membawa masuk beberapa perniagaan menjadi pelanggan AmBank.

“Najib dan saya pergi ke bilik tetamu, manakala Jho Low menanti di ruang lain dalam rumah itu.”

Ketika pertemuan dengan Najib itu, bekas perdana menteri itu berkata yang beliau sedang menunggu derma politik dari Arab Saudi berjumlah AS$100 juta sehingga AS$200 juta. Pertemuan berlangsung kira-kira 20 minit.

Keesokan harinya, Cheah menyerahkan borang bertandatangan Najib kepada Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu. Cheah juga bertemu dan memaklumkan Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz tentang akaun itu. Zeti tidak membantah pembukaan akaun itu, tetapi menegaskan yang peratusan dan undang-undang perbankan perlu dipatuhi.

Perbicaraan SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-40. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Julai, 2019.

Semalam juga, CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling menafikan menerima arahan daripada Low ketika beliau menguruskan pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib Razak di AmBank.

Ung berulang kali menafikan istilah “kawan kita” digunakan dalam komunikasi teks telefon dengan Yu merujuk kepada Low.

Yu adalah salah seorang daripada tiga kakitangan AmBank yang menguruskan akaun bank berkaitan dengan Najib dan 1MDB, serta bekas anak syarikatnya SRC International.

Ung juga berkata ketika beliau bertemu Najib selepas skandal 1MDB terbongkar pada pertengahan 2015 dan bekas menteri itu kelihatan “sangat bengang”. Najib juga mengakui dakwaan seleweng dana SRC International itu “sangat merosakkan” kerjaya politiknya.

Pertuduhan jenayah ke atas Najib adalah berkaitan dengan pinjaman berjumlah RM4 bilion dikeluarkan SRC International pada 2011 dan 2012. Beliau didakwa menerima suapan mencecah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Pemimpin berusia 66 tahun itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun sekiranya sabit kesalahan.

Najib diwakili pasukan peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Manakala, pihak pendakwaan diterajui Peguam Negara Tommy Thomas, manakala hakim bersidang ialah Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

3.54pm: Perbicaraan ditangguhkan sehingga Isnin.

3.43pm: Tommy Thomas memberitahu Nazlan pihak pendakwaan akan merayu keputusan hakim Colin Sequerah di Mahkamah Rayuan dan failkan perakuan segera.

 

3.39pm: Sithambaram meminta mahkamah ditangguhkan sehingga Isnin kerana mereka tiada lagi saksi untuk hari ini.

3.38pm: Selepas pemeriksaan balas oleh peguam belas Harvinderjit, Fauziah dilepaskan.

3.20pm: Fauziah berkata Kementerian Kewangan meminta pegawainya diletakkan dalam lembaga pengarah SRC International. Beliau menulis memorandum mengenainya untuk dipertimbangkan, kerana ia adalah amalan biasa.

3.12pm: Beliau berkata pegawai kementerian tiada dalam lembaga pengarah SRC International dan tiada pengawasan daripada kementerian.

3.11pm: Fauziah berkata MKD meletakkan pegawai kementerian dalam lembaga pengarah syarikat ini bagi memantau dan memutuskan hala tuju mereka.

3.09pm: Beliau berkata Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) berada di bawah bidang kuasanya. Beliau berkata SRC International dan 1MDB adalah antara lebih 100 syarikat di bawah MKD.

3.04pm: Saksi seterusnya, Fauziah Yaacob, mengambil tempat. Beliau merupakan pesara penjawat awam, dan merupakan bekas timbalan setiausaha pelaburan di Kementerian Kewangan.

3.03pm: Nazlan membenarkan penyerahan penuh pada hari Isnin, tetapi memberi amaran kepada Najib bahawa sebarang posting lain di Facebook akan dianggap hina mahkamah.

2.59pm: Tommy meminta Najib berdiri di mahkamah dan isytiharkan bahawa beliau tidak akan membuat posting mengenai kes itu sehingga Isnin.

2.58pm: Beliau berkata ia adalah kes pendakwaan, dan media melaporkan kes itu versi pendakwaan. Tommy berkata Najib, apabila dan sekiranya beliau mengambil tempat, boleh memberikan alasan versinya.

2.57pm: Peguam Negara Tommy Thomas meminta Shafee jelaskan pendiriannya. Beliau berkata kebebasan bersuara tidak mutlak di mana-mana negara, terutamanya di Malaysia. Beliau berkata ia tidak mengira fakta Najib adalah ahli politik, kerana bekas perdana menteri hanya seorang tertuduh.

2.55pm: Shafee berkata Najib telah memberikan pandangannya bahawa media prejudis dan membuat laporan terpilih. Beliau berkata karier politik anak guamnya akan terjejas sekiranya beliau tidak menyatakan pandangannya.

2.54pm: Shafee berkata beliau perlukan masa agar tidak memberikan penyerahan sembarangan.

2.50pm: Shafee beri jaminan kepada hakim bahawa Najib tidak akan membuat sebarang kenyataan kontroveris sehingga Isnin.

2.49pm: Shafee berkata Najib menulis di Facebook kerana media tidak melaporkan kes itu dengan adil.

2.48pm: Nazlan bertanya sama ada Najib akan menulis lebih banyak posting sehingga Isnin. A-G meminta hakim untuk memberi aku janji.

Shafee berkata, pada awal perbicaraan mereka meminta gag order namun ditoak dan kini mereka mahu kenakan sekatan terhadap anak guamnya.

2.47pm: Shafee meminta hakim Nazlan untuk tangani permohonan Tommy Thomas untuk Najib mohon maaf berhubung posting Facebook mengenai kes itu pada Isnin bagi memberi masa peguam bela berbincang dengan bekas perdana menteri.

2.45pm: Mageswary berkata dokumen berkenaan merupakan afidavit dalam saman yang difailkan Najib terhadap Ling Liong Sik. Saksi dilepaskan.

2.43pm: Perbicaraan bersambung dengan Mageswary mengambil tempat untuk diperiksa balas oleh peguam bela Harvinderjit.

12.55pm: Mahkamah berhenti rehat untuk makan tengah hari.

12.40pm: Pihak pendakwa raya bertanya kepadanya jika SPRM ada membuat permohonan mendapatkan dokumen untuk kes sivil.

Beliau berkata, SPRM meminta dokumen rayuan untuk kes tertentu. Kes itu adalah saman fitnah bagi Najib terhadap bekas pemimpin MCA, Ling Liong Sik.

12.38pm: Pendaftar mahkamah S Mageswary dipanggil memberi keterangan. Dia bekerja di mahkamah sivil sebagai seorang penolong kanan pendaftar.

Dia berperanan mendaftarkan kes-kes sivil, memproses dokumen mahkamah dan mematuhi arahan diberikan oleh hakim.

12.09pm: Saksi dibebaskan.

11.30am: Beliau berkata, di tengah-tengah mesyuarat lembaga tertentu, pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) datang ke pejabat untuk bertanya sama ada transaksi tertentu telah diluluskan oleh lembaga.

Chee berkata, lembaga mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu.

11.28am: Chee berkata, selepas beliau menyediakan resolusi pekeliling pengarah, beliau menunggu dokumen tersebut dikembalikan ke pejabatnya selepas mendapat tandatangan tiga pengarah.

11.15am:  Saksi ke-51 dipanggil untuk memberi keterangan.

Chee Suwen adalah bekas setiausaha syarikat untuk SRC International dari 2015 hingga 2018. Tugasnya adalah menyediakan minit mesyuarat dan dokumen statutori. 

Menurutnya, dia mengambil alih rekod statutori SRC International ketika bekerja di sana.

11.13am: Harvinderjit menyimpulkan pemeriksaan balasnya dan saksi dibebaskan.

11.06am: Harvinderjit bertanya sekiranya Cheah mempunyai telefon jenis Blackberry dan Samsung, serta jika Low ada memberinya telefon berkeaan.

Cheah berkata, dia membeli telefon itu sendiri. Dia bersetuju mempunyai telefon itu tetapi bukan Low yang membelikannya.

11.02am: Cheah berkata Low adalah seorang yang lembab dan tidak pernah berpegang pada kata-katanya.

Tambahnya, dia membenci orang yang lembab dan tidak suka orang seperti Low.

Low dalam perbualannya dengan Yu telah membayangkan bahawa dia telah bercakap secara terus kepada Cheah. Cheah kata Low berbohong.

10.58am: Harvinderjit membayangkan Cheah mempunyai lebih banyak kaitan dengan akaun Najib tetapi Cheah tidak bersetuju.

Katanya, dia meletak jawatan sebagai pengarah bank jadi dia tidak begitu terlibat.

Cheah berkata, Yu tidak memaklumkan kepadanya bahawa akaun Najib adalah untuk tujuan menerima sumbangan politik.

10.56am: Cheah berkata, sebagai pengarah bukan eksekutif, beliau tidak terlibat dalam banyak perkara dengan akaun akaun berkenaan.

10.53am: Harvinderjit bertanya kepada Cheah sekiranya dia tahu bahawa Najib menulis surat arahan yang mahukan kembali wang RM620 juta yang tidak digunakan.

Cheah berkata dia sedar kerana Yu telah memberitahu mengenainya.

10.38am: Harvinderjit mencadangkan Joanna Yu berhubung dengan Jho Low mengenai akaun Najib. Cheah berkata, dia tidak pasti.

Cheah berkata, dalam kedudukannya di AmBank, dia tidak menyimpan tab akaun atau pemegang akaun.

Saksi ke-50 pendakwaan, bekas pengarah urusan Kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang akan kembali ke kandang saksi untuk disoal balas peguam bela Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Julai, 2019.

10.29am: Saksi semalam Cheah Tek Kuah memberi keterangan untuk meneruskan pemeriksaan balasnya olehnya Harvinderjit.

10.27am: Mahkamah bersambung. Peguam pertahanan Harvinderjit Singh meminta isu itu ditangani hari ini apabila Shafee kembali.

10.16am: Perbicaraan bersambung dengan Thomas memulakan hujahnya dengan Mohd Nazlan.

Beliau merujuk kepada catatan di Facebook Najib pada 15 dan 16 Julai lalu di mana bekas perdana menteri itu bercakap tentang RM3 juta yang dibelanjakan untuk kad kreditnya, mengesahkan dari mana ia datang dan kenapa ia dibelanjakan.

Thomas berpendapat bahawa ia subjudis ada dalam contoh ini, mengatakan Najib adalah sama dan harus dianggap sebagai tertuduh.

“Hanya kerana dia adalah bekas perdana menteri dan ada pembaca, dia tidak dibenarkan memuat naik catatan di Facebook di mana dia memaparkan hujahnya,” katanya.

Thomas berkata, amalan ini mesti dihentikan dan meminta Mohd Nazlan menggesa Najib memohon maaf atas tindakannya dan tidak akan mengulanginya lagi.

Pertahanan meminta untuk mempertahankan Najib.

9.46am: Selepas mendengar hujah termasuk daripada pertahanan, Sequerah berkata dia akan menyerahkan keputusannya petang ini.

9.26am: Thomas semalam berkata, pihak pendakwa ingin membuat kesimpulan kes SRC International sebelum memulakan empat lagi perbicaraan Najib.

Thomas telah meminta Nazlan untuk mengosongkan tarikh perbicaraan Isa Samad pada September.

Hakim menjawab dia ingin mendengar keputusan Sequerah terlebih dahulu.

9.22am: Prosiding tertangguh apabila pendakwa menghadiri sidang sebelum Hakim Collin Lawrence Sequerah memohon untuk mengosongkan tarikah perbicaraan 1MDB dari 19 Ogos. – 18 Julai, 2019.

Iklan
Iklan