Dr Mahathir akhirnya jejakkan kaki ke ibu pejabat DAP
Iklan
BEKAS perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad buat pertama kali menjejakkan kaki ke Ibu Pejabat DAP hari ini, parti yang dituduhnya sebagai “cauvinis” ketika masih bersama Umno, untuk menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Pegawai Media Ibu Pejabat DAP Medaline Chang mengesahkan inilah kali pertama bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu masuk ke pejabat parti yang pernah beliau musuhi selama bertahun-tahun sejak awal karier politiknya.
“Betul, ini pertama kali Dr Mahathir datang ke pejabat DAP,” kata Chang kepada The Malaysian Insight. Dr Mahathir tiba ke ibu pejabat DAP pada pukul 8.15 malam.
PH mengadakan mesyuarat Majlis Presiden di ibu pejabat parti komponennya PKR, DAP, Bersatu dan Amanah secara bergilir-gilir.
Sebelum ini, mesyuarat Majlis Presiden PH pernah diadakan di Ibu Pejabat PKR dan Amanah. Malam ini tiba giliran ia diadakan di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur.
Sewaktu menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, DAP merupakan antara musuh utama Dr Mahathir sehingga beberapa pemimpin utamanya seperti Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng serta mendiang Karpal Singh dipenjarakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama 104 yang lain semasa Operasi Lalang pada 1987.
Dalam ucapannya semasa merasmikan PH Johor di Tampoi minggu lepas, Dr Mahathir mengakui beliau pernah berada di belakang tindakan Umno melabel DAP sebagai “parti cauvinis Cina”.
Bagaimanapun Dr Mahathir yang kini pengerusi PH dan Bersatu berkata, beliau menyedari DAP sebenarnya parti “berbilang kaum”, dan bukanlah seperti yang dilabel oleh Umno.
“Saya yang memulakan pelabelan DAP sebagai parti cauvinis Cina. Tetapi apabila saya mendekati mereka, saya mendapati mereka bukan parti hanya untuk Cina seperti MCA,” kata bekas perdana menteri.
“DAP adalah berbilang kaum. Mereka mempunyai orang Melayu dan juga India,” katanya.
Dr Mahathir menambah, beberapa ahli Melayu DAP mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan ada yang menang.
“Imej yang saya bina mengenai DAP tidak benar,” kata beliau pada pelancaran PH Johor di Dataran Taman Dahlia di Tampoi, Johor, minggu lalu.
Pada PRU13, calon Melayu DAP seperti Ariff Sabri Abdul Aziz dan Tengku Zulpuri Shah menang di kerusi Parlimen Raub dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab.
Sebelum itu, Dr Mahathir membantu DAP mengumpul dana berjumlah RM250,000 dalam sebuah majlis makan malam di Pulau Pinang.
Tahun lalu, Dr Mahathir membuat kejutan apabila hadir pada Konvensyen Kebangsaan DAP ke-50.
Dr Mahathir duduk di atas pentas bersama-sama pemimpin-pemimpin kanan DAP, antaranya Kit Siang dan pengasas serta Penasihat Dr Chen Man Hin. – 2 Oktober, 2017.