Perbicaraan hari kedua kes bunuh Kim Jong-nam
Iklan
PERBICARAAN kes bunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam diteruskan hari ini masuk hari kedua dengan keadaan lebih teratur dan aman berbanding hari pertama semalam.
Perubahan yang melancarkan urusan di Kompleks Mahkamah Shah Alam ini wujud selepas perbincangan antara polis dan wakil media mengenai sistem kemasukan dan kedudukan wartawan.
Tiada lagi media yang menunggu sejak jam 1 pagi di Kompleks Mahkamah Shah Alam seperti semalam, sebaliknya semua hadir selepas jam 7 pagi hari ini.
Polis menggunakan sistem penggiliran yang memberi peluang kepada wakil media untuk membuat liputan di dalam kamar mahkamah sementara yang lain menunggu di ruang legar.
Jurukamera dan jurufoto pula dibenarkan berkumpul di ruang khas tempat letak kereta mahkamah dan sidang media peguam akan diadakan di sana.
Semalam keadaan agak kecoh apabila hanya beberapa media dibenarkan masuk dengan ramai wakil media meluahkan rasa tidak puas hati mereka.
Bagaimanapun beberapa wakil media sudah berbincang dengan wakil polis yang menjaga pendaftaran media bagi liputan kes ini selepas tamat perbicaraan dan mencapai kata sepakat malam tadi.
Kawalan masih ketat seperti biasa dengan penggunaan sebarang alat elektronik diharamkan dan pemeriksaan badan dilakukan di kaunter kedua di tingkat 4 mahkamah.
Selain wartawan, hanya wakil pasukan keselamatan, wakil negara terlibat dan beberapa pengamal undang-undang dibenarkan berada di kamar perbicaraan.
Sementara itu, kedua-dua suspek kes pembunuhan itu muncul memakai baju kurung sambil tangan disilang ke belakang dan memakai vest kalis peluru kira-kira jam 7:50 pagi diiringi dua pasukan khas polis.
Siti Aisyah dari Indonesia dan Doan Thi Huong dari Vietnam dituduh membunuh Jong-nam di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori sekiranya disabitkan kesalahan dengan empat lagi individu yang masih bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) 13 Februari lalu.
Prosiding hari kedua bermula jam 9 pagi dengan saksi keempat, doktor Klinik Menara, Dr Nik Mohd Adzrul Ariff Raja Azlan meneruskan keterangan pada peringkat soal balas peguam bela tertuduh.
Semalam tiga saksi selesai memberikan keterangan.
Siti diwakili Gooi Soon Seng manakala Doan diwakili tiga peguam. – 3 Oktober, 2017.