Mahkamah larang Najib komen kes SRC International di Facebook
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Najib Razak supaya berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan di Facebook mengenai kes SRC International yang sedang berjalan sehingga mahkamah mendengar hujah peguamnya pada Isnin.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberi amaran tersebut atau bekas perdana menteri itu berdepan tindakan menghina mahkamah.
Mahkamah akan mendengar hujah peguam bela Najib pada Isnin berkenaan hantaran di Facebook mengenai RM3.3 juta yang dibelanjakan menggunakan kad kreditnya pada 2014.
Pagi tadi, Peguam Negara Tommy Thomas memohon kepada hakim supaya mengarahkan Najib memohon maaf atas tulisannya di Facebook awal minggu ini yang menurutnya boleh membawa kepada subjudis.
Ketua pasukan peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada hakim supaya diberi masa sehingga Isnin ini untuk menyediakan hujah berhubung perkara itu.
“Kami perlu masa untuk hujah yang komprehensif. Saya tak mahu beri hujah spontan.
“Saya juga mahu berunding dengan anak guam saya untuk dapatkan lebih banyak maklumat mengenai perkara ini,” katanya.
Shafee kemudian menjelaskan bahawa Najib terpaksa menulis mengenai kesnya itu di Facebook atas alasan laporan media yang tidak adil.
“Media melaporkan bagi sebelah pihak dan bukan mengenai gambaran keseluruhan.
“Sebab utama bekas perdana menteri membuat kenyataan itu adalah kerana beliau merasakan laporan media tidak adil,” tambah Shafee sambil menambah Najib juga melindungi kerjaya politiknya daripada laporan negatif. – 18 Julai, 2019.